Monday, February 14, 2011
Salam Maulidur Rasul S.A.W - Dari Warga U-jam -
Perutusan Maulidur Rasul 1432 Hijrah
AL-MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun 1432 ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita umat Islam sedia maklum merupakan bulan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul, kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam, termasuk di Malaysia keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di Kelantan ini.
Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini dapat ditumpukan kepada topik semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa amat perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri sebagai sumber hukum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini antara lainnya bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan peristiwa semasa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Kedua, para penceramah (kalangan pemimpin atau pendakwah serta pakar motivasi) perlulah mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan sampai saatnya, kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.
Ketiga, kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara ditonjolkan undang dijadikan tauladan kepada mana-mana penguasa yang menjalankan amanah Allah SWT. Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sesuai dengan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT (Al-Quran, Surah al-Alaq ayat 1-7)
Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu.”
Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non-muslim bukan sekadar sambutan seperti perarakan besar-besaran sahaja, tetapi hendaklah juga menonjolkan nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Oleh itu, wajar sekali ditonjolkan bagaimana Islam melarang perkara-perkara mungkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkaranya dilarang oleh Islam dan hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara maaruf seperti kerjasama, bantu membantu di dalam sebarang kerja amal kebajikan dan muafakat menjaga keharmonian hidup beragama amat yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai amal maaruf yang baik untuk kerukunan hidup bermasyarakat.
Firman Allah SWT (Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 148)
Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.Bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Sekian.
TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP
AL-MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Tuesday, November 2, 2010
Wadah Wanita Islam: Surah an-Nur perjelas hidup bermasyarakat
SURAH an-Nuur yang bererti cahaya, mengandungi 64 ayat, diturunkan di Madinah beberapa tahun selepas hijrah. Dalam surah ini terkandung ayat dan petunjuk Allah bagi manusia yang berhubung dengan hidup bermasyarakat, mahu pun berumah tangga. Semuanya, adalah cahaya yang menyinari kehidupan manusia dalam menempuh jalan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.
Allah memulakan surah ini dengan satu penegasan agak unik dan berbeza dengan surah lain. Firman-Nya bermaksud: “(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami fardukan (menjalankan hukum yang ada dalam)nya, dan Kami turunkan dalamnya ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.” (Surah an-Nur, ayat 1)
Secara jelas dan tegas apa yang terkandung dalam surah ini diturunkan oleh Allah dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang beriman kepadaNya dan ayatNya, supaya menerima dan melaksanakannya tanpa ragu-ragu atau berdolak dalik.
Penegasan seperti ini sangat penting. Ia adalah asas kukuh dalam hati setiap Muslim agar bersedia mendengar, menerima dan seterusnya melaksanakan apa saja yang tuntut oleh-Nya. Meragui dan mempersoalkan hukum atau peraturan Allah tidak wujud sama sekali dalam hati orang beriman. Ini sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jawapan orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah an-Nuur, ayat 51)
Masyarakat adalah himpunan manusia daripada lelaki dan wanita. Mereka bukan saja saling memerlukan, malah difitrahkan mempunyai keinginan yang kuat terhadap satu sama lain. Bagi memenuhi keinginan semula jadi ini, Allah mensyariatkan perkahwinan dan menggesa pihak berkuasa dalam sesebuah masyarakat atau keluarga memberikan perhatian sewajarnya terhadap anggota yang belum berkahwin.
Firman Allah bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32)
Perkahwinan adalah satu-satunya jalan paling selamat dan terhormat bagi memenuhi keinginan semula jadi manusia. Keinginan seksual adalah wasilah atau jalan yang menghubungkan antara satu generasi dengan generasi sebelum dan selepasnya. Lantaran, ia tidak boleh dipadam atau diketepikan. Keinginan itu tidak boleh pula dibiar lepas bebas tanpa batasan. Ini kerana keadaan sedemikian bukan saja akan menjatuhkan martabat insan, malah boleh menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat seluruhnya.
Ayat di atas ditujukan kepada ketua keluarga serta pihak yang berkuasa dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak sepatutnya mengabaikan anggota yang belum mempunyai pasangan hidup yang sah. Kemiskinan bukan suatu alasan untuk melambat-lambatkan urusan perkahwinan. Jalan mesti dicari. Penyelesaian mesti diusahakan. Allah sendiri memberi jaminan akan memudahkan rezeki orang yang ingin berkahwin (Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya).
Hubungan antara lelaki dengan perempuan yang lain daripada ikatan perkahwinan dibataskan dengan adab serta panduan tertentu. Ini supaya keutuhan keluarga yang dibina terpelihara, terselamat daripada fitnah dan noda serta terhindar daripada jerangkap syaitan durjana.
“Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (Surah an-Nur, ayat 30)
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31)
Lelaki dan wanita tidak dihalang daripada membabitkan diri dalam masyarakat. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang bertanggungjawab membangun, memaju dan memeliharanya daripada perkara yang boleh menjejaskan kesejahteraannya. Apa yang wajib dilakukan ialah memelihara tiga perkara iaitu menjaga mata, kemaluan dan aurat.
Hari ini, kesedaran memakai tudung di kalangan Muslimah laksana gelombang besar yang tidak mampu dibendung oleh sesiapa lagi. Memakai tudung saja tidak memadai. Mata hendaklah sentiasa dijaga kerana ia adalah penggoda yang amat berbisa. Apabila mata bertentang mata, hati mula berkata-kata, nafsu pun ikut bergelora, lantas iman terluntur dan iblis segera menjalankan peranan.
Tidak cukup juga dengan kaum wanita saja yang bertudung litup, menutup aurat dan menjaga maruah. Kaum lelaki juga seharusnya melakukan perkara sama. Kaum lelaki wajib juga mematuhi adab menundukkan pandangan dan kewajipan memelihara tiga perkara tadi. Ayat itu tidak hanya ditujukan kepada wanita, bahkan menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita.
Kadang-kadang terdengar suara mengatakan menutup aurat juga tidak selamat. Mungkin ada benarnya luahan itu. Ini kerana menutup aurat mesti dilaksanakan secara bersepadu dengan memelihara pandangan serta aturan lain yang terkandung dalam surah ini. Ia tidak boleh diambil secara terpisah.
Perkara lain yang wajib dijauhi ialah memfitnah dan menyebarkan keburukan serta kemungkaran. Firman Allah bermaksdu: “Dan orang yang menuduh wanita yang baik-baik (melakukan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)
Tidak dapat dinafikan bahawa fitnah atau tuduhan tanpa bukti meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri seseorang sama ada dari aspek kejiwaan atau kemasyarakatan. Kesan itu bukan saja dirasai oleh orang yang dituduh, malah seluruh anggota keluarganya. Lantaran, Islam melarang perbuatan menuduh tanpa saksi hingga hukuman yang dikenakan ke atasnya hampir sama berat dengan hukuman ke atas orang yang melakukan zina.
Penyebaran perbuatan keji juga laluan yang memudahkan anggota masyarakat terjebak dalam kemaksiatan. Ini kerana sesuatu kemungkaran itu, apabila disebarkan akan cepat merebak dan mendorong anggota lain meniru perbuatan sama. Lantaran, tidak wajar disebarkan secara meluas hanya sekadar untuk dijadikan bahan berita tanpa diiringi usaha bersungguh-sungguh untuk membendungnya.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka agar (berita) perbuatan keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nuur, ayat 19)
Kesungguhan Islam memerangi kemungkaran, khususnya zina yang menjadi punca runtuhnya institusi keluarga, tercemarnya zuriat dan menimbulkan keresahan masyarakat, dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang beriman.” (Surah an-Nur, ayat 2)Sumbangan tinta khas untuk u-jam dari : Prof Madya Maznah Daud, Pensyarah UiTM
Tuesday, September 14, 2010
Cinta Akar Dan Bunga
Perihal Cinta Akar Dan Bunga
Jika kamu melalui kawasan hutan yang berbukit kita pasti melihat pokok-pokok sebagai satu tanjak yang penting melindungi keadaan tanah di bukit , lihatlah pokok yang akarnya menjulur keluar memaksa laluan untuk mendapatkan lebih cengkaman agar pokok kukuh berdiri.
Adakalanya akar ini menerokai lebih jauh dari pangkalnya , akar bekerja keras merentasi batu-bata dan tanah keras , menjadi serangan hidupan di bawah tanah yang menjadikan akar sebagai rezeki makanan mereka.Namun akar tidak mudah kalah , akar akan tetap mencengkam untuk memastikan kehidupan sebatang pokok yang mesti hidup.
Kita tidak melihat akar , kerana akar jauh didasar tanah , apa yang kita lihat pokok itu tetap subur , padahal tanpa akar , tidak mungkin kita boleh melihat pokok yang subur itu!
Kita melihat sepohon pokok bunga mawar , daunnya bersih , cantik dan amat harum , ianya memberikan sedikit kelegaan kepada pandangan mata , dan keselesaan yang amat nyaman sekali.Kecantikan bunga tidak dapat dibandingkan dengan kata-kata , hanya perasaan yang damai dapat diimaginasikan apabila kita melihat sekuntum bunga.
