[close]

Jamaah Anak Muda Se-Malaya

Utama

free counters

Ukhwah Jamaah

"BangkitLah Jemaah Anak Muda!"
U-jamV3.0. Powered by Blogger.

Tuesday, August 2, 2011

Selebriti Terrorist (The Trouble Makers of the Nation) : Mengganas Di Kelantan!

Posted by Usrah Jamaah Anak Muda | Tuesday, August 2, 2011 | Category: |


Assalamualaikum Sahabat-sahabat U-jam

Hari ini Selasa 2 Ogos 2011 , bersamaan 2 Ramadhan 1432 , Alhamdulillah.. sudah 2 hari kita diberikan nikmat Ramadhan Al-Mubarak dan kita sentiasa berdoa agar dikurniakan nikmat dan rahmat ini sehingga ke permulaan Syawal.

Selepas berusaha bersama-sama sahabat dalam program Karnival Amal 2 Dekad bermula pada 28 - 31 Julai di Stadium Mini Bangi Seksyen 15 , saya berasa amat lega , walaupun letih kerana berkampung selama 4 hari , apatah lagi waktu tidur dan tempat tidur yang tidak menentu namun setelah melihat-lihat kesan program tersebut ianya amat berjaya sekali!, terlalu banyak untuk diceritakan...

Namun, saya seperti terpanggil..terasa masih ada program utama yang saya terlepas pandang..ianya seperti ada sesuatu yang tidak lengkap dan menjadi tanda tanya..mungkin sahabat-sahabat juga pernah mempunyai perasaan sebegini?

Selepas subuh tadi saya melayari FB sahabat-sahabat kelantan , sekadar untuk melihat-lihat program yang muncul di ambang ramadhan dan akhirnya apa yang menjadi tanda tanya Akhirnya terjawab!

Kelihatan beberapa gambar selebriti yang digelar "The Trouble Makers of the Nation" oleh Ustaz Hasrizal sedang bersantai meyampaikan buah pandangan masing-masing dalam satu Forum yang diberikan nama " Hari Hiburan Islam". Ianya berlansung pada 29-30 Julai baru-baru ini.

Umum telah pun mengetahui dan maklum , dalam perjalanan seseorang selebriti , mereka tidak sebebasnya boleh muncul di Media Perdana..walaupun sepopular mana mereka itu , mereka tetap akan dikesan melakukan kesalahan yang besar kerana mereka adalah public figura kepada Masyarakat.

Apa yang memeningkan kepala saya ialah...3 orang selebriti ini seorang bekas Mufti , Seorang bekas gitaris kumpula Rock terkenal dan Seorang Pelakon / Pengacara wanita bukan sahaja dinafikan hak mereka untuk berkelana di Media Konvensional malah diumpamakan sebagai pengganas selebriti..kemungkinan Wardina akan menceritakan bagaimana beliau membuat resepi bom C4 untuk diletupkan di kediaman Perdana Menteri , Sham Kamikaze mungkin merbahaya kerana beliau akan mengajak anak-anak muda membawa senjata , parang dan kayu untuk menawan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman , dan lebih membahayakan Ustaz Asri dipercayai mempunyai pusat latihan militan di bawah tanah perairan Langkawi!

Sebenarnya ..seperti Bob Lokman dan Ustaz Zamri ..mereka ini merbahaya kerana mereka mempunyai pandangan tidak terbatas berkaitan ilmu-ilmu Islam..mereka tiada sensor, mereka akan bercakap hal Islam semahunya tanpa ada apa-apa agenda terselindung , mereka akan mengatakan yang haram adalah haram..dan yang halal adalah halal , mereka dikhuatiri akan memesongkan pemikiran sekular masyarakat yang ditanam sekian lama oleh Pemerintah BN kepada Pemikiran Islam yang syumul yang dibawakan oleh Pembangkang PAS.

Kerana Pemikir Politik Sekular sudah membuat kajian..."Jikalau seorang dari rakyat malaysia (Termasuk Non-Muslim)  memahami sepenuhnya apa itu Islam, maka mereka tidak sukar untuk menyokonng PAS!"

