Tangungjawab Melaksanakan Hukum Allah
Terdapat beberapa ayat di dalam al-Quran yang begitu jelas menunjukkan bahawa umat Islam diwajibkan melaksanakan hukum Allah di atas muka bumi ini:
1. “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-Kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikuti kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari kebenaran yang telah datang kepadamu. Bagi tiap-tiap umat yang ada diantara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti), dan jika Allah mengkehendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu.” (al-Maidah, 5:48)
2. “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan Allah dan janganlah engkau menurut hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari suatu hukum yang telah diturunkan Allah kepadamu.” (al-Maidah, 5;49)
3. “Kesudahannya Kami jadikan engkau (Wahai Muhammad) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama, maka turutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.” (al-Jathiah, 45:18)
4. “Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu tetapi setelah mereka berselisihan, Allah mengutuskan Nabi-Nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang engkar dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama-sama Nabi-Nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perlisihkan (al-Baqarah, 2:213)
5. “Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu wahai Muhammad kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (an-Nisa’, 4:105)
Kesan keengganan melaksanakan hukum Allah dapat dilihat dengan jelas di dalam ayat-ayat berikut:
1. “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (al-Maidah, 5:47)
2. “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Maidah, 5:45)
3. “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (al-Maidah, 5:44)
Pembahagian Kesalahannya:
Di dalam Islam, secara umumnya, Kesalahan Jenayah Syariah terbahagi kepada tiga kelompok besar iaitu Jenayah Qisas, Jenayah Hudud dan Jenayah Ta’zir.
· Jenayah Qisas mengandungi kesalahan-kesalahan membunuh, mencedera dan menggugurkan janin.
· Jenayah Hudud mengandungi kesalahan-kesalahan melakukan zina, menuduh zina, mencuri, merompak, meminum arak, murtad dan menderhaka.
· Jenayah Ta’zir mengandungi pelbagai kesalahan selain dari kesalahan-kesalahan qisas dan hudud, atau kesalahan-kesalahan qisas dan hudud yang didapati tidak sempurna syarat dan rukunnya (untuk bacaan lanjut, sila rujuk ‘Abd al-Qadir ‘Audah, vol:2)
Asas Pembalasan:
Kesalahan-kesalahan qisas dan hudud merupakan kesalahan-kesalahan yang sudah ditetapkan pembalasannya menerusi al-Quran dan Sunnah atau Sunnah sahaja. Jenis dan kadar pembalasannya tidak dapat ditukarganti atau dikurang atau dilebihkannya. Kesemuanya adalah berdasarkan kepada ketentuan nas.
Di dalam kesalahan ta’zir, jenis dan kadar pembalasan diserahkan kepada budi bicara hakimmenentukannya dengan tertakluk kepada beberapa syarat. Justeru, pembalasannya tidak tetap dan boleh berubah-rubah mengikut pendapat hakim yang disesuaikan dengan kedudukan diri pesalah dan tahap atau jenis kesalahan yang dilakukannya.
Perlaksanaan Pembalasan:
Pembunuhan
Kesalahan membunuh dengan sengaja boleh membawa kepada hukuman mati (iaitu qisas atau bunuh balas) ke atas pesalah jika sabit kesalahannya dan dia tidak mendapat pengampunan daripada ahli waris mangsa. Pembalasan ini telah dilakukan Rasulullah SAW di dalam kes kematian seorang remaja perempuan Yahudi yang dihentak kepalanya dengan seketul batu secara sengaja oleh seorang lelaki Yahudi dan kes kematian seorang mangsa pembunuhan yang ditemui terlantar di antara dua buah kampung.
(Riwayat ‘Abd al-Razzaq, 9:279, 10:15, 22, 27, 101: al-Bukhari, 12:198, 213; Muslim, 3:1299; Abu Daud, 12:232, 233, 235, 257-259, 267-269, al-Nasa’I, 8:21,22: al-Tirmidhi, 4:542, 545; Ibn Majah, 2:889, 897. Dan Ibn Abi Syaibah, 6: 362, 364, 366, 390, 407, 420 dan lihat juga Ibn al-Talla’, h.13).