Bunga dipuji disegenap perkataan yang puitis , diantara jenis bunga yang sering mendapat kata-kata pujian ialah bunga ros , mawar , anggerik , orkid , dan kekwa.Bunga juga mempunyai kelemahan yang tersendiri , apabila sering dipuji ianya akan memberikan minat untuk kita memetiknya dan akhirnya bunga itu tetap akan layu , ianya menjadi hiasan sementara , bau wanginya di perah untuk orang lain, sedang bunga menjadi malap warnanya sehingga kering dan menjadi debu-debu tanah kembali ke tempat asalnya
Mujur akar tetap setia , walaupun tidak dapat dilihat dan tidak disanjung tinggi dan tanpa bau yang wangi, ianya memberikan harapan kepada pohoh mawar untuk terus hidup.Akar tidak perlu kepada pujian untuk berkhidmat , itu memang tugasnya dan ianya tidak sangat dikenali, jika ia dikenali hanyalah kepada tugasnya yang amat baik berbanding kepada namanya yang tenggelam di dasar tanah.
Kehidupan sepohon pokok boleh memberi contoh kepada kehidupan kita secara realiti , ada manusia yang bersifat seperti bunga , memperlihatkan kecantikannya hanya untuk sementara , dia amat suka apabila dipuji dan dipuja kerana sifatnya itu , dia ingin sekali dikenali dan memberikan janji yang wangi seperti baunya.Namun ianya tidak kekal apabila dipetik dan baunya itu diperam bersama kuntumannya untuk orang lain.Ya itu satu pengorbanan yang besar untuk si bunga!
Akar tidak ingin dikenali , ianya adalah nyawa kepada setiap dahan dan ranting , juga buah dan bunga.Ia bekerja tanpa perlu diceritakan jasanya dan ia hidup lebih lama dari sekumtum bunga!
Hak Cipta Karangan Koleksi
Ibnu Rahman@rizalraman@gmail.com
di dalam siri bicara ilmu
Boleh disalin dan diedar
Friday, August 27, 2010
Cerpen- Mencari Ilahi

Aku tidak faham. Mereka berdiri, tunduk separuh tubuh, kemudian bangun kembali, kemudian bersujud. Mereka mengulang-ulang perbuatan itu dengan mengangkat tangan, terkumat-kamit seakan membaca mantera. Diakhir dengan menoleh kiri dan kanan, seakan-akan baru keluar dari alam lain.
Lama aku menjenguk mereka ini. Aku tidak faham.
Apa sebenarnya mereka lakukan. Tidakkah letih. 5 kali sehari, setiap hari tanpa ada keringanan?
Tetapi, tidak langsung pada wajah mereka riak kepenatan. Jauh sekali kebosanan.
Apa sebenarnya mereka ini?
Seakan-akan makhluk lain yang wujud di alam semesta hari ini.
Aku terus memerhati. Sambil mencari makna yang tersembunyi.
Di dalam kehidupan sekelompok manusia bergelar Muslim.
*****
“Hoi terroris.”
Dia tidak menoleh.
Aku memanggilnya sekali lagi. “Hoi terroris”
Dia tetap tidak menoleh. Jauh sekali mengendahkan. Seakan-akan itu bukan panggilan yang layak untuknya. Aku jadi sedikit geram. Lantas bergerak menarik bahunya.
“Aku memanggilmu tadi. Apakah kau tidak mendengar” Suaraku sedikit tinggi.
Kali ini dia menoleh. “Namaku Mursyid. Seorang muslim, bukannya terroris” Lembut dia memperkenalkan diri, tetapi terserlah ketegasan yang tinggi dalam nada suara. Tanda dia punya rasa kehormatan yang tinggi.
“Bukankah orang Islam yang menghidupkan keganasan, meruntuhkan bangunan, membunuh orang tua, perempuan dan anak-anak kecil?” Provokasi kukeluarkan. Sengaja kusembah petrol pada api yang kuwujudkan.
Mursyid tersenyum. “Mari duduk saudaraku” Tangannya menarikku dengan lembut. Bangku kayu berdekatan menjadi tempat landasan punggung.
Dari sini, aku dapat melihat ramai muslim yang keluar dari masjid. Selesai solat waktu petang mereka. Di tengah keterasingan suasana kehidupan, memandangkan ini tanah airku, bukan negara orang-orang Islam.
“Islam agama kami bermaksud kesejahteraan.” Suara Mursyid tenang. Seakan-akan mengusap lembut jiwaku. Ditambah pula senyumannya yang manis itu.
