Wednesday, November 2, 2011
Transesksual : Hak Asasi Nafsu dan Hikmah Hak Asasi Islam
Posted by Usrah Jamaah Anak Muda | Wednesday, November 2, 2011 | Category:
|
Assalamualaikum W.B.T , Sahabat-sahabat U-jam yang dikasihi , dalam hela nafas yang kita pinjam di dunia ini , masih berterbangan debu-debu halus yang turut disedut masuk bersama nikmat oksigen yang wajib diperlukan manusia,hikmahnya debu ini akan melekat di celah-celah bebulu halus di dalam hidung dan menghasilkan bahan buangan yang disebut sebagai "Tahi Hidung" ~ jika kita
berfikir sejenak setiap ciptaan Allah S.W.T mempunyai hikmahnya.Allah sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa boleh sahaja tidak menciptakan debu , namun manusia ialah Makhluk istimewa yang dikurniakan akal fikiran , Allah menciptakan bebulu halus untuk memerangkap debu-debu kotor tersebut.Allah yang menciptakan dan Allah yang memberikan jalan penyelesaian,
Manusia dan seluruh alam diberikan panduan oleh-Nya , kita dibenarkan untuk hidup bebas di muka bumi ini dengan syarat ianya haruslah bersandarkan syariat islam.
Namun apakah akan terjadi jika kita menzalimi diri sendiri? ~ lebih teruk menzalimi fitrah penciptaan Allah S.W.T.Sebuah bateri mempunyai hak keatas sebuah alat elektronik , dan haknya perlu selari dengan sistem yang telah dicipta , jika sistemnya terbalik nescaya barangan elektronik tersebut akan musnah terbakar!
Allah yang menciptakan manusia , mempunyai hak yang mutlak dan Allah menghadiahkan Islam sebagai sistem hidup , manusia wajib mematuhi hak-hak islam, apatah lagi seoarang muslim.
Hak seorang muslim ialah mempertahankan Islam sehingga kehujung nyawa
Hak asasi manusia bagi seorang muslim ialah hak yang berlandaskan syariat islam dan jika hak asasi manusia melanggar syariat islam maka perbuatan itu samalah seperti bateri yang dipasang terbalik yang akan menyebabkan barangan elektronik itu terbakar.
Saya mempersembahkan dua artikel yang membincangkan khusus akan hal Transeksual dan apa yang boleh kita bahaskan mengikut hikmah Hak Asasi Islam , dipersembahkan oleh Al-Fadhil Ustaz Hafiz Firdaus Abdullah melalui kajian ilmiahnya dan Al-Fadhil Ustaz Syafiqe mengikut kacamata undang-undang syariah di Malaysia.~ Ibnu Rahman ( Moderator U-jam)
Islam, Jantina Dan Seks
(Al-Fadhil Ustaz Hafiz Firdaus Abdullah)
Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Pengkid, saya tertanya-tanya: “Apakah Pengkid?” Agak ketinggalan dalam istilah-istilah seumpama ini, saya membuat sedikit kajian dan bertanya kepada beberapa rakan yang lebih terkini dengan istilah-istilah sedemikian. Memeranjatkan, ia merupakan salah satu daripada beberapa istilah yang digunakan bagi menerangkan keadaan seseorang dari aspek jantina dan kecenderungan seksualnya.
Sedikit kajian yang dilakukan itu menemukan saya dengan beberapa istilah lain yang duduk dalam subjek yang sama, yang dapat saya ringkaskan sebagai berikut:
- Transgender: Lelaki yang tingkah lakunya seperti wanita dan wanita yang tingkah lakunya seperti lelaki.
- Tranvestit: Lelaki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan seperti lelaki.
- Transeksual: Lelaki yang merasakan dia seorang wanita dan wanita yang merasakan dia seorang lelaki. Ada yang membuktikan perasaan itu dengan melakukan pembedahan bagi menukar alat kelamin.