Untuk kita menyelami apa yang berlaku dan aksi apakah yang dijiwai oleh selebriti-selebriti ini , maka jalan terbaik kita lihat sendiri apa yang diluahkan oleh mereka kerana mereka berada di atas pentas itu..dan mereka lebih menjiwai..Alhamdulillah..melalui carian..saya akhirnya berjaya mendapatkan ulasan program dari Ukhti Wardina , Akhi Ustaz Hasrizal dan Akhi Asri melalui blog rasmi meraka.

Ukhti Wardina Safiyyah

HIBURAN DIBERI DEFINISI YANG BERBEZA DI KELANTAN


Ianya bermula dengan jemputan ke Kelantan melalui email - untuk hadir ke Program Bicara Selebriti anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang pernah dihadiri saya sehingga mencetus kontroversi suatu ketika dahulu  - Ya tepat sekali "Artis TIDAK BOLEH dijadikan IKON" - Kali ini dijangka menggabungkan Dr Asri Zainul Abidin, Ustaz Hasrizal, Sham dan Amin Idris selaku moderator  di satu pentas yang sama  dengan saya...

Ustaz Hasrizal menggelar kami "trouble maker 2011". Tersenyum saya sendiri. Seorang wanita? Bersama IKON hebat ini? Oh tidaklah saya layak sama sekali...menolaknya? Tidak mungkin saya lepaskan peluang ini untuk menimba pengalaman - ianya satu penghormatan yang amat besar buat diri yang serba kerdil ini... Saya tiba sehari awal untuk  program khusus yang dipinta oleh saya sendiri- saya meminta supaya dianjurkan pertemuan bersama ibu bapa muda di KElantan - terlalu banyak yang ingin dikongsikan.

DIbawa ketiga-tiga permata hati bersama saya kali ini. Esoknya satu lagi program diatur bersama dengan Nisa' dan remaja2 serta wanita Kelantan. :) Kita berbicara mengenai  definasi "cantik" yang realitnya tidak berapa cantik. Malam 30 Julai adalah malam kemuncak - tibalah saat yang ditunggu-tunggu... dan tiba-tiba entah dari mana kepala saya diserang 'migrane' yang amat perit sekali. Hampir pitam saya dibuatnya, namun saya gagahkan diri melangkah keluar.

Kepala saya seperti ada yang mengetuk gong didalamnya....GONG! GONG! GONG! Aduh... ditelan panadol dengan harapan ianya hilang! Allah, masih kekal.... terlalu penat mungkin... melayan karenah anak-anak dan 2 program sebelum ini membuatkan saya agak keletihan.. baru ingin dilelapkan mata, ada suara yang memanggil "Ummi!, bangunlaaah" Aduh... diseretnya diri keluar dari katil hotel yang empuk itu. Oh Anakku.... :) Saya cuba gagahkan diri... tiba di Balai Islam,melihat pentas yang dihias GAH... saya tak sangka begini hebat perancangan kali ini. Tiada lagi bayangan di KB MAll..... ini..fikir saya "satu petanda dan fenomena yang baru!" "Hiburan Islam diberi satu nafas baru yang cukup membanggakan" "This is what we want!"

Saya naik ke pentas hampir longlai..wajah saya sebetulnya pucat lesu.. minda tidak berapa boleh menumpukan perhatian...namun saya cukup teharu dengan kehadiran pada malam itu. PENUH satu dewan! MasyaAllah....Tanpa wanita seksi, tanpa perkara lagha... tanpa hebahan media.... Inilah dia semangat baru....! Berhimpun semua atas dasar Iman dan kecintaan pada Islam... MasyaAllah..indahnya perasaan ini... Dewan diselubungi semangat mahukan perubahan! Perubahan pada erti HIBURAN itu sendiri- Sudah terlalu lama anak2 muda Malaysia dilalaikan dengan hiburan penuh kemaksiatan yang hanya meracuni minda mereka... Bukan saja perubahan dari bagaimana erti 'hiburan' disampaikan tetapi bagaimana para alim Ulama' dan para Ustaz sendiri memberi definisi kepada hiburan - perbezaan pendapat kita menilai 'hiburan, seni dan muzik'  tidak seharusnya dipaksa ke atas sesiapapun.