“Dan kami tidak akan membawa apa-apa melainkan kesejahteraan”
“Bohong. Bukankah orang-orang dari agamamu yang menyalakan api kekacauan? Meruntuhkan World Trade Centre dan mengancam kedamaian ummat?” Aku tidak berpuas hati.
Mursyid menggeleng. “Kalau kami perlu berperang sekalipun, perang kami adalah yang membawa kesejahteraan”
Aku terjeda. Adakah wujud peperangan yang membuahkan kesejahteraan?
“Adakah kamu meneliti Sirah Rasulullah SAW?”
“Muhammad bin Abdullah yang gila seks dan dahagakan darah itu?”
Terkoyak senyuman Mursyid. “Nyata kamu tidak mengenalinya. Kamu sekadar membaca tulisan orang-orang kamu, kemudian kamu menilainya dengan penilaian kamu. Bukankah itu tidak adil?”
Ya. Jujurnya, tidak adil. Aku mengetahui itu. Sekarang aku seakan terperangkap.
“Baginda Rasulullah SAW, berpesan kepada kami agar tidak memotong rumput dan kayu sebarangan jika berperang, tidak menganggu rumah ibadah, dan tidak memperapa-apakan perempuan dan anak kecil”
Aku terdiam. Begitukah?
“Dan kalau kamu ingin tahu, baginda Rasulullah SAW memaafkan semua kaum yang menyeksanya dahulu, ketika baginda telah berjaya menguasai kembali Makkah”
Aku terjeda sekali lagi.
“Bagaimana kamu boleh nyatakan bahawa baginda dahagakan darah?”
“Habis, kenapa ummat Islam hari ini mengganas? Membunuh orang, dan merosakkan kedamaian kehidupan masyarakat? Lihat apa terjadi pada negaraku hari ini. Kacau bilau dan ketakutan disebabkan orang Islam”
Mursyid kulihat tidak berubah wajah. Tetap tenang dan menyenangkan. Aku yang melihatnya juga, secara tidak langsung seakan tersapa dengan ketenangannya. Seakan-akan dia menghidupkan jiwaku yang selama ini kacau.
“Ketahuilah saudaraku…” Mursyid mengurut lembut bahuku. “Aku tidak percaya itu dilakukan oleh orang Islam yang betul-betul beriman kepada Allah SWT dan taat kepada rasul-Nya. Dan jika benar sekalipun orang Islam yang melakukan, maka itu bukan anjuran Islam. Dia telah terkeluar dari jalan Islam yang sebenar”
Aku tidak mampu berkata apa-apa. Jika aku hendak menyalahkan agamanya kerana tindakan penganut, maka pastinya aku akan tertimpa dengan serangan ke atas agamaku pula. Bukan sedikit paderi-paderi yang terdedah melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur. Itu belum dikira dengan kempen menentang keganasan yang membuahkan lebih banyak kerosakan.
Kulihat Mursyid tersenyum. “Saudaraku, kami ini adalah yang berusaha untuk menonjolkan imej Islam yang bersih, agar kamu semua melihat kasih sayang Allah terhadap kamu. Rasulullah itu, datang dengan Islam, dan Islam itu membawa kesejahteraan pada seluruh ummat. Kami, sedang membuktikan itu”
Aku tunduk. Tujuan utama untuk memprovokasi umat Islam di kediamanku terpatah begitu sahaja.
“Jemput datang ke rumahku?”
“Eh?” Aku terkejut. Mursyid tetap dengan wajah yang berseri.
“Mari. Agar kamu berkenalan dengan keluargaku. Siapakah namamu wahai saudaraku?” Mursyid menghulurkan salam.
“Ru.. Ruben” Aku secara automatik menjabat. Seakan-akan ada kuasa ghaib menggerakkan tanganku.
“Ruben, mari.” Dia menarik tanganku lembut.
Seakan membawa jiwaku bersama dengannya.
*****
“Islam dengan orang Islam itu adalah dua perkara yang berbeza. Islam daripada Allah SWT, maka peraturannya solid dan sempurna. Tetapi pada masa yang sama, orang Islam adalah manusia yang mempunyai kelemahan. Ada yang berjaya memanifestasikan Islam, ada yang tidak berjaya. Tetapi masih lagi, jika kita mengambil Islam sebagai cara hidup, ketenangan akan muncul dalam jiwa kita”
Itu kata-kata Mursyid ketika aku menziarahi rumahnya.
Rumahnya sangat bersih. Walaupun kecil, tetap membahagiakan. Entah kenapa, aku seakan terserap ke dalam syurga. Anak-anaknya baik dan beradab. Isterinya juga amat menjaga diri dan tidak terlalu bergaul denganku. Berbanding isteriku yang terdedah pada lelaki-lelaki lain dan anak-anakku yang langsung tidak beradab ketika berbicara denganku, aku terasa segan dengan Mursyid.