- Homoseksual: Orang yang melakukan hubungan seksual dengan jantina sejenisnya. Lelaki yang membuat hubungan seks dengan lelaki disebut sebagai Gay manakala wanita yang membuat hubungan seks dengan wanita disebut Lesbian. Lawannya ialah Heteroseksual, iaitu lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki. Ini adalah hubungan yang betul lagi normal dan dihalalkan oleh Islam melalui pernikahan yang menepati rukun-rukunnya.
- Bi-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan lelaki. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki dan wanita.
- Tri-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita, lelaki dan transeksual. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki, wanita dan transeksual.
- Pengkid: Wanita yang mencintai wanita seumpama pasangan hidupnya. Di kalangan Pengkid ada yang berpenampilann sebagai lelaki.
Tujuh aspek jantina dan kecenderungan seksual seseorang sepertimana di atas tentu saja berbeza dari fitrah manusia dan norma kehidupan. Akan tetapi atas lencana kemodenan dan kebebasan peribadi, ia dianggap biasa dan boleh ditonjolkan kepada khalayak ramai. Namun apakah hukumnya menurut Islam? Dalam penulisan yang sederhana ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian hukumnya berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, juga jalan penyelesaiannya, insya-Allah.
Jika dikaji ketujuh-tujuh aspek jantina dan kecenderungan seksual di atas, ia dapat dihimpun kepada tiga kategori hukum. Pertama: Hukum menyerupai jantina yang berbeza,Kedua: Hukum mencintai jantina sejenis umpama pasangan hidup dan Ketiga: Hukum melakukan hubungan seks dengan jantina sejenis.
Hukum Menyerupai Jantina Yang Berbeza.
Dalam bab ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.”(Musnad Ahmad, no: 6875 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir). Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: “Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari, no: 5546). Hadis-hadis larangan dalam bab ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah r.a..
Berdasarkan hadis-hadis ini, jumhur ilmuan mengatakan haram hukumnya untuk seseorang itu berusaha menyerupai jantina yang berbeza dengannya, baik dalam bentuk tingkah laku, penampilan, pakaian mahu pun perhiasan. Larangan ini termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang belum baligh, di mana haram hukumnya bagi ibubapa atau penjaga kanak-kanak itu berusaha menyerupakan mereka dengan jantina yang berbeza. Dr. Jamil bin Habib al-Luwaihiq menjelaskan:
“Apa-apa yang berlaku untuk orang lelaki dan wanita dalam bab ini, berlaku pula untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Maka tidak boleh mengenakan kepada kanak-kanak lelaki pakaian kanak-kanak perempuan atau mengenakan kepada kanak-kanak perempuan pakaian untuk kanak-kanak lelaki.” [al-Tasyabbuh al-Manhy ‘Anhu fi al-Fiqh al-Islami (edisi terjemahan oleh Asmuni dengan judul Tasyabbuh Yang Dilarang Dalam Fikih Islam; Darul Falah, Jakarta, 2007), ms. 138]
Pengecualian diberikan jika penyerupaan itu memiliki dalil syar’e, di mana dalil itu mengecualikan kemutlakan larangan penyerupaan di atas. Di antaranya ialah hukum memakai cincin bagi lelaki, maka ia bukan satu penyerupaan yang dilarang kerana Rasulullah s.a.w. turut memakai cincin. Anas bin Malik r.a. menerangkan: “Bahawasanya Nabi s.a.w., cincinnya diperbuat daripada perak dan mata cincinnya daripada (perak) juga.” (Shahih al-Bukhari, no: 5870)
Ada pun hikmah di sebalik larangan penyerupaan jantina yang berbeza, maka ia adalah satu tindakan yang melawan penciptaan Allah. Ini kerana Allah s.w.t. telah mencipta manusia sebagai lelaki dan wanita di mana masing-masing diberi ciri fizikal dan tanggungjawab yang berbeza. Allah s.w.t. berfirman:
“Bukankah dia (manusia) berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.” [al-Qiyamah 75: 37-39]
Selain penentangan terhadap ciptaan Allah, penyerupaan juga merupakan langkah awal ke arah pelbagai perbuatan maksiat yang lain. Penjelasan Dr. Jamil al-Luwaihiq sekali lagi menjadi rujukan:
“Di antara tujuan syari’at di sebalik larangan tersebut adalah untuk menunjukkan perbezaan antara lelaki dan wanita, sebagaimana hikmah dalam hal itu adalah untuk memutuskan jalan yang menuju kepada sesuatu yang diakibatkan oleh hal tersebut berupa pelbagai kerosakan besar yang bersangkutan dengan agama dan dunia.
