[close]

Jamaah Anak Muda Se-Malaya

Utama

free counters

Ukhwah Jamaah

"BangkitLah Jemaah Anak Muda!"
U-jamV3.0. Powered by Blogger.

Tuesday, August 23, 2011

Malaysia Merdeka! : Tokoh Kemerdekaan Yang Dilupakan...

Posted by Usrah Jamaah Anak Muda | Tuesday, August 23, 2011 | Category: |

Assalamualaikum W.B.T , Sahabat-sahabat U-jam . Semoga sahabat-sahabat senantiasa diberkati Allah S.W.T , dengan rahmatnya yang barokah , apatah lagi dengan nikmat Ramadhan yang sempat dicicip oleh kita semua.

Kesibukan ummat menghayati Ramadhan, meneggelamkan perasaan bara kemerdekaan negara? , mungkin begitu dan mungkin tidak..malah ada lagi sejuta kemungkinan untuk diceritakan , kemungkinan anak muda masih lagi leka dan alpa tanpa kira masa dan ketika , tidak semuanya kerana ada anak muda yang leka dan ralit di musolla menghayati Ramadhan.

Jika sahabat-sahabat rajin dan peramah , bolehlah temubual siapa sahaja yang sahabat-sahabat berjumpa , di tepian jalan , di musolla , di kolej . di sekolah , di pasar ramadhan dan dimana-mana sahaja ..Tanyakan kepada mereka tentang kemerdekaan dan tanyakan kepada mereka adakah sudah kiranya mengibarkan bendera Kebangsaan di mana-mana sebagai tanda menyambut hari keramat negara ini..?

Sata terkesan dengan satu peristiwa yang dialamai oleh adik saya sendiri , berada di Tingkatan 5 , ditugaskan untuk melengkapkan kerja kursus tokoh-tokoh kemerdekaan , perlunya memperkenalkan dan emmperingati tokoh-tokoh kemerdekaan yang dikenl atau tidak terkenal..Saya turut membantu ....diantara tokoh-tokoh yang dimasukkan ..saya memasukkan tiga tokoh iaitu Syeikh Abdullah Fahim , Dr Burhanuddin Al-Helmy , Ust Abu Bakar al-Baqir..

Keesokannya adik saya sekadar bertanya : Bang bolehka letak 2 Orang tokoh ni? , Siapa? ~ tanya saya agak terjejut (kenapa pulak tak boleh?) , Adik saya memberitahu..puncanya ialah komen dari kebanyakan kawan-kawannya mempertikaikan 2 orang tokoh tersebut kerana gambar mereka memakai serban! , adakah golongan beserban juga memberi kesan dan membantu kepada proses kemerdekaan Negara Malaysia?

Saya tidak salahkan mereka , kerana sistem pembelajaran mereka sudah demikian begitu , dimomokkan dengan acuan-acuan barat , dimomokkan dengan Kuasa mahkluk berlebihan dari kuasa Allah S.W.T!

Oleh yang demikian untuk artikel kemerdekaan yang ke-54 ..elok benar diceritakan diantara tokoh kemerdekaan yang dilupakan....


 Ustaz Abu Bakar al-Baqir

Kelahiranust-abu-bakar-albaqir.jpg
Ustaz Abu Bakar al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak tidak jauh dari Padang Rengas.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir atau dikenali juga Syeikh Abu Bakar al-Baqir berketurunan Jawa. Datuknya berasal dari Kendal, Jawa Tengah.Haji Abdul Jabbar, datuknya ialah orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang 1850-an . Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di Klang, Selangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, [Perak]], untuk akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol. Kehidupan mereka adalah dari bercocok tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said. Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd. Said, Abu Bakar Mohd. Said, dan Abdullah Mohd. Said dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd. Said, Saudah Mohd. Said, dan Hafsah Mohd. Said dididik dengan didikan agama.
Pendidikan
Beliau belajar di Sekolah Melayu selama lima tahun. Di samping itu beliau juga dididik membaca al-Quran dan ilmu-ilmu agama lainnya yang sesuai diterima oleh anak-anak sebayanya.