“Islam ini, pada mereka yang faham, adalah 24 jam, sepanjang 7 hari. Yakni setiap masa. Tiada rehat dalam menjadi hamba Allah SWT. Maka, setiap masa perlu kekal terikat dengan peraturan Islam”
“Adakah kamu semua tidak penat?”
“Apakah kebahagiaan itu satu kepenatan? Di dalam Islam ini, peraturannya, membuatkan kami bahagia” Mursyid mengusap kepala anaknya yang comel itu, sambil memandangku.
Aku tersengih bila mengingati bicaranya itu. Agamaku, hanya wujud di hari ahad. Malah, bila melakukan dosa, boleh pula diampunkan hanya dengan membayar wang. Dari satu sudut, aku melihat itu satu manipulasi gereja untuk mereka yang berdosa. Bagaimana manusia yang berdosa, yang tidak sempurna, boleh mengampunkan manusia lain?
“Kamu mempercayai Allah. Justeru, di mana Allah?” Soalan yang aku tertanya-tanya selama ini. Hairan dengan orang Islam yang mampu taat, sedangkan tuhan mereka tidak kelihatan.
“Kamu hidup selama ini dengan menyatakan wujudnya nyawa. Justeru, di manakah nyawa?” Mursyid menjawab soalanku dengan soalan.
Mataku membesar. Jiwaku rasa tertusuk. Perasaan apakah ini?
“Allah itu amat dekat dengan kita wahai Ruben. Dia adalah Pencipta kita. Yang paling memahami kita. Yang memenuhi hak-hak kita”
“Bagaimana dia boleh membahagikan masa pada ramai manusia di atas muka bumi ini? Aku tidak nampak logiknya” Aku masih ragu-ragu.
“Adakah Tuhan perlukan logik manusia? Dia itu Tuhan Ruben. Tuhan. Dia tidak terikat dengan hukum-hukum yang mengikat manusia serta makhluk-mahkluk lain”
Dia itu Tuhan Ruben… Dia itu Tuhan… Tuhan…
Aku rasa tertampar-tampar. Ya, apakah jika benda yang dipahat oleh manusia, boleh dikatakan sebagai Tuhan? Apakah yang memerlukan orang lain, boleh menjadi tuhan?
“Keistimewaan Islam, kami ada rasa hubungan yang dekat dengan Allah SWT. Dia ghaib, tapi kami beriman dengannya. Tanpa ragu. Menyebabkan kami sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa dan waktu dalam memenuhi amanah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Ini juga membuatkan kami tidak takut, tidak mudah berputus asa, dan tidak merasa lemah”
Aku tersengih sendirian.
Perbualan-perbualan dengan Mursyid, membuatkan aku banyak berfikir.
Adakah kepercayaan, hubungan dengan tuhan ini, menyebabkan mereka seperti apa yang aku nampak?
Tenang, kuat, mempunyai maruah dan setiasa berkeyakinan?
“Tidakkah Islam ini ideologi Muhammad bin Abdullah sahaja?”
Mursyid menggeleng. “Islam itu adalah daripada Allah SWT. Rahmat pada sekalian alam. Rasulullah SAW hanyalah manusia yang dihantar untuk menyampaikannya, dalam keadaan baginda menjadi contoh hidup sebagai bukti bahawa Islam itu mampu diimplementasikan manusia”
Hatiku bergetar.
Islam…
Allah…
******
Aku mengkaji dan mengkaji Al-Quran selepas perbualan dengan Mursyid tempoh hari. Mursyid yang menghadiahkanku Al-Quran terjemahan ke bahasa ibundaku sebagai hadiah semasa aku berpapasan dengannya.
“Di dalam Al-Quran ini, ada petunjuk”
“Aku bukan orang Islam”
“Tidak semestinya orang Islam sahaja yang perlu membaca Al-Quran”
Dan aku mula mengkaji. Perbincangan dan perbahasan dengan Mursyid tempoh hari membuatkan aku dahagakan kebenaran. Aku mula melihat betapa Islam ini adalah satu sistem hidup yang patut dijadikan panduan.
Aku yang awalnya mengkaji Al-Quran untuk mencari kelemahannya, kini tidak mampu lagi menahan perasaan hati yang akan bergetar hebat setiap kali membaca ayat-ayat yang dikatakan kalam tuhan itu.