Mengenai bayaran pampas an nyawa (diyah) dapat dilihat di dalam kes Sahl bin Abi Hathmah yang terbunuh di Khaibar.
(Riwayat al-Bukhari, 12:229; Muslim, 3:1291; Abu Daud, 12:241-253, 290; al-Nasa’I, 8:12; al-Tirmdhi, 4:549. 561, 567-569; Ibn Majah, 2:892-893; Ibn Abi Shaibah, 6:369, 409).
Kecederaan
Pembalasan dalam kesalahan ini ialah qisas kecederaan jika kesnya sabit sebagai kes sengaja, di antaranya, telah dilaksanakan Rasulullah SAW di dalam kes seorang lelaki yang dengan sengaja menikam kaki mangsanya dengan tanduk dan kes Rubaiyya’ bin al-Nadr yang memukul muka seorang remaja perempuan menyebabkan patah gigi hadapannya.
(Riwayat ‘Abd al-Razza, 9:452, 453, 453; al-Bukhari, 12:223, Abu Daud, 12:333; al-Tirmidhi, 4:562; Ibn Abi Shaibah, 6:405, 447 dan lihat juga Ibn al-Talla’, h.20 ).
Terdapat dua kes di mana baginda hanya mengenakan bayaran pampasan sahaja disebabkan pembalasan qisas kecederaan tidak dapat baginda melaksanakannya ke atas pesalah, seperti kes seorang yang telah dicederakan tangannya sehingga putus pada pertengahan lengannya dan kes seorang yang dicederakan pada bahagian mukanya.
(Riwayat Ibn Majah, 2:880, 881, 883).
Pengguguran
Kesalahan pengguguran mengakibatkan pesalahnya menanggung pembayaran ghurrah kepada waris mangsa. Baginda telah memutuskan pembalasan ini di dalam kes seorang perempuan daripada Bani Huzail yang keguguran janin akibat dipukul oleh pesalah yang juga seorang perepmpuan.
(Riwayat Malik, 533; ‘Abd al-Razzaq, 10:56-62; al-Bukhari, 12:246-247, 252; Muslim, 3:1309; Abu Daud, 12:311-317, 319; al-Nasa’I, 8:21-22; al-Tirmidhi, 4:554, 555; Ibn Majah, 2:882: Ibn Abi Shaibah, 6:338, 340, lihat juga Ibn al-Talla’, h. 15; Ibn Qudamah, 9:535; ‘Abd Qadir ‘Audah, 2:299).
Didalam kesalahan-kesalahan Hudud pula:
Zina
Kesalahan zina membawa hukum rejam jika penzinanya seorang yang muhsan. Pembalasan ini telah dilaksanakan baginda di dalam empat kes, iaitu kes Ma’iz al-Aslami, al-Ghamidiyyah, kes sepasang orang yahudi dan kes al-‘Asif (seorang pembantu rumah lelaki yang berzina dengan isteri tuannya). Tidak terdapat riwayat yang menunjukkan baginda mengenakan hukuman mati ke atas pesalah liwat.
(Riwayat Malki, 3: 77, 78-81, 82-85, 86, 87, 91-94; ‘Abd al-Razzaq, 7:315-318, 320-322, 324, 325; al-Bukhari, 12:117, 121, 128, 129, 135, 136, 137, 156, 166, 172; Muslim, 3:1317, 1320, 1325, 1326; Abu Daud, 12:99-105, 108, 110-113, 118-119, 122, 123, 128-130, 131-132, 138-140, 145, 169-170; al-Tirmidhi, 4:576, 577-580, 582-584, 587, 588, 589, 595; Ibn Majah, 2:852, 854, 855; Ibn Abi Shaibah, 6:486, 550, 551-554, 557-558. Lihat juga al-Shaukani, 6:285, 7:86, 92, 95, 96).