Setelah menamatkan Sekolah Melayu, beliau belajar di sebuah pondok di Gunung Semanggol, iaitu Madrasah ar-Rahmaniah. Pondok itu dinamakan demikian adalah sempena nama pengasasnya, Haji Abdul Rahman bin Mahmud, seorang alim yang pernah belajar di al-Azhar, Mesir dan Masjid al-Haram di Mekah. Syeikh Abu Bakar al-Baqir belajar di pondok itu selama enam tahun yakni pada tahun 1919-1924. Selepas itu beliau pindah ke Madrasah Dairatul-Maarif al-Wataniah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Di Kepala Batas, beliau diajar oleh guru yang berkebolehan termasuklah Tok Guru Haji Abdullah bin Ibrahim (Haji Abdullah Pak Him), seorang tokoh ulama yang terkenal di sebelah utara Semenanjung. Beliau belajar di situ selama enam tahun.

Ketika gurunya, Haji Abdullah bin Ibrahim berpindah mengajar ke Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar, Syeikh Abu Bakar juga berpindah ke sana, berada di sana selama tiga tahun (1931-1933), separuh masa pertama sebagai pelajar, dan pada separuh masa yang kedua sebagai guru pelatih dengan diberi gaji RM30.00 sebulan.
Ma’ahad al-Ehya al-Syarif
Beliau kembali ke Gunung Semanggol atas panggilan bekas gurunya dan bakal mertuanya, Haji Abd. Rahman, untuk sama-sama berusaha menubuhkan sebuah sekolah Islam di Gunung Semanggol sebagai ganti pondok ar-Rahmaniah.

Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abd. Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan, maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama Maahad Al-Ehya Al Shariff, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd. Rahman.
Keluarga
Dalam tahun 1935, beliau dinikahkan dengan Ustazah Fatimah Abd. Rahman. Beliau terus menyertai isterinya ini, dengan mendapat kurnia empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan, sampailah beliau menemui ajalnya pada 13 Julai 1974. Putera-puteri beliau itu ialah Sahar Mursyid Abu Bakar, Miskiah Fadilah Abu Bakar, Naqibah Nu’ma Abu Bakar, dan Aniqah Rusda Abu Bakar.
Pembaharuan

Dari segi pembaharuan Islam beliau menunjukkan wajah yang mirip dengan Syeikh Juned Tola. Yang beliau bangunkan ialah pendidikan, politik, ekonomi, dan kerja kebajikan. Tentang fahaman bermazhab atau tidak bermazhab beliau tidak begitu mengambil perhatian. Sepertimana Syeikh Juned Tola , meskipun beliau menganut fahaman pembaharuan dalam bidang akidah dan syariah, namun beliau untuk gerakan “islah”nya tidak berkonfrontasi dengan pihak Syafiiyah. Beliau menekankan pembaharuan itu pada pendidikan.

Pembangunan pendidikan rasmi telah beliau penuhi dengan ditubuhkannya Ma’ahad al-Ihya al-Syarif. Dalam hal ini beliau mendapat kerjasama daripada kaum muslimin tempatan, khasnya daripada Haji Abd. Rahman Mahmud, Tuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abd. Manaf, Penghulu Kampung Gunung Semanggol. Selain itu, beliau juga mengajar di kelas pengajian yang diadakan di masjid dan surau di sekitar Gunung Semanggol
Perjuangan politik
Dalam mesyuarat yang dihadiri oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka telah dibentuk suatu badan yang bernama Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA). Sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran MATA beliau telah memainkan peranan penting dalam merangka dasar pendidikan yang bertaraf nasional.