Kita pilihlah pandangan yang sesuai dengan diri dan cuba memahami perspektif mereka yang mahukan sedikit hiburan dalam hidup , hiburan yang sama sekali tidak menggalkkan kemaksiatan, yang masih dibatasi adab Islam. Kiblat dari Barat boleh dibungkuskan dalam suratkhabar lama... Ianya tidak "trendy" lagi. Islam itu senantiasa trendy...tiada surutnya, boleh disesuaikan pada apa saja waktu, masa dan ketika. Alhamdulillah dengan usaha dan kesungguhan ini.  YB Baihaqi dan Ustaz Saifuddin, Nik dan Hajar serta semua yang bersama saya, terima kasih atas keramahan dan layanan yang sungguh istimewa.

Rakyat Kelantan, anda cukup bertuah! Saya merasakan keikhlasan  terpancar keluar dari setiap sudut baik dari penganjur, ahli panel dan moderator, baik dari penonton juga  kesemua krew yang bertugas..ianya  tidak boleh DIJUAL BELI. Ya.. mungkin ada yang tercabar dan cuba meniru yang seakan sama. Namun tanpa niat yang ikhlas...ianya tidak mungkin dapat meninggalkan kesan yang serupa. Terkilan juga tidak dapat mempamerkan persembahan 'istimewa' bersama Amna. Kami mahu mengaji bersama... antara surah kegemaran kami iaitu Surah Buruj dan Insyiqaq...Ya antara hiburan kami anatranya ialah mengaji bersama. Ya ketenangan yang saya dapat daripada Quran tidak dapat dirungkai dengan kata-kata. Itulah Hiburan Islam yang tiada tandingannya! Allahuakbar! Selepas program tersebut saya pulang dengan seribu satu azam dan mahu mencipta peluang yang baru buat diri...Terima  Kasih daun keladi tahun depan buat lagi! :)
-Wardina Safiyyah-

Akhi Ustaz Hasrizal

Kami di Serambi Mekah, Terimalah Ia Sebagai Mujahadah dan Ibadah Dalam Ukhuwwah

Foto ihsan Urusetia HAI
Tahun lalu, saya terlepas peluang ini.
Berada di Jordan, saya tidak dapat menerima jemputan untuk bergandingan dengan Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazi) dan Wardina Safiyyah Fadhlullah bagi menjayakan Bicara Selebriti sempena Hari Hiburan Islam 2010 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.
Alhamdulillah tahun ini saya sekali lagi menerima jemputan untuk program yang sama.
Saya tidak melepaskannya.
Kali ini gandingannya mungkin bukan tidak berperingkat Nusantara, tetapi untuk sebuah negara bernama Malaysia, panelis Bicara Selebriti kali ini cukup memberangsangkan. Hingga saya menggelar barisan panelis, “The Trouble Makers of the Nation“.



30 Julai 2011 cukup bersejarah.
YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah mengatur program dengan menjemput saya menjadi panelis, bersama tokoh-tokoh hebat tanah air. Barisan ‘diketuai’ oleh ‘selebriti pengganas negara’, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, Wardina Safiyyah Fadhlullah, Sham Kamikaze dan moderator daripada TV AL-HIJRAH, Amin Idris.

Kami dihimpunkan di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan di dalam sebuah majlis gilang-gemilang. Montaj dan set pentas yang jelas menampakkan kesungguhan pihak penganjur mempromosikan satu takrifan baru bagi sebuah keperluan hidup bernama HIBURAN. Jauh daripada tuntutan sebuah industri, hiburan diketengahkan sebagai suatu cara memanifestasikan Islam sebagai cara hidup yang sempurna namun kekal manusiawi.
Banyak aspek hiburan Islam dikupas secara ilmiah tetapi santai oleh Dr MAZA membabitkan isu penggunaan alat muzik, suara wanita sebagai aurat, serta prinsip-prinsip yang membentuk apa yang dinamakan sebagai hiburan Islam. Itu yang seronoknya dengan forum, penceramah mengambil peluang belajar daripada penceramah yang lain. Alhamdulillah.
Wardina dan Sham Kamikaze pula banyak diajak mengupas tentang pengalaman masing-masing sebagai artis yang pernah berada di ‘dua alam’. Perspektif yang mereka kongsikan, menimbulkan soalan kontroversi daripada hadirin apabila Encik Amin mengajukan soalan, “mengapakah ada artis yang berani menyatakan sokongannya kepada parti Islam, tetapi dalam masa yang sama, ada pula ustaz yang tidak berani melakukan perkara yang sama”.
Soalan diajukan kepada saya.