……jika salah seorang dari keduanya melakukan sedikit dari hal-hal di atas (penyerupaan kepada jantina yang berbeza), ia akan mendorong kepada penyerupaan yang lebih besar sehingga hal itu menjadi sebab terdorong melakukan pelbagai dosa besar.” [al-Tasyabbuh, ms. 160-161]
Hukum Mencintai Jantina Sejenis Umpama Pasangan Hidup.
Menyebut tentang cinta, asas pertama yang perlu diketahui oleh semua umat Islam ialah cinta yang paling unggul hendaklah ditujukan kepada Allah s.w.t.. Allah menegaskan hal ini dalam firman-Nya:
“Dan di antara manusia ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedangkan orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah (berbanding selainnya).” [al-Baqarah 2:165]
Cinta kepada Allah ialah mentaati segala perintah larangan-Nya, mencari keredhaan-Nya dan melaksanakan kehidupan di dunia ini sebagaimana yang Dia kehendaki. Cinta kepada Allah juga dibuktikan dengan mentaati segala perintah larangan, nasihat dan teguran Rasulullah s.a.w.. Fakta terakhir ini ditekankan sendiri oleh Allah s.w.t.:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu (umat Islam) mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[Ali Imran 3:31]
Termasuk pembuktian kecintaan kepada Allah ialah seseorang itu hanya mencintai jantina yang berbeza sebagai pasangan hidupnya. Ini kerana Allah s.w.t. sejak dini telah menciptakan manusia dalam jantina yang berpasangan, lelaki dan wanita: “Dan bahawa sesungguhnya, Dialah (Allah) yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.”[al-Najm 53:45]
Justeru apabila ingin mencintai seseorang sebagai pasangan hidupnya, hendaklah ia dalam bentuk pasangan lelaki dan wanita, iaitu lelaki yang mencintai wanita dan wanita yang mencintai lelaki. Pasangan ini seterusnya menghalalkan percintaan mereka melalui ikatan nikah yang menepati rukun-rukun nikah dalam syari’at Islam. Allah s.w.t. berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (pasangan suami isteri) perasaan cinta (kasih sayang) dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [al-Rum 30:21]
Individu yang mencintai jantina sejenis untuk dijadikan pasangan hidup, dia sebenarnya mencintai nafsunya melebihi cintanya kepada Allah. Atas dasar inilah dia berani mengarahkan cintanya kepada sesuatu yang berbeza daripada apa yang disusun, diperintah dan diredhai oleh Allah. Nah! Jika mencintai sesuatu seumpama mencintai Allah sudah cukup untuk dikira sebagai perbuatan syirik (rujuk ayat 165 surah al-Baqarah di atas), maka bagaimana pula tindakan mencintai sesuatu melebihi cintanya kepada Allah? Sudah tentu ia adalah syirik yang lebih besar, lebih dahsyat.
Hukum Melakukan Hubungan Seks Dengan Jantina Sejenis.