Pertama kali mengkhatamkan terjemahannya, aku berkata di dalam jiwa:
“Ini bukan kalam manusia”
Semestinya. Aku tidak silap akan itu. Tiada kecacatan, malah pemilihan perkataan yang digunakan, adalah yang paling sesuai pada tempat yang hendak dinyatakan. Tiada percanggahan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Jika ada kekeliruan, sentiasa ada penjelasannya. Malah, satu sistem hidup yang cantik dapat dilihat daripada Al-Quran ini.
Aku jadi rasa tidak cukup, lantas aku mengkaji kehidupan Muhammad bin Abdullah. Aku selak hadith-hadithnya. Aku teliti perjalanan kehidupannya. Akhirnya aku tidak menjumpai apa yang dinamakan kecacatan.
Yang selama ini membuat tohmahan daripada kaumku, aku dapat merasakan mereka mempunyai niat yang busuk. Mereka sekadar memotong-motong juzu’ hidup Muhammad bin Abdullah ini, tanpa mengungkit pula bahagian lain yang mengimbangi tindakannya pada bahagian yang disebutkan tadi.
Yang ada hanya kebenaran.
Jiwaku seakan meronta-ronta.
Aku inginkan kebenaran!
Tuhan, apakah Kau membenarkan?
Sekarang aku mahu bukti yang terus daripada Tuhan yang bernama Allah ini.
Ya, aku ingin mencabarnya. Buktikan bahawa Dia benar. Aku tidak mahu mendengar kata orang lain. Aku tidak mahu bergantung pada buku. Aku sudah puas mengkaji. Sekarang, aku ingin Dia sendiri keluar membuktikannya kepadaku.
******
Aku duduk dikelilingi lilin. Sengaja kututup lampu bilikku, dan membiarkan tingkap terbuka. Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan lilin itu meliang liuk. Aku membina satu medan yang dinamakan sebagai medan spiritual.
Aku percaya bahawa Allah itu ada di dimensi lain. Dan hendak memanggil-Nya keluar, aku kira perlu menggunakan cara ini.
Aku memegang Al-Quran, membaca-bacanya dalam bahasa arab mengikut ajaran Mursyid selama ini. Aku sudah boleh membaca Al-Quran dalam bahasa aslinya. Lebih menusuk, lebih memberikan kesan.
Sampai ke satu muka surat, aku berhenti. Aku mengambil nafas. Aku rasa sudah bersedia untuk memerhatikan tanda, keajaiban secara langsung daripada Allah SWT.
“Ya Allah!” Aku menjerit.
“Jika Engkau benar, maka berikan aku tanda!” Launganku keluar menerobos tingkap.
“Aku lihat Islam adalah agama yang baik, tetapi aku masih tidak cukup yakin. Sekarang, berikan aku tanda yang boleh membuatkan aku masuk ke dalam agama-Mu ini!”
Sunyi. Sepi. Aku sendiri dan tiada apa-apa berlaku. Di dalam kepalaku, aku mengharapkan lilin-lilin tadi menjadi api marak menjulang, atau rumah ini bergegar, atau dinding roboh secara tiba-tiba, atau ada makhluk datang memberitahu aku itu dan ini.
Tetapi tetap tiada apa yang berlaku.
“Allah, ini peluang kau. Kalau tak, aku tak akan menerima Islam ini” Aku mengugut.
Aku hendak Allah muncul sendiri, atau paling kurag menunjukkan tanda.
“Bukankah Kau sangat berkuasa Ya Allah. Tunjukkan kekuasaan-Mu itu sekarang!”
Masih sunyi sepi. Yang menemaniku hanya desiran angin yang mask melalui tingkap.
Aku menggeleng. Mungkin Allah sibuk. Itu fikiranku.
“Tak mengapa. Aku masih memberikan Kau peluang. Aku akan tunggu petanda Kau di sini, dan Aku tidak akan berganjak!” Aku bersemangat dan bertegas.
Maka, aku memilih untuk menyambung pembacaan Al-Quranku tadi.
Kuselak muka surat sebelah untuk menyambung pembacaan.
Ayat itu kubaca.
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.
Dunia seakan menjadi terlalu sunyi. Aku seakan terserap ke dalam alam lain. Bulu romaku meremang naik. Tubuhku bergetar hebat. Pada pemikiranku mula muncul awan tanpa tali, bumi yang berputar pada paksi tetapi tiada yang menjadi paksinya, planet-planet yang bergerak dengan kemas di dalam orbit tanpa berlanggaran, kitaran hidup haiwan dan tumbuhan, kitaran air, kadar udara yang sangat-sangat sempurna, peredaran darah di dalam tubuh manusia, dan 1001 lagi kejadian yang menakjubkan yang berlaku dalam kehidupan manusia.
Air mataku mencucur.
Allahuakbar.