Artis tidak wajar digandingkan dengan ustaz, kerana seolah-olah kedua-duanya berdiri tidak sama tinggi dan duduk tidak sama rendah dalam asas soalan yang ditanya. Hakikatnya Allah menilai manusia berdasarkan TAQWA. Andai seseorang itu bertaqwa, mulialah dia di sisi Allah, sama ada mereka itu artis, mahu pun ustaz.
Ustaz-ustaz yang tidak secara jelas menyatakan pendirian mereka tentang hal-hal politik, tidak wajar diburuk sangkakan sebagai penakut. Apakah dakwah sembunyi di era Mekah itu ditakrifkan sebagai era penakut? Tentu sahaja tidak. Isunya ialah keutamaan. Kita tidak tahu setiap ustaz atau mana-mana pendakwah itu berada di daerah mana dan apakah keutamaan yang dipertimbangkan mereka.
Maklum sahaja dengan Malaysia, pakai baju kuning pun boleh dilabel komunis!

Maka selagi mereka tidak secara jelas menyokong kezaliman, kita mesti ada baik sangka terhadap mereka. Si empunya dirilah yang bakal menjawab soalan Allah tentang hal-hal itu. Kita mesti mengurangkan sikap menilai dan menghukum.
Akan tetapi apabila para ustaz atau siapa sahaja secara jelas menyokong kezaliman, apatah lagi menyokongnya dengan memberikan alasan agama, mereka musuh Allah, biar pun berijazah Syariah!

NILAI UNTUK PERIBADI

Program ini memberikan nilai yang tersendiri kepada diri saya.
Pertamanya, ia adalah tanda sokongan saya kepada sahabat sepengajian yang sudah beberapa penggal menjadi ADUN, iaitu YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, untuk sama-sama membantu mengisi kemenangan di negeri Kelantan, sedaya mungkin.

SHAM KAMIKAZE
Keduanya, ia menjadi pertemuan pertama saya dengan Sham Kamikaze yang sudah saya ikuti perkembangannya melalui liputan media alternatif dan jaringan sosial. Seorang sifu dalam muzik tetapi membawa paradigma Islam, persembahan beliau yang bersahaja malam tadi sangat menusuk kalbu hingga menitiskan air mata, sama seperti alunan yang pernah saya dengar di persembahan seni klasik Uthmaniyyah di khemah-khemah Ramadan selepas Tarawih di Istanbul suatu ketika dahulu.
Subhanallah.
Orangnya juga sungguh baik hati dan tenang, menampakkan bahawa hijrah yang berlaku kepadanya jauh daripada pengaruh emosi, sebaliknya cukup rasional dan tenang sebagai bekalan konsistensi yang penting. Saya mendoakan istiqamah dan sejahteranya perjalanan Abang Sham hingga hujung kembara.
WARDINA SAFIYYAH
Saya juga gembira kerana sekali lagi berpeluang berkongsi pentas dengan Wardina Safiyyah selepas lama tidak direzekikan menjejak kaki ke Sri Pentas.
Kekentalan dirinya di dalam perjuangan di medannya yang tersendiri, jika tidak sebesar impaknya kepada masyarakat, saya yakin ketegasan dan ketinggian jati diri Wardina banyak memberi inspirasi kepada rakan artis yang lain untuk meyakini ketinggian hidup berteraskan rezeki yang HALAL, menafikan ketuhanan tuhan-tuhan palsu dalam mengenakan kehendak mereka yang sering membelakangkan kehendak Allah, dalam industri hiburan.

AMIN IDRIS
Sudah tentu wacana-wacana ini dikendalikan secara begitu profesional tetapi kekal santai oleh peguam selebriti yang menghormati hak-hak kebebasan bersuara menurut jaminan Perlembagaan Malaysia, iaitu sahabat yang saya kasihi, saudara Amin Idris. Beliau petah mengusik, mengutip peluang dan melontar provokasi hingga Wardina sendiri beberapa kali terkunci mulut tidak mampu berbicara. Seperti persaingan antara TV Al-Hijrah dengan TV3 pula.
Tentu sekali yang menang bukan JAKIM atau Media Prima, tetapi Amin dan Wardina selaku pejuang di medan mereka yang tersendiri.