Hubungan seks yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. ketika Dia mencipta manusia adalah sebagaimana firman-Nya: “Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripada diri itu pasangannya (suami isteri), untuk bersenang-senang satu diri kepada yang lain. Ketika suami mensetubuhi isterinya, mengandunglah dia……” [al-A’raaf 7:189]
Ada pun hubungan seks yang berlawanan daripada kehendak Allah, maka ia bukan sahaja dilarang tetapi langkah-langkah awal ke arahnya juga dilarang. Rasulullah s.a.w. menegaskan:
“Tidak boleh seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang lain di dalam satu selimut dan tidak boleh seorang wanita menyentuhkan badannya kepada badan wanita yang lain dalam satu selimut.” [Shahih Muslim, no: 338]
Imam al-Nawawi menjelaskan:
“Di antara kesimpulan hukum yang diperolehi dalam bab ini ialah haram hukumnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan bagi seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Berkenaan hukum ini tidak ada perselisihan di dalamnya (di kalangan para ulama’).” [al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 145]
Berkenaan penyentuhan badan sejantina di dalam satu selimut, Imam al-Nawawi melanjutkan:
“Hadis ini menunjukkan larangan yang bersifat haram jika tidak ada penghalang di antara kedua-duanya. Dalam hadis ini terkandung dalil atas haramnya hukum bersentuhan aurat di bahagian mana pun badan seseorang (yang sama jantina) dan ini sudah menjadi satu kesepakatan, kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelbagai kerosakan.” [al-Minhaj, jld. 3, ms. 145]
Perhatikanlah! Jika sekadar melihat dan menyentuh aurat sesama jantina sudah disepakati keharamannya, apatah lagi jika saling melakukan hubungan seks di antara sesama jantina. Sudah tentu ia haram juga.
Berdasarkan hadis di atas juga, para ulama’ Islam sejak awal telah memberikan perhatian kepada hukum seorang lelaki memandang wajah lelaki lain yang muda lagi tampan. Sekali pun wajah bukan aurat, langkah berhati-hati dan “cegah sebelum parah” menyebabkan para ulama’ kita melarang seorang lelaki melihat wajah lelaki lain yang muda lagi tampan. Masih bersama Imam al-Nawawi:
“Dan demikianlah juga, diharamkan ke atas seorang lelaki melihat wajah seorang lelaki yang mudah lagi tampan, tanpa membezakan sama ada ia dilihat dengan syahwat atau tidak, tanpa membezakan sama ada ia bakal menimbulkan fitnah atau tidak. Ini merupakan pendapat yang sahih di sisi para ulama’ yang teliti. Ia juga dikemukakan oleh (Imam) al-Syafi’e dan murid-muridnya, semoga Allah merahmati mereka.
(Ini kerana) ketampanan wajah seorang lelaki tidak jauh berbeza dengan kecantikan wajah seorang wanita. Bahkan kebanyakan daripada mereka lebih menarik berbanding kebanyakan wanita. Justeru, adalah lebih haram melihat wajah lelaki yang muda lagi tampan berbanding melihat wajah wanita. Ini kerana dari seorang lelaki yang muda lagi tampan, mungkin timbul kejahatan yang tidak mungkin timbul dari seorang wanita.” [al-Minhaj, jld. 3, ms. 145]
Saya menambah, hukum di atas tidaklah terhadap kepada sesama lelaki sahaja. Seorang wanita hendaklah juga menahan dirinya daripada memandang wanita lain yang boleh menyebabkan dirinya tertarik kepadanya. Penahanan ini tetap dilakukan tanpa membezakan sama ada wujud lintasan syahwat atau tidak, sama ada bakal menimbulkan fitnah atau tidak.
Jantina Dan Seks Yang Berlawanan Fitrah: Ada Penyelesaian?
“Kudis masyarakat!” demikian antara tohmahan yang dilontarkan kepada mereka yang memiliki kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dengan fitrah manusia. Selain itu ada juga yang melantik dirinya menjadi jurucakap Allah dengan memberi ulasan: “Disebabkan oleh orang-orang seperti mereka inilah, Allah menurunkan musibah ke atas negara kita!” Padahal disebabkan oleh orang-orang yang hanya mengulas tanpa bertindak sebeginilah yang menjadi antara faktor Allah menurunkan siksaan-Nya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan:
“Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan maksiat, tetapi mereka tidak pula menghalangnya, melainkan Allah meliputi mereka semua dengan siksaan.” [Musnad Ahmad, no: 19230 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth]
Antara tindakan yang saya maksudkan ialah mencari punca kenapa berlakunya kecenderungan jantina dan seksual yang berbeza dari fitrah. Ini bukan sekadar tindakan tetapi juga jalan penyelesaian, kerana sesuatu masalah itu lebih efektif ditangani dari puncanya berbanding kesannya. Punca-punca tersebut dapat disenaraikan seperti berikut:
Pertama: Pembesaran yang salah.