Allahuakbar.
Allahuakbar.
Aku sujud.
“Sesungguhnya aku naik saksi, tiada tuhan melainkan Alla, dan Muhammad itu Utusan Allah”
******
Aku mengangkat kedua belah tanganku separas telinga, kemudian aku terkumat-kamit membaca Al-Fatihah dan ayat Al-Quran, kemudian aku mengangkat lagi kedua tanganku dan tunduk separuh tubuh, kemudian bangun semula dan sebentaar kemudian turun sujud. Kuulang semua itu sebanyak empat pusingan, kemudian kututup dengan menoleh kanan dan kiri sambil memberi salam.
Aku bertahmid, bertasbih dan bertakbir perlahan.
Tiba-tiba pehaku ditepuk lembut. Aku menoleh. Mursyid dengan senyuman manis. Aku membalas senyumannya.
“Mari ziarah ke rumahku petang ini” Mursyid mengajak.
Aku mengangguk. “Biar aku berdoa dahulu?”
“Baiklah” Mursyid kembali ke posisi duduk antara dua sujud.
Aku mengangkat tangan.
“Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat iman dan Islam yang telah Kau berikan kepadaku”
http://ms.langitilahi.com/cerpen-mencari-ilahi/
Sunday, August 22, 2010
SELOKA/PANTUN : KITA Vs. AURAT.
SELOKA/PANTUN : KITA Vs. AURAT.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!
Salam sejahtera!
SELOKA/PANTUN : KITA Vs. AURAT.
Berjumpa lagi janganlah jemu,
Bacalah seloka kepada tetamu,
Tak kira, sekalipun kepada Ah Chai dan Ramu,
Sambil membaca makanlah jamu!
Anak saya pun suka baca,
Bila membaca timbul ceria,
Hilang segala duka nestapa,
Minda buntu jadi terbuka.
Kali ini saya nak sentuh,
Tentang aurat sepanjang tubuh,
Bagaimana Islam memukul tabuh,
Begitulah umat buat bersungguh.
Pendapat kita sangatlah jelas,
Alimuda telahpun perjelas,
Pendapat Astora habis dibidas,
Inilah pula hendak dibahas.
Mula-mula tanyalah diri,
Yang kedua tanyalah suami/isteri,
Yang ketiga anak sendiri,
Jadikan Islam tegak berdiri.
Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.
Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payahpun 'make up'.
Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.
Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.
Pakaian modern(?) memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakaipun nampak pusat.
Berseluar ketat bajupun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.
Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersandung.
Lagilah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.
Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.
Wanita UMNO pula semacam,
Berbaju kurung memang mengancam,
Tudung tak payah supaya dicam,
Tak peduli biar dikecam.
Buat apalah kita nak heran,
Para remaja dan minah karan,
Nak tangkappun tak ada 'warrant',
Silap-silap kita jadi sasaran.
Lagipun bilis nak buat apa,
Sedangkan JAWS nampak serupa,
Bini PM siapa yang lupa,
Tak bertudung tak jadi apa.
Kalau JAWS sudah demikian,
Bilis halus mudah dimakan,
Tertipu oleh godaan syaitan,
Di akhirat bersedialah terima seksaan.
Benar sungguh sabda Junjungan,
Neraka dipenuhi wanita banjingan,
Semasa di dunia pentingkan saingan,
Rambut dan jambul jadi pertandingan.
Yang pelik suami bertaraf ulamak,
Isteri TPM jambulnya alamak!,
Yang lain lagilah naik lemak,
Ulamak UMNO tempat menyemak.
Mereka sesat tak heranlah kita,
Astora Jabat dah buat cerita,
Tentang aurat kaum wanita,
Bahkan disebar didada berita.
Itulah racun untuk pembaca,
Mereka ikut berdasarkan fakta,
Para pemimpinpun jelas dan nyata,
Ikut petua Jabat celaka.
Tapi apa yang kita khuatir,
Pendapat yang betul habis disingkir,
Pendapat Jabat makin terukir,
Sama seperti orang yang kafir.
Yang jadi mangsa rakyat jelata,
Kita memandang sakitlah mata,
Takut mempengaruhi anak-anak kita,
Anak derhaka kita derita.
Sanggahan Alimuda membuka minda,
Petua Astora wajib dipinda,
Dalam media arus perdana,
Ajaklah rakyat taubat sama.
Kalau dibiar perkara ini,
Takutlah bala akan terjadi,
Remaja kita mangsa bersiri,
Menjadi lalang setiap negeri.
Maksiat bertambah setiap hari,
Bohjan Bohsia dikejar lari,
Mencemar kesucian segenap negeri,
Kerajaan pandang buat tak reti.