USTAZ ASRI
Kemuncak kepada segala-galanya, setelah lama terpisah jauh, membawa diri ke medan perjuangan yang berliku-liku, saya kembali digandingkan dengan sifu saya dalam mengertikan hidup berjuang, iaitu Ustaz Asri, yang lebih mesra di hati saya berbanding bintang-bintang semasanya sebagai Profesor Madya, Doktor, atau Pengganas (?), seperti yang dilabelkan secara dungu baru-baru ini.
Jika di suatu ketika, banyak ijtihad beliau yang menimbulkan keresahan di lubuk jiwa saya sebagai saudara yang mengasihinya dari jauh, kini Ustaz Asri kembali berjaya menyuntik kekuatan dan keyakinan di hati saya, agar menetapkan kaki, tidak dipalingkan oleh rencam manusia, sebaliknya hanya melihat satu antara dua, yang dijanjikan Allah sebagai habuan sebuah perjuangan.
Tidak dapat saya sembunyikan, saya rindukan Ustaz Asri.
Pagi Ahad, keluar bersama beliau bersarapan bersama Ustaz Wan Syarafi dan ditemani Zainal Lutfi, saya tidak banyak berkata-kata. Hanya mahu mendengar celoteh Ustaz Asri, ceritanya, dan hati saya memulangkan 1001 Tahmid kepada Dia.

BERNASYID
Demi menyempurnakan permintaan YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, saya menerima hajatnya untuk saya menyampaikan sebuah nasyid yang berfungsi sebagai anchor kepada mesej di dalam program Bicara Selebriti itu. Saya menyampaikan sebuah nasyid dendangan Usrah al-Wadi Mesir pada tahun 1995 iaitu Wasiat Sayyid Qutb (versi 2).
Nasyid itu saya semak kembali selepas mencari penawar duka atas pemergian srikandi perjuangan, al-Marhumah YB Dr. Lo’lo’ Mohd Ghazali baru-baru ini. Wasiat Sayyid Qutb itu saya tujukan kepada setiap pemuda-pemudi agar obor yang ditinggalkan, terus dibakar menyinar cahaya.

WASIAT SAYYID QUTB
Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan
Tergugur syahid di medan perjuangan
Atau meraih kemenangan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Kita pasti berjaya
Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna perjuangan memerlukan pengorbanan
Kerna pejuang tak mengenal kerehatan
Aturkanlah langkahmu dengan penuh keimanan
Suburkanlah jiwamu dengan segala keyakinan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Islam pasti berjaya
Relakanlah pemergianku ini
Iringiku dengan seribu doa
Semoga kita kan berjumpa semula
Di taman Syurga yang indah
Keberadaan di Kota Bharu kali ini bukan pertama kali.
Alhamdulillah, saya beroleh rezeki beberapa kali setahun untuk hadir ke negeri Serambi Mekah ini atas jemputan pelbagai pihak untuk mengisi pelbagai program. Namun jarang sekali saya berpeluang untuk bersiar-siar dan mencari sentimental value peribadi di celah-celah pekan Kota Bharu yang eksotik itu. Lazimnya hanya datang dan terus ke lokasi program, kemudian terus ke Lapangan Terbang usai tamatnya program.
ZAINAL LUTFI
Syukur kehadiran kali ini disertai oleh Pengurus Operasi STC yang juga pembantu peribadi saya, Zainal Lutfi.
Tidak penat atau mengeluh sepanjang mengiringi saya bersama urus kerja ke sana sini, kehadiran beliau buat pertama kali di negeri Kelantan selepas kelana menuntut ilmu di bumi Uncle Sam, kami mencelup-celup masa meninjau Kota Bharu serta menghirup hening Subuh di Masjid Muhammadi. Kali terakhir saya bersubuh di masjid itu, mungkin sekitar 17 tahun yang lalu.