Maksud pembesaran yang salah ialah peranan serta tindakan ibubapa yang membesarkan anak mereka sebagai jantina yang berbeza. Di antara ibubapa ada yang sangat mengingini anak lelaki padahal hanya dikurniakan dengan anak-anak perempuan. Lalu mereka membesarkan salah seorang atau lebih daripada anak perempuan mereka seumpama anak lelaki. Mereka memberikannya nama lelaki, pakaian lelaki, permainan lelaki dan bersikap lelaki kepada anak itu.
Perkara seperti ini juga berlaku kepada ibubapa yang sangat menginginkan anak perempuan tetapi dikurniakan semua anak lelaki. Pembesaran yang salah seperti inilah yang menyebabkan anak itu mengalami kecenderungan jantina dan seksual yang berbeza.
Kedua: Tiada Keseimbangan antara peranan ibu dan ayah.
Jika seorang anak lelaki banyak meluangkan masa pembesaran bersama ibunya tanpa kehadiran ayahnya, maka ada kemungkinan dia terikut-ikut dengan sikap kewanitaan ibunya. Demikian juga sebaliknya, jika seorang anak perempuan banyak meluangkan masa pembesaran bersama ayahnya tanpa kehadiran ibunya, maka ada kemungkinan dia terikut-ikut dengan sikap kelelakian ayahnya. Maka penyelesaiannya di sini adalah, hendaklah ibu dan ayah memainkan peranan yang seimbang dalam membesarkan anak-anak mereka.
Ketiga: Pendidikan seks yang salah.
Punca yang ketiga ini memerlukan susunan ayat yang tepat kerana dibimbangi sebarang salah faham akan menjadi sumber fitnah kepada diri saya sendiri. Ibubapa perlu memberikan didikan seks yang betul kepada anak-anak mereka. Maksud betul di sini ialah seorang anak lelaki dididik agar cenderung dan minat kepada perempuan dan demikianlah sebaliknya terhadap anak perempuan. Pada waktu yang sama, anak-anak dididik cara perhubungan yang betul agar tidak terjadi sesuatu yang dilarang oleh agama.
Ingat! Islam menginginkan hubungan seksual antara lelaki dan wanita (heteroseksual) dan hubungan ini ada syarat-syaratnya. Kesongsangan berlaku apabila anak-anak dididik seolah-olah semua hubungan antara lelaki dan wanita adalah haram. Didikan yang melampaui batas inilah yang menyebabkan anak-anak membesar dengan kecenderungan seks yang berlawanan dari fitrah ciptaan mereka.
Penyelesaian kepada punca ketiga ini tidak sahaja disandarkan kepada silibus pendidikan ibubapa, tetapi meluas kepada para penjaga, guru, pensyarah dan penceramah.
Keempat: Pengalaman hidup.
Saya pernah dihubungi oleh seorang lelaki dalam umur lewat dua puluhan, menceritakan cabaran yang dihadapinya dalam kehidupan. Cabaran itu ialah minatnya dari sudut seksual kepada sesama lelaki (gay). Dia menceritakan, sepanjang hidupnya dia didik bahawa wanita adalah haram bagi lelaki (Punca Ketiga) dan semasa zaman awal di universiti, dia diliwat secara paksa beberapa kali oleh pelajar lelaki atasan (senior). Semua ini menyebabkan dirinya menghadapi konflik seksual yang sukar diselesaikan.
Punca keempat ini tidak boleh dipandang ringan. Tanpa memandang negatif secara keseluruhan terhadap pendidikan berasrama, saya menasihatkan ibubapa agar menyemak terlebih dahulu sejarah sesebuah sekolah berasrama sebelum mendaftarkan anak mereka ke sana. Para remaja juga hendaklah diberi kesedaran awal akan wujudnya gejala homoseksual di segelintir asrama institusi pengajian tinggi (IPT), baik awam mahu pun swasta, agar seandainya wujud isyarat awal gejala tersebut, mereka dapat bertindak sebelum terlewat.