Sementara pembalasan 100 kali sebat dikenakan ke atas pesalah bukan muhsan. Pembalasan ini Baginda SAW laksanakan di dalam kes seorang lelaki yang telah sabit berzina dengan seorang perempuan. Menurut hadis tersebut, pada mulanya baginda mengenakan pembalasan sebat sahaja ke atas pesalah tersebut berdasarkan maklumat awal bahawa dia bukanlah seorang muhsan, tetapi apabila ternyata bahawa dia seorang muhsan Baginda mengeluarkan arahan supaya dia direjam.
(Riwayat Abu Daud, 12:20-121, 161, 162. Lihat al-Shaukani, 7:87).
Qadhaf
Kesalahan qadhaf boleh menyebabkan hukuman sebat sebanyak 80 kali ke atas pesalahnya. Ini telah dilaksanakan Baginda SAW di dalam kes fitnah terhadap isterinya ‘Aisyah r.a yang telah dituduh melakukan perbuatan curang dengan lelaki sesudah tamat peperangan Bani Mustaliq. Ketiga-tiga pesalah berkenaan, Hassan bin Thabit, Mistah bin Uthathah dan Hamnah bint Jahsh, dikenakan sebatan had qadhaf oleh baginda.
(Riwayat al-Nasa’I, 6: 171; Abu Daud, 12:173, 174; Ibn Majah, 2:859. Lihat Ibn al-Talla’, h. 31).
Curi
Kesalahan curi, jika sabit, boleh menyebabkan pesalah dikenakan pembalasan had potong tangan kanan dari pergelangannya. Di antara beberapa kes yang menunjukkan baginda telah melaksanakan pembalsan had potong tangan ke atas pesalah ialah kes kecurian barangan Safwan bin Umaiyyah, kes kecurian jubah seorang wanita, kes kecurian perisai besi, kes kecurian topi besi dan kes kecurian barang pinjaman oleh seorang perempuan suku Makhzumiyyah yang bernama Fatimah binti al-Asad, termasuk kes-kes lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari.
(Riwayat Malik, 3:56-58; ‘Abd al-Razzaq, 10:188, 235, 236; al-Bukhari, 12:97; Muslim, 3:1312, 1313, 1316; Abu Daud, 12:23, 53, 66, 86, 89; al-Nasa’I, 8:68, 69, 70, 72, 73-75 dan Ibn Majah, 2:849, 851, 862, 863, 865, 866; al-Tirmidhi, 4:597-598, 5: 3-4, 6; Ibn Abi Shaibah, 6: 463, 466, 475, 485, 528, 529 dan lihat juga al-Shaukani, 7: 129).
Rompak
Kesalahan ini akan membawa hukuman bunuh dan salib jika pesalah membunuh mangsa dan merampas hartanya, atau hukuman bunuh sahaja jika tidak merampas hartanya, atau hukuman potong tangan dan kaki berselang seli jika pesalah merampas hartanya, atau dibuang daerah sahaja jika dia hanya menakutkan para pengguna jalanraya. Pembalasan ini pernah baginda lakukan di dalam kes sekumpulan orang dari ‘Ukl dan ‘Urainah yang dating ke Kota Madinah, mengisytiharkan pengislaman mereka, tetapi kemudiannya, apabila mereka berada di luar kota itu di satu kawasan bernama al-Harrah, mereka keluar dari agama Islam dan menjadi murtad, mereka merampas unta-unta baginda serta membunuh kesemua pengembalanya, lalu baginda bertindak mengerat tangan dan kaki mereka, membutakan mata mereka dan membiarkan mereka di dalam keadaan sebegitu sehinggalah mereka mati di kawasan itu. Tindakan baginda ini berlaku sebelum turunnya ayat 33 dari surah al-Maidah yang berkaitan pembalasan merompak.
(Riwayat ‘Abd al-Razzaq, 10:106-108, al-Bukhari, 12:109, 111, 112; Muslim, 3:1296-1298; Abu Daud, 12:20-22, 23, 27, 28; al-Nasa’I, 7:94-98, 105; Ibn Majah, 2:861 dan lihat al-Shaukani, 7:151).