Saya juga menjadikan tempoh 24 jam di Kota Bharu kali ini sebagai peluang menemukan Zainal Lutfi dengan semua jaringan sosial saya, mendedahkan beliau dengan pelbagai perkongsian bersama-sama insan hebat seperti YB Ustaz Ahmad Baihaki, Prof Madya Dr Mohd Asri, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Amin Idris, serta beberapa sahabat lama yang sempat saya temukan.
Semoga sesi ini menyuntik keyakinan kepada anak muda ini, juga rakan-rakan segenerasinya, agar semasa tiba masanya generasi kami sirna dimamah masa, obor yang menyala itu disambut penuh optimis oleh mereka pula untuk mengejar sebuah kemenangan.
Jadilah manusia hebat. Manusia biasa yang luar biasa.

Terima kasih kepada TV Kelantan kerana menyiarkan siaran Bicara Selebriti ini secara LIVE di internet. Penonton yang begitu ramai, turut memberi peluang kepada isteri saya  mengikutinya dari rumah kami. Jarak yang memisahkan, menjadikan kami kekal dekat, sebagaimana dekatnya Kelantan di hati kami, sebagai negeri tempat Islam dibumikan.

Ramai juga rakan Facebook, Twitter, Blog, tidak dilupakan rakan sepengajian di Jordan, rakan seperjuangan di London, Cardiff, Cork, dan ramai lagi, turut hadir bersama. Namun apakan daya, kekangan masa tidak mengizinkan saya untuk berbual panjang dengan setiap kalian. Namun seribu penghargaan atas kesungguhan hadir bersama.

Saya dan Zainal Lutfi meninggalkan Kota Bharu, demikian juga barisan panelis dan moderator, dengan 1000 doa agar semarak perjuangan diteruskan.
Ya Allah, lindungilah negeri Serambi Mekah ini daripada kejahatan, malapetaka, kezaliman dan pengkhianatan, dengan kebesaran-Mu. Kuatkan kami untuk menumpaskan Jahiliyyah yang tidak pernah berhenti memadam cahaya-Mu, ameen ya Rabb al-’Aalameen
Ambo saye Kelate.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Grand Riverview Hotel, Kota Bharu Kelantan

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya bukan tidak pernah sepentas dengan Wardina, hanya seminggu lepas saya dan beliau berforum di KUIS, Selangor yang turut dihadiri oleh Dato Sri Shahrizat Jalil. Beliau juga sahabat saya. Demikian Saudara Sham Kamikaze yang selalu juga ke rumah saya di Bukit Mertajam. Namun, untuk sepentas atas nama selebriti agak berat bagi saya. Saya bukanlah terkenal seperti mereka. Mereka selebriti, saya rakyat marhaen.

Ya, saya seorang rakyat biasa, yang kadang-kala terlibat mengulas isu-isu yang menjadi hak rakyat muslim merdeka untuk memperkatakannya. Cuma, saya juga mengulas banyak isu seni di sudut agama dan pemikiran serta menulis puisi dan lirik. Mungkin yang lebih ‘sikit’ pernah jadi Mufti Perlis. Ramai juga artis-artis glamour merupakan sahabat baik saya. Namun, agak ‘segan’ untuk duduk atas pentas atas nama selebriti. Apapun, saya kagum dengan kepimpinan Kerajaan Kelantan yang menampilkan kematangan mereka dalam mengadunkan isu-isu hiburan ini di negeri yang terkenal dengan banyak pusat pengajian agama.

Bahagian Saya
Dalam majlis itu, saya mengambil peranan membahaskan pandangan sarjana tentang nyanyian dan muzik. Saya tahu, bukan senang bagi pihak kerajaan negeri untuk membolehkan lahirnya sikap terbuka dalam kalangan mereka yang ‘kuat agama’ mengenai isu ini. Apatah lagi di Kelantan yang banyak pondok-pondok tradisionalnya. Dalam masa yang sama, generasi muda inginkan hiburan dan mereka perlukan bimbingan.
Dalam majlis itu, saya jelaskan bahawa ada perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana fekah mengenai persoalan nyanyian dan muzik. Dalam persoalan khilaf yang muktabar seperti ini, seseorang berhak memilih pandangan dia yakini dan tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang dia yakini. Ertinya, setiap muslim berhak berpegang dengan pandangan yang dia rasa lebih rajih atau kukuh. Dia tidak boleh mewajibkan pandangan tersebut ke atas orang lain, jika mereka mentarjihkan pandangan yang berbeza. Ini khilaf yang diiktiraf atau khilaf mu’tabar. Tiada siapa yang berhak memaksa pilihannya ke atas orang lain. Maksudnya, jika ada yang mengharamkan muzik, maka tidak boleh dia memaksa pandangan yang sama ke atas mereka yang mengharuskannya. Demikian sebaliknya.