Pihak pentadbiran sekolah dan universiti juga disaran agar jangan menyapu di bawah tikar seandainya mereka mengetahui wujudnya aktiviti homoseksual di kalangan para pelajar mereka. Sebaliknya hendaklah mereka bertindak segera untuk menyelesaikannya. Dikhabarkan kebanyakan pihak pentadbiran cuba menyembunyikannya demi menjaga nama baik sekolah dan universiti serta kedudukan kewangan mereka. Ini adalah sikap yang bertentangan dengan peranan sebenar mereka dalam bidang pendidikan.
Menyentuh tentang pengalaman, perlu juga diperhatikan dari sudut yang lain. Seorang wanita mungkin pernah diperlakukan secara zalim oleh lelaki lain sehingga dia amat membenci semua lelaki dan mencari ketenangan hidup sesama wanita. Seorang lelaki mungkin pernah terkecewa amat sangat dengan teman wanitanya sehingga dia putus asa terhadap semua wanita dan mencari teman hidup dari kalangan sesama lelaki. Mereka yang pernah mengalami seumpama di atas hendaklah diberi motivasi bahawa bukan semua lelaki atau wanita adalah buruk. Calon heteroseksual yang baik masih banyak di luar sana, hanya memerlukan sedikit usaha dan kewaspadaan untuk mencarinya.
Kelima: Peranan masyarakat.
Merupakan kelaziman masyarakat kita untuk menyisihkan sesiapa yang mereka anggap aneh. Penyisihan ini menyebabkan mereka yang aneh tidak memiliki pilihan lain kecuali berkomuniti dengan orang-orang yang memiliki keanehan yang sama, agar apa yang aneh menjadi tidak aneh. Akhirnya apa yang sedikit aneh menjadi bertambah aneh sehingga amat sukar bagi mereka yang aneh untuk cuba kembali kepada yang tidak aneh.
Bezakan bahawa sebagai umat Islam, kita dituntut untuk membetulkan orang yang berperilaku aneh. Kita tidak akan dapat membetulkan mereka jika kita menyisihkan mereka, malah penyisihan itu akan menyebabkan mereka lebih terjerumus dalam keanehan itu.
Keenam: Salah faham terhadap takdir.
Apabila ditegur tentang kecenderungan jantina dan seksual yang berlawanan dari fitrah manusia, ada yang menjawab bahawa itu adalah takdir Allah ke atas diri mereka dan mereka redha terhadapnya.
Ini adalah kefahaman yang salah terhadap takdir. Ketahuilah bahawa keredhaan terhadap takdir yang tidak disukai pada ukuran manusia terbahagi kepada dua kategori:
- Kategori pertama adalah takdir yang berupa musibah seperti penyakit dan kemiskinan. Maka kita dianjurkan untuk redha dan pada waktu yang sama berusaha untuk mencari takdir lain yang lebih baik, seperti kesembuhan dari penyakit dan kecukupan sesudah kemiskinan.
- Kategori kedua ialah takdir yang berupa sesuatu yang dilarang oleh agama, seperti kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Maka tidak ada dalil yang menganjurkan kita untuk redha dengannya. Sebaliknya semua dalil-dalil agama mewajibkan kita untuk membencinya dan berusaha ke arah takdir lain yang selari dengan tuntutan agama.
Semoga penjelasan di atas dapat membantu segelintir yang menghadapi cabaran kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Yakinilah bahawa setiap cabaran ada penyelesaiannya, bergantung sama ada kita ingin mencarinya dan berusaha untuk menyelesaikannya. Tidak ketinggalan, jangan berputus asa dari pertolongan Allah kerana Allah bersedia membantu sesiapa yang sentiasa mengharapkan rahmat-Nya
“TRANSEKSUAL MENURUT PERSPEKTIF PERUNDANGAN DI MALAYSIA”Al-Fadhil Ustaz Syafiqe
Negara kita pernah digemparkan dengan keputusan sebuah kes di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka yang memutuskan bahawa perkahwinan sepasang “suami” dan isteri hendaklah difaraqkan kerana si “suami” merupakan seorang perempuan dan bukannya seorang lelaki. Ini merupakan satu misalan berkaitan isu transeksual yang berlaku di Malaysia. Namun jika dilihat senario “mak nyah” yang banyak berlaku kini, maka ia bolehlah dijadikan sebagai satu misalan yang cukup mudah.Transeksual bolehlah didefinisikan sebagai seseorang yang percaya bahawa dirinya tidak mewakili atau menggambarkan sifat jantinanya yang sebenar. Transvestite ialah orang yang mengamalkan “transvestism” yang ditakrifkan sebagai “the unnatural desire to wear the clothing of opposite sex” atau keinginan memakai pakaian berlainan dengan jantinanya. [Longman Dictionary of Contemporarry English (1978)]. Malah, golongan ini juga cenderung untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina.