Dalam suatu persidangan yang diadakan di Ma’ahad al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 500 orang pada 15 November 1947 telah dibentuk pula Lembaga Pendidikan Rakyat, atau singkatannya LEPIR, yang pengelolaannya diserahkan kepada Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi. Antara matlamat yang hendak diperjuangkan oleh LEPIR ialah menyamakan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat dalam Malaya, dan untuk mencapai ini sebuah Pusat Pentadbiran Sekolah Rakyat telah dibentuk dan dikelolakan oleh Haji Zubir Ahmad, yang kemudiannya digantikan oleh Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi.

Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi (meninggal 25 September 1969).

Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2 000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS.

Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah Dr. Burhanuddin al-Hilmi. Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti ini telah mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tohmah-tohmah. Ia juga dituduh sebagai parti “merah” (komunis). Dato’ Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.

Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abd. Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (PAS).

Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas tangannya masih tetap tinggal. Ma’ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan. Ia mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar. Juga ia mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Negeri Perak. Dan masih ada sumber-sumber lain. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Tetapi sebagaimana Padang Rengas, Gunung Semanggol juga telah meletakkan beberapa baris batu-bata pada binaan Malaysia merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak. Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar.

Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh pengasuh yang sekarang ini. Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran. Guru-guru yang berasal dari Indonesia sangat menolong dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Asri Muda.

Syeikh Abu Bakar al-Baqir mengatakan bahawa kemerdekaan bagi Tanah Melayu adalah seperti buah yang sudah masak. Orang putih hanya menunggu kejatuhannya sahaja. Tetapi mereka tidak akan menyerahkannya kepada orang-orang agama. Oleh itu, perlu kita rebut supaya Malaya dapat dijadikan negara Islam.

Tentang fahaman fikahnya menurut Ustaz Shahar Mursyid Abu Bakar, Setiausaha Persatuan dan Ma’ahad al-Ihya al-Syarif, Syeikh Abu Bakar menolak beberapa perkara yang ditampalkan orang kepada mazhab Syafii seperti talkin, fidyah sembahyang, dan sepertinya. Beliau ingin agar umat Islam itu kembali kepada al-Quran

Dr.Burhanuddin Al-Helmy


UMNO yang berslogankan “Hidup Melayu” telah menciplak dan mencetak rompak perjuangan gerakan kiri untuk menuntut kemerdekaan. Sudah tentulah penjajah memberikan kemerdekaan kepada UMNO, MCA dan MIC oleh kerana mereka akan terus menjaga kepentingan British selepas negara merdeka.

PKMM, API dan AWAS semuanya telah diharamkan oleh penjajah British dan UMNO, MCA dan MIC telah diangkat menjadi wira sedangkan mereka semua adalah penjilat penjajah.



Sila klik disini ini untuk melihat klip video nyanyian solo lagu Burhanuddin Al-Helmy


Latar Belakang

Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak.
Burhanuddin Al-Helmy mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama dan sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926.

Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas senawi pada tahun 1934.

Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan falsafah.
Beliau dianugerahkan PhD daripada Universiti Aligarh, India.

Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura.
Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.
Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura.
Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Pembabitan awal Burhanuddin Al-Helmy:
·        Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura
·        Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura
·        Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah
·        Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939
·        Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa pendudukan Jepun
·        Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945
·        Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945
·        Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947
·        Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947
·        Ahli pengasas PEPERMAS, 1947
·        Ahli pengasas MATA, 1947
·        Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948
·        Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955
·        Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955
·        Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955


Pengaruh Awal Pemikiran

Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda.
Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.

Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India Burhanuddin Al-Helmy telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat Islam di sana.
Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy telah bergiat cergas dalam pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak British di sana.

Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmy terus bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.
Ditahan dan Merengkok dalam Penjara
Selepas tamat pelajarannya di India, Burhanuddin Al-Helmy mengembara ke Palestin dan Turki. Semasa di Turki belaiu ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana.
Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmy  telah menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British. Beliau dipenjarakan selama enam bulan.
Terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak $1,000.