Minum arak
Kesalahan ini mengakibatkan hukuman sebat ke atas pesalah sebanyak 40 kali. Perlaksanaan hukuman di dalam kes ini telah dilakukan Baginda terhadap seorang lelaki yang sabit kesalahannya, lalu Baginda menyebatnya sebanyak 40 kali dengan dua pelepah tamar (riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan al-Tirmidhi).
Tetapi Khalifah ‘Umar bin al-Khattab menambahkan 40 sebatan lagi, berdasarkan ijtihadnya, menjadikan bilangannya sebanyak 80 sebatan, tanpa mendapat bangkangan daripada para sahabat pada waktu itu. Ini menjadikan pembalasan 80 sebatan itu sebagai ijmak para sahabat.
Tetapi Khalifah ‘Umar bin al-Khattab menambahkan 40 sebatan lagi, berdasarkan ijtihadnya, menjadikan bilangannya sebanyak 80 sebatan, tanpa mendapat bangkangan daripada para sahabat pada waktu itu. Ini menjadikan pembalasan 80 sebatan itu sebagai ijmak para sahabat.
(Riwayat ‘Abd al-Razzaq, 9:246, 247, 270; al-Bukhari, 12:63-66, 75; Muslim, 3:1330; Abu Daud, 12:178, 180, 182, 183, 197; Ibn Majah, 2:858, 859, Ibn Abi Shaibah, 6:503, 504 dan lihat juga al-Shaukani, 7:138, 139).
Murtad
Pembalasan di dalam kesalahan ini ialah hukuman mati berdasarkan Hadis Qauli dan tindakan baginda terhadap sekumpulan orang dari ‘Ukl dan ‘Urainah. Rujuk ulasan di dalam kes rompakan (sebelum ini) dan kes Abu Musa al-Ash’ari yang membunuh seorang Yahudi kerana murtad di Yaman pada masa Rasulullah SAW disaksikan oleh Mu’az bin Jabal.
(Riwayat al-Bukhari, 12:268; Muslim, 3:1296-1298; Abu Daud, 12:8, 10, 11; al-Nasa’I, 7:105. Lihat al-Shaukani, 7:151).
Penderhakaan
Pesalah di dalam kesalahan ini wajib diperangi sehingga kalah atau meletak senjata atau dibunuh jika mereka tidak menyerah diri. Kes ini hanya berlaku pada zaman Khalifah ‘Ali bin Abi Talib k.w. di dalam dua peperangan, iaitu peperangan Jamal (656M) dan al-Siffin (657M). Di dalam peperangan pertama beliau ditentang oleh ‘Aishah r.a (isteri baginda Rasulullah SAW) dan di dalam peperangan kedua beliau ditentang oleh Mu’awiyah bin Abi Sufyan (gabenor Sham) dan kumpulan Khawarij (selepas peperangan itu) apabila mereka keluar dari kumpulan yang penyokongnya
(al-Shaukani, 7:157, 158)
mohon copy paste ye saudara....
syukran saudara...
Demi Allah, ingin saya menegur dan memberi pandangan. QS5:44, 45 dan 47 merujuk kepada ajaran yang terdapat didalam Taurat dan Injil ia itu dituju khas kepada ahli kitab ia itu ulamak dan pendita Yahudi dan juga Nasrani. Memang benar keengganan melaksanakan hukum Allah menyebabkan seseorang itu menjadi kafir, zalim dan fasik tetapi kita perlu faham teks dan konteks ayat-ayat suci al-Quran sebelum kita memetiknya dan menyebar kepada masyarakat umum yang kebanyakannya masih jahil dan malas mengaji dan mengkaji. Marilah kita sama-sama rujuk dan baca semula ayat-ayat tersebut. Harap maaf dan keselamatan atas mereka yang sentiasa mengikut petunjukNya.