Perspektif Islam
Jika diperhatikan menurut perspektif Islam, adalah jelas perbuatan transeksual ini ditegah oleh Islam. Ini berdasarkan kepada beberapa petikan ayat al-Quran antaranya yang bermaksud “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata…” [Surah al-Nisa' ayat 119].
Terdapat juga sebuah hadis yang bermaksud “Rasulullah melaknati lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” [Hadith Riwayat al-Bukhari]. Adalah jelas bahawa berdasarkan dalil-dalil tersebut menunjukkan betapa Islam menolak sekeras-kerasnya amalan transeksual di kalangan umat manusia.
Perspektif Perundangan Di Malaysia
Menurut perundangan di Malaysia, status golongan transeksual masih lagi tidak jelas. Jika diperhatikan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ia menjelaskan berkaitan dengan kesamarataan semua orang di sisi undang-undang dan tidaklah boleh ada perbezaan oleh sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina. Peruntukan ini menyebut “jantina” merujuk kepada perbezaan lelaki dan perempuan sahaja manakala golongan transeksual masih wujud ketidakjelasan daripada segi jantina. Ini termasuklah juga golongan khunsa yang tidak disebut secara jelas dalam peruntukan tersebut.
Sehingga kini, tiada satu peruntukan pun di dalam undang-undang yang mentakrifkan “lelaki” dan “perempuan”. Akta Tafsiran 1967, Seksyen 4(2) hanya menyatakan “Mana-mana perkataan dan perbahasan yang ditujukan kepada kaum lelaki termasuklah perempuan”. Walaubagaimanapun, perkataan yang ditujukan khusus kepada perempuan tidaklah pula termasuk dan meliputi lelaki.
Perlu diingat bahawa kebanyakan undang-undang di Malaysia membezakan antara lelaki dan perempuan berdasarkan kepada butir-butir peribadi yang tercatat dalam surat beranak atau kad pengenalan. Sebarang pertukaran nama pada kad pengenalan adalah dibolehkan namun apabila ia melibatkan pertukaran status jantina atau agama, maka ia akan melibatkan soal bidang kuasa perundangan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah.
Jika dilihat status golongan transeksual menurut perundangan Islam di Malaysia pula, ternyata ianya merupakan satu kesalahan jenayah Syariah yang boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah. Semua negeri di Malaysia mempunyai beberapa peruntukan khusus melibatkan transeksual. Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah -Wilayah Persekutuan 1997 (AKJSWP 1997) misalnya memperuntukkan berkaitan dengan kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan (pondan) [Seksyen 28], liwat [Seksyen 25] dan musahaqah (persetubuhan antara perempuan dengan perempuan) [Seksyen 26].
Malah, umat Islam di setiap negeri Malaysia terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan (sekiranya digazetkan di negeri). Dalam hal ini, pada 1983 telah diputuskan bahawa pembedahan pertukaran jantina adalah haram daripada segi syarak. Dengan ini, maka dengan sendirinya jika seseorang itu cuba untuk melakukan pertukaran jantina, perbuatan itu adalah haram dan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar fatwa yang telah diwartakan. [Seksyen 12 AKJSWP 1997]
Isu-isu dan konflik
Mohamad Ismail Bin Hj Mohd Yunus dalam penulisan beliau bertajuk “Gender Reassignment: A Legal Perspective on Rape” cuba membincangkan tentang isu berkaitan jenayah rogol dan statusnya apabila melibatkan golongan transeksual yang telah melakukan pembedahan pertukaran jantina. Di Malaysia, jenayah rogol diperuntukkan di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan iaitu rogol boleh dilakukan oleh seorang lelaki terhadap seorang perempuan, mesti wujud unsur ketidakrelaan dan perlu ada kemasukan alat kelamin lelaki ke dalam faraj wanita.[ (2000) 4 MLJA 174 ]
Persoalan kini ialah sekiranya jenayah rogol itu dilakukan terhadap seorang yang transeksual, adakah ia boleh dianggap satu kesalahan dan sabitan boleh dikenakan? Misalnya sekiranya seorang lelaki merogol seorang transeksual yang disangka seorang perempuan, sudah tentu lelaki itu tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 375 kerana keperluan seksyen tersebut ialah persetubuhan antara seorang lelaki dan perempuan tanpa kerelaan perempuan itu sedangkan dalam kes ini, transeksual bukanlah perempuan yang sebenar.