Bagi saya, saya selalu teringat Nabi s.a.w ketika membenarkan pertunjukkan permaianan perisai dan lembing dalam masjid, sehingga ramai yang menonton termasuk kaum wanita dan isteri Nabi s.a.w sendiri iaitu Aishah, baginda bersabda:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Bahkan baginda s.a.w apabila hadir ke perkahwinan Ansar, baginda bersabda:
“Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”(Riwayat al-Bukhari).
Lebih dari itu, kadang-kala baginda terlibat dalam membetulkan lirik, agar lebih bertepatan dengan ajaran Islam. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:
“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat dudukku. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).
Demikian, Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut sekalipun lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mengenai mereka yang terkorban. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang bercanggahan dengan kebenaran maka Nabi s.a.w. menegurnya. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Kelantan Contoh
Sebagai sebuah kerajaan, kepimpinan Kelantan telah mengambil jalan yang yang sederhana. Kelantan –melalui program seperti ini- memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk activist muslim berinteraksi dengan dunia hiburan. Sekaligus mendekati anak-anak muda. Jalannya bukan memerangi hiburan, sebaliknya mencari ruang untuk dimanfaatkan; maka rakyat dapat berhibur secara terarah dan tidak melampai batas. Dengan itu Kelantan tidak menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan rakyat bebas lepas dengan hiburan tanpa bimbingan, tidak juga menjadi jumud sehingga mengharamkan segala bentuk hiburan; nyanyian, muzik dan filem.

Gambar: Saya membaca puisi saya yang bertajuk ‘Akan Ku Terus Ketuk PintuMU’, Sham bermain gitarnya.

Demikianlah, apabila sesebuah kepimpinan itu ada wawasan yang jelas dan nurani yang inginkan rakyat berada dalam bimbingan yang betul. Segala gerakerja diselaraskan antara kehendak rakyat dan peraturan agama. Sikap yang matang lagi sederhana diperlukan oleh rakyat dan umat pada setiap ketika. Bukan masanya untuk mengharamkan itu dan ini tanpa memberikan alternative yang dapat membimbing rakyat yang pelbagai ragam dan kehendak. Janganlah pula jadi seperti kepimpinan yang hanya hendak ‘memberikan keseronokan’ kerana inginkan sokongan mereka rakyat tanpa memikirkan kesan dan masa depan.
Cumanya, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Kita perlukan pembikinan karya-karya seni dalam pelbagai bidang yang berkualiti dan mendidik. Ada gabungan antara unsuran hiburan dan bimbingan secara terancang. Ada ikatan antara seni dan kehidupan insani secara berkesan. Ini memerlukan satu perancangan jangka panjang dan pendek. Semoga Kelantan mampu melangkah lebih jauh.
Tahniah YB Baihaki Atiqullah
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat yang saya kasihi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Beliau anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat. Sangkaan bahawa kepimpinan agama akan mengharamkan hiburan dan seni ke atas rakyat adalah tidak benar jika dikaitkan dengan kepimpinan Kelantan. YB Ahmad Baihaqi masih muda. Beliau dua tahun lebih muda dari saya. Sama-sama belajar di Jordan dahulu. Hari ini menjadi pemimpin yang makin matang. Apa yang masih perlu untuk semua insan, termasuk beliau adalah terus mendedahkan diri kepada maklumat yang pelbagai, aliran fikir yang semakin rencam dan mencari kesederhanaan di sebalik itu semua. Tahniah YB Baihaqi atas usaha membuka minda dan mencari alternative. Tahniah Kelantan!

Gambar: YB Baihaqi menyampai cenderahati kepada saya.



Currently have 0 comments:


Leave a Reply