Wednesday, January 26, 2011
HARUN DIN TUMPASKAN MUBALIGH ANGKUH!
Posted by Usrah Jamaah Anak Muda | Wednesday, January 26, 2011 | Category:
usrah
|
Ehsan : Mastika
Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja.
Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat. Lelaki itu menghidupkan TV 29 inci yang baru dibelinya tidak sampai dua bulan dengan remote yang berada di tangannya. Ditukarnya satu per satu siaran televisyen, TV3, TV2, semuanya sama. Tidak ada apa yang menarik. Bosan!. Dia menukar pula kepada siaran TV1 .
Kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung.Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato’ Dr. Haron Din.Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut.
Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam
bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa
Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincang?an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak
apabila mendengar Haron Din mengatakan: “Bandingan segala kebaikan amal dan
usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang
diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh
sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu
menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh
daripada kebenaran.”
Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah
menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan
hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang
dilakukan oleh orang bukan Islam?
Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh
orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah
dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak
diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika
begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.
Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India
itu akhirnya bertekad untuk ber?jumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat
dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan
kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang
bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara
terbuka di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak
peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan
bagaimana untuk bertemu dengannya.Setelah beberapa bulan memendam niat untuk
bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang
dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu
dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya.
Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis
malam Jumaat, seminggu sekali.
Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di
hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil
memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang
bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.
Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan
Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul
tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih
terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.
Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan
marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula
surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas
itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut,
kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta
kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia
rasa amat terpegun.
Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam
dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki
berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih
menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan
untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu
berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din.
Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya
terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.
Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada
dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din
ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum
Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk
mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan
terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam
dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah
Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi ‘masalahnya’ semakin lama
mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-
kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan
mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi
sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya
pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.
Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja.
Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah
berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut,
lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang
Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam?
Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama
lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?
Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya
amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam
tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam
tidak berapa lama dulu.
Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; ” Untuk memudahkan
saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang
hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan
segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.
” Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti
mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian
bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah.
Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa
yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?
“Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan
kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya
kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan
memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita
lakukan bukan untuk Dia?”
Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas
pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah
dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh
Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung
perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron
Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya
hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara
rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk
Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan
seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak
puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.
Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: “Memang kenyataan itu saya
tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir
tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum
balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi,
sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir.”
“Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu.
Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati
dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi
penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam,” jelas
Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di
atas.
Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid
Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat
hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.
“Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dan
berbalah dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya
itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan
dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat
dengan beliau,” jelasnya.
Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap
agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak
aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain
itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun
kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan
ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.
“Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan
yang satu. Di dalam kitab?kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa
yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar
di dalam kitab.
“Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam
Tuhan, selain dari Tuhan yang satu,” tegas lelaki yang berasal dan Banting,
Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan
agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia
belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa
yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri,
ternyata bercanggah sama sekali.
“Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar,
saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah
beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya
mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan
yang Allah berikan pada Haron Din,” kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman
yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke
hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.
Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini
Fitri masih tetap begitu. “Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas
landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada
saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar
dari Islam. Murtad.
“Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman
mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang
saya lalui sebelum ini.
“Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah
anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat,
sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang
bertuah ini,” ujarnya bersungguh?sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang
itu.
catitan :
Benarlah bahawa Hidayah Allah hanya untuk hamba yang dikehendaki-NYA sahaja.
Selagi hayat dikandung badan, kita mesti hapuskan gerakan mengkristiankan umat
Islam di Malaysia. Semakin lambat kita bertindak, ditakuti bilangan orang
murtad ini akan bertambah. Bertindaklah, walau dengan apa jua sekalipun,
paling tidak kita doakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam dari fitnah
Kristian ini selepas solat fardhu. Apa yang paling saya kesalkan bahawa isu
ini dipandang sepi oleh sesetengah pihak dan kita tidak boleh lagi menuding
jari serta mengharapkan kepada kerajaan, JAKIM Jabatan Agama Negeri dan
sebagainya, Syiar Islam itu diamanahkan kepada setiap individu Islam dan
bukannya kepada kerajaan atau mana-mana pertubuhan sekalipun.
Ustaz Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat
ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita.Sungguh
sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang
beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi,pelajari dan amalkan.
Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan
Islam kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin,
Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus?
Mengapa?
Sharing & Caring Credit : http://u-jam.blogspot.com/2011/01/harun-din-tumpaskan-mubaligh-angkuh.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamualaikum.
saya hendak bertanya sekiranya salah seorang murid yang belajar dengan ustaz ada tak bernama seperti berikut:
Mohd Badrul Bin Haji Ibrahim berasal dari Kelantan sekarang telah menjadi guru silat Jurus Makrifat di Gombak?