[close]

Jamaah Anak Muda Se-Malaya

Utama

free counters

Ukhwah Jamaah

"BangkitLah Jemaah Anak Muda!"
U-jamV3.0. Powered by Blogger.

Saturday, February 11, 2012

Perpecahan Ummat satu Rahmat?

Posted by Usrah Jamaah Anak Muda | Saturday, February 11, 2012 | Category: |



Oleh : Ybhg Kapten Hafiz Firdaus ( Hafizfirdaus.com)
Antara Persatuan Umat Dan Kepelbagaian Pendapat.
Apabila menyentuh isu perbezaan pendapat, saya dapati kebanyakan orang, termasuk para ilmuan, agamawan dan ahli fikir, mengaitkannya kepada isu persatuan umat Islam. Ringkasnya, mereka cuba menyelesaikan cabaran perbezaan pendapat dengan menyeru umat Islam agar meninggalkan perbezaan tersebut dan memberi tumpuan kepada persatuan umat Islam. Persatuan umat Islam memang penting, namun saya melihat ada beberapa kelemahan apabila dikaitkan dengan isu perbezaan pendapat, iaitu:

Pertama:
Apabila diseru kepada persatuan umat dengan cara menghindari perbezaan pendapat, seolah-olah diseru kepada umat Islam agar jangan berbeza pendapat.
Ini adalah cara yang salah kerana berbeza pendapat adalah fitrah manusia dan kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana yang dijelaskan pada awal penulisan ini. Maka cara yang benar bukan menyeru umat untuk menghindari perbezaan pendapat tetapi mengajar umat cara berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat.

Kedua:
Kepelbagaian pendapat itu sendiri terbahagi kepada dua kategori, pertama yang dibenarkan dan kedua yang dilarang. Kedua-dua jenis kepelbagaian ini memerlukan cara yang berbeza untuk berinteraksi dengannya. Setakat pengamatan saya, seruan ke arah persatuan umat Islam di sebalik kepelbagaian pendapat jarang-jarang membahagikan kepelbagaian tersebut kepada yang dibenarkan dan yang dilarang.
Sebetulnya, kedua-dua jenis kepelbagaian memiliki cara yang berbeza untuk berinteraksi dengannya apabila dikaitkan kepada persatuan umat. Ia seperti berikut:
·         Persatuan umat diunggulkan apabila berhadapan dengan kepelbagaian