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda.
Dia telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut, iaitu dari dari tahun 1950 hingga 1952.
Terdapat catatan yang peristiwa Natrah itu hanya sebagai alasan bagi pihak British menahan Burhanuddin Al-Helmy.
Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmy ditahan oleh British kerana semasa Darurat pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan.

Peristiwa Natrah hanya dijadikan alasan oleh pihak British. British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.
Burhanuddin Al-Helmy menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia.
Burhanuddin bin Al-Helmy jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac 1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.
Tokoh Perjuang Kemerdekaan
Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah antara tokoh ulung perjuangan kemerdekaan.Beliau bergiat cergas dalam KMM dengan tujuan menentang penjajahan British.
Semasa pendudukan Jepun, Burhanuddin Al-Helmy dan beberapa orang rakannya mengambil strategi licik. Ini diungkapnya sebagai:


”Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di ruimba jadi anti-fascist ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya”
Dengan sokongan pihak Jepun, beliau bersama-sama Ibrahim Yaacob memimpin KRIS membuat persetujuan dengan Seokarno dan Mohd Hatta di Taiping untuk mengisytiharkan kemerdekaan serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945.
Tetapi Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945.
Seokarno meneruskan rancangannya mengisytiharkan Indonesia merdeka dari Belanda pada 17 Ogos 1945.
Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak dapat berbuat demikian memandangkan perkembangan yang amat berbeza di Tanah Melayu ketika itu.

Selepas Jepun berundur, PKMM ditubuhkan sebagai satu kesinambungan daripada KMM. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Ketua Umum PKMM yang pertama.
Semasa diadakan kongres PKMM ke-2 di Melaka pada Disember 1946, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah disambut hebat oleh pelbagai lapisan kaum di sana. Dalam ucapan tersebutlah Burhanuddin Al-Helmy melafazkan pantun pusakanya yang terkenal:
Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Pembabitan Burhanuddin Al-Helmy dalam PUTERA, PEPERMAS, MATA dan Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 adalah juga dengan tumpuan menyemarakkan perjuang mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.

Di antara kemuncak perjuangannya menuntut kemerdekaan adalah apabila Burhanuddin Al-Helmy sebagai pengerusinya telah menerajui Sepuluh Dasar PUTERA-AMCJA beserta bendera merah putih duabelas bintang kuning sebagai melambangkan Malaya Merdeka.
Pembabitannya melancarkan Parti Rakyat Malaya sebaik sahaja Ahmad Boestamam dibebaskan dari penjara pada tahun 1955 juga adalah dalam konteks menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada masa itu politik kiri adalah bermaksud anti-British. Mereka yang mengambil sikap no-cooperation terhadap penjajah British di anggap sebagai ”kiri”. Sedangkan mereka yang bersikap cooperation seperti UMNO, dianggap ”kanan”.
Menyertai dan Memimpin PAS

Ketika PAS ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, Dr. Burhanuddin Al-Helmy masih dalam tahanan penjara di Singapura.

Apabila Yang Dipertua Agung Pas yang pertama, Ustaz Ahmad Fuad melepaskan jawatannya pada tahun 1953 tugas memimpin PAS diambilalih oleh Dr. Hj Abbas Alias.

PAS di bawah kepimpinan Dr. Abbas tidak begitu lama, iaitu hanya selama 3 tahun 2 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan Dr. Abbas tidak dapat bergerak aktif kerana masih terikat dengan jawatannya di dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu sebagai seorang pegawai perubatan.

Angkatan muda dalam PAS pada masa itu yang antaranya terdiri daripada Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri Muda telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan utama PAS.

Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hanya bergiat cergas mempromosi Parti Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Beliau bersetuju untuk menyertai PAS.

Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz Hasan Adli untuk mendapatkan persetujaun bertulis daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan meminta beliau mengisi borang PAS.

Walau bagaimanapun, sebelum itu pun memang sudah terdapat persetujuan tidak rasmi di kalangan mereka bertiga agar Ahmad Boestamam menerajui Parti Rakyat Malaya, Ishaj Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan Burhanuddin bin Al-Helmy menerajui PAS. Jadi pelawaan daripada pemimpin-pemimpin PAS kepada Burhanuddin Al-Helmy adalah tepat pada masanya.

Demokrasi dalam PAS

Setahun sebelum Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyertai PAS, beberapa orang pemuda juga telah pergi ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Prof Zulkifli Muhammad. Tujuan mereka adalah untuk mempelawanya menyertai PAS.

Prof Zulkifli Muhammad menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1955.

Dalam Muktamar PAS ke-5 pada 25 Disember 1956, terdapat dua pencalonan bagi jawatan Yang Dipertu Agung, iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.


Daripada kawasan-kawasan Prof Zulkifli Muhammad mendapat pencalonan yang lebih banyak daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Keadaan ini adalah disebabkan terdapat ahli-ahli PAS pada masa itu yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum menyertai PAS.

Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Muhammad memandangkan beliau seorang tokoh muda yang sangat karismatik dan pernah belajar agama di Mesir.

Dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad.

Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam PAS sejak awal-awal penubuhannya.

Muktamar seterusnya memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan PAS. Selepas diberikan amanah memimpin PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmy menunjukkan betapa gigihnya beliau melaksanakan tugas tersebut.

Pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam PAS adalah yang paling lama jika dibandingkan dengan tempoh beliau berada dalam mana-mana parti terdahulu yang disertanya. Malah hayatnya ditutup dalam PAS. Bahkan pada zamannya juga PAS berkembang dengan luasnya.

Tugas memimpin PAS dilaksanakan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy walaupun sebahagian dari tempoh ini dilaluinya semasa menjalani penahanan dan sekatan tanpa bicara di bawah ISA.

Seorang Demokrat Berperlembagaan

Selaras dengan dasar PAS mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk mendapatkan suara rakyat bagi mengukuhkan perjuangan Islam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1959. Beliau menang dan menjadi wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Besut, Terengganu.

Pada masa itu sistem pilihanraya Dewan Undangan Negeri dijalankan mengikut negeri ke negeri. Negeri paling akhir selepas Terengganu adalah Kelantan.

Dengan sistem seperti ini, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pimpinan PAS telah menyusun tenaga kerja jentera PAS dipindahkan dari satu negeri ke satu negeri.
Di Dewan Undangan Negeri Terengganu, PAS menang 13 daripada 24 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu.

Manakala di peringkat Parlimen pula, calon-calon PAS menang empat kerusi, iaitu Ustaz Hasan Adli di Kuala Terengganu Utara, Khadijah Sidek di Dungun, Harun Pilus di Terengganu Tengah dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Besut.

Dengan kemenangan ini, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy menggunakan kempen ”Kalau di Terengganu PAS boleh menang, kenapa Kelantan tidak?”

Ternyata taktik ini berkesan sekali sehingga PAS memenangi 28 daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri dan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan.
PAS juga memenangi sembilan daripada sepuluh kerusi Parlimen di Kelantan.

Dalam konteks yang lebih luas, Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mempertahankan amalan demokrasi di atas dasar Perlembagaan yang sedia ada. Di atas sebab itu beliau menentang penubuhan Malaysia. Baginya, penubuhan Malaysia adalah bertentangan dengan konsep Persekutuan yang memberi ruang yang luas bagi pembangunan setiap negeri di bawahnya.

Menurutnya, dengan wujudnya Malaysia, maka ”mahu tidak mahu Kelantan menjadi satu bahagian di bawah kekuasaan Malaysia”. Dr. Burhanuddin Al-Helmy mahu kerajaan Pusat bersikap lebih demokratik dengan merundingkan penubuhan Malaysia dengan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Di bawah pimpinannya, kerajaan PAS Kelantan telah mengheret isu Malaysia ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi penanguhan pembentukan Malaysia.

Ternyata pendekatan dan ketokohan Dr. Burhanuddin Al-Helmy serta pemimpin-pemimpin PAS yang lain pada masa itu amat diterima rakyat, khasnya di kalangan kaum Melayu.

Kejayaan PAS dalam pilihanraya 1959 juga membuktikan PAS adalah sebuah parti politik dan gerakan Islam yang bersedia memanfaatkan saluran sistem demokrasi yang bersesuaian dengan Islam bagi tujuan memajukan Islam, rakyat dan negara.

Di atas kejayaan ini, kerajaan Perikatan menggunakan taktik kotor untuk menghalang kemaraan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Satu langkah licik telah digunakan untuk menghalang Dr. Burhanuddin Al-Helmy daripada mempertahankan kerusi Parlimen Besut.

Dalam pilihanraya 1964, Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak layak bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan.

Sumbangan kepada Gerakan Islam

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pemimpin politik Islam yang mendahului zamannya.

Beliau adalah seorang yang progresif, realistik, berpandangan global serta sentiasa bertindak berpandukan prinsip-prinsip Islam.

Beliau progresif kerana beliau menolak sebarang bentuk dan unsur kolonialisme. Motivasi utama dalam perjuangan politiknya dalah untuk memerdekan rakyat Tanah Melayu – bahkan seluruh bumi Asia – daripada penjajahan, sama ada penjajahan dari Barat mahupun dari Timur.

Beliau realistik kerana belaiu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak – parti politik bukan Melayu atau bukan berasaskan Islam – yang memiliki cita-cita dan tujuan yang sama, iaitu untuk sama-sama mencapai matlamat perjuangan membebaskan rakyat daripada penjajahan.

Dari satu sudut Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang ahli politik yang bersikap praktikal dan realistik kalaupun tidak pragmatik.

Pendekatannya terbuka. Pengalaman silamnya sebelum menerajui PAS yang sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengejar cita-cita bersama - iaitu kemerdekaan – telah berjaya menempatkan PAS dalam kancah arus perdana politik negara pada masa itu.

PAS dilihat ada kelainan tetapi tokoh PAS ini tidak lain dan asing bagi mereka yang sama-sama mahu mengejar cita-cita kemerdekaan.

Pakatan politik yang diwujudkan olehnya dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan berasaskan Islam telah melonjakkan PAS sebagai sebuah parti yang berjuang di atas satu ideologi yang jauh lebih jelas daripada UMNO.

Kelainan inilah yang sebut oleh pimpinan PAS hari ini sebagai aqidah perjuangan. Dalam bahasa Dr. Burhanuddin Al-Helmy ia disebut sebagai ideologi perjuangan.

Ini kerana pada masa pemimpin-pemimpin UMNO terperangakap dengan persoalan politik perkauman dan perjuangan kebangsaan yang sempit, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy berjaya meyakinkan rakyat bahawa akar umbi masalah rakyat Tanah Melayu adalah warisan penjajahan yang berupa penindasan ekonomi dan politik serta sistem kapitalis global yang menindas dan memperhambakan pribumi tanah jajahan.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga mendedahkan kepincangan masyarakat apabila sejumlah elit politik pribumi bersekongkol melindungi dan mempertahankan penindasan sistem penjajah ini.

Karya dan Penulisan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menghasilkan buku yang bercorak politik antaranya:

• Perjuangan Kita, 1946
• Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947
• Agama dan Politik, 1954,
• Ideologi Politik Islam, 1957 Namanya Diabadikan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah jatuh sakit semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh.

Namanya diabadikan di sebuah sekolah di Taiping dan nama jalan di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Selangor.

Beliau dianugerah pingat emas Commander of World Order of Human Merit daripada I’Ordre Universal du Merit Human, Geneva pada 15 November 1959 di atas sumbangannya dalam pembangunan perubatan homeopati.


Currently have 0 comments:


Leave a Reply