Hasilnya remaja menjadi liar,
Gejala sosial hidup terbiar,
Di sana sini berita tersebar,
Dalam negara jumlahnya besar.
Memang inilah kerajaan mahu,
Supaya rakyat tak boleh maju,
Hanya menyokong pemimpin teraju,
Dengan pembangkang jangan setuju.
Ajaran agama tak payah hirau,
Tak tutup aurat tak usah risau,
Itulah saranan kerajaan sasau,
Bila PAS tegur dia kata kacau.
Ingatlah wahai pemimpin negara,
Kita tahu hangpun baca juga,
Kritikan teguran takkan berguna,
Kalau dipandang sebelah mata.
Ingat BA nak rampas kuasakah?
Hendak puaskan nafsu serakah,
Semacam BN yang gila pangkah,
Kalau begitu baik minta sedekah.
Kalau BN berlaku ADIL,
Kepada rakyat yang nampak kerdil,
Kepentingan Islam juga diambil,
Kedudukan negara jadi stabil.
TG. Nik Aziz sudah berjanji,
Bubarkan parti turunkan panji,
Yang penting BN menunai janji,
Tegakkan Islam di negara ini.
Tapi PM terus muingkiri,
Ajaran Islam terus dibenci,
Bahkan Nabi turut dicaci,
Allah juga tidak terkecuali.
Jangankan nak tegakkan negara Islam,
Ajaran Islampun nampak kelam,
Yang ada hanyalah 'lebel' Islam,
Karut dan marut semua di dalam.
Isu auratpun tak terurus,
Di biar rakyat terus terjerumus,
Boleh dia kata : "pergi mampus",
Kebaikan kerajaan habislah hapus.
Oleh itu aduhai sayang,
Wanita Islam wajib berjuang,
Menegakkan Islam panji dijulang.
Aurat penting kita perjuang.
Jangan terikut bujukan syaitan,
Mengajak kita melawan Tuhan,
Jangan peduli kata kerajaan,
Yang benar tetap kita perjuangkan.
Pendapat PieM tak usah diturut,
Isu aurat dia kata karut,
Ajaran Islam dia kata kolot,
Demikianlah celupar dia punya mulut.
Kalau demikian peri lakunya,
Apakah tindakan kita semua?,
Takkan nak kita biarkan saja,
Bencana tiba kitapun kena.
Jawapannya sudahlah PASti,
Kita semua sudah mengerti,
Demi menyelamatkan negara ini,
Buang PM dan BN sekali.
Sekarangpun PM dah takda kaki,
Harapkan Melayu semua dah lari,
Hati Non Melayu cuba dicuri,
Isu PM non Melayu sebagai bukti.
Datuk Syafie wira berani,
Pecahkan tembalang selama ini,
PM petualang rasuah dibenci,
Gunakan kuasa sesuka hati.
Laporan polis sudah dibuat,
25 Jun dipetang ahad,
Ke penjaralah PM akan disumbat,
Bersamalah kita teruskan jihad.
Itulah dia balasan Tuhan,
Yang PM selalu memperlekehkan,
Itupun baru hanya tekanan,
Sudah hidup tidak karuan.
Inikan pula kalau dah mula,
Pertama ke mahkamah kedua ke panjara,
Ketiga dirampas segala harta,
Anak beranak juga jonggosnya.
Nampaknya penjaralah sampai kemati,
Mintak tolong! siapa yang sudi,
Harap DYM YDA ampuni?,
Macam Soehartolah engkau nanti.
Kalau begitu baiklah taubat,
Juga sekelian yang bersyubahat,
Akui segala perbuatan jahat,
MESTI maklumkan keseluruh rakyat.
Kalau rakyat sedia maafkan,
Mungkin hukuman akan diringankan,
Dalam penjara taubat gandakan,
Mohonlah ampunan daripada Tuhan.
Kalau tak dengar nasihatku ini,
Jangan menyesal kemudian hari,
Semunya mesti belaku nanti,
Tak percaya, ikut suka hati.
Hai! melarat pula selokaku ini,
Isu aurat punya perinci,
Terlibat segala PM dan belaci,
Itulah tanda rakyat dah benci.
Kalau masih tak sedar lagi,
Campakkan saja ke dalam perigi,
Kerajaan yang ada mesti diganti,
Janganlah kita berlengah lagi.
Rasanya cukuplah setakat ini,
Seloka pantun sampai disini,
Salah dan silap harap maafi,
Dilain masa kita jumpa lagi.
Sekian Terima(lah) Kasih!
AZHARI(S)AHAD25JUN200009:30PM