Di samping itu, terdapat beberapa isu yang memerlukan perbincangan teliti berkaitan status transeksual ini. Seperti mana yang telah dijelaskan penulis, meskipun fatwa menjelaskan bahawa status transeksual adalah haram menurut Islam, namun bagaimana pula sekiranya pertukaran jantina itu masih tetap dilakukan. Apakah status seorang lelaki (transeksual) itu? Adakah dia tetap lelaki walaupun perbuatan itu haram atau adakah dia seorang perempuan?
Ini penting kerana jika dia (selepas pertukaran jantina) ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki, bolehkah ia disabitkan dengan kesalahan itu sedangkan dia bukan perempuan yang asli. Masalah ini mungkin lebih mudah diputuskan sekiranya dia tidak melakukan pertukaran jantina dan hanya berpakaian perempuan. Namun persoalan kini ialah jika dia telahpun melakukan pertukaran jantina. Malah ini ditambah sekiranya nama pada kad pengenalannya juga telah ditukar kepada nama yang lebih ‘perempuan’.
Penyelesaian
Apa yang jelas di sini ialah konflik-konflik sebegini perlulah diambil perhatian serius. Ini kerana, sehingga kini Malaysia tidak mempunyai dasar yang jelas berkaitan status transeksual. Penulis berpandangan beberapa perkara penting perlu diteliti dalam menyelesaikan isu ini. Pertama kerajaan perlulah membuat dasar khusus bagi memutuskan dari segi jantina status mereka yang telah melakukan pertukaran jantina. Meskipun adalah jelas Malaysia melarang perbuatan pertukaran jantina dilakukan di Malaysia, namun pembedahan tersebut masih boleh dilakukan di negara-negara lain.
Kedua, perlunya dibuat satu peruntukan khusus bagi mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan pembedahan pertukaran jantina. Seperti mana dijelaskan sebelum ini, pertukaran jantina masih boleh dilakukan di negara-negara lain. Ketiga, kerajaan perlu tegas bagi memastikan bahawa sebarang pertukaran nama yang menimbulkan kekeliruan jantina dihentikan. Ini kerana, ia boleh memberi satu kelebihan kepada golongan transeksual untuk menukar nama asal mereka kepada nama yang sesuai dengan ‘jantina’ baru mereka. Keempat, status perkahwinan golongan transeksual ini perlulah tidak diiktiraf oleh undang-undang di Malaysia. Ini bertujuan untuk mengelakkan wujudnya perkahwinan sejenis seperti kes nikah sejenis yang pernah berlaku di Melaka.
Secara ringkas, oleh sebab dasar serta perundangan Malaysia masih kurang jelas berkaitan isu transeksual ini, maka suatu tindakan yang konkrit perlulah dilaksanakan. Dalam hal ini, adalah penting digubal peruntukan khusus bagi menjelaskan status sebenar transeksual. Adalah amat malang sekiranya golongan transeksual ini diberi perlindungan di Malaysia untuk menukar jantina dan mempunyai status jantina yang berlainan dengan jantina asal mereka. Ini boleh memberi kesan besar khususnya kepada masyarakat Islam kerana ia akan melibatkan soal perkahwinan, urusan perwalian, pembahagian harta pusaka dan sebagainya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Currently have 0 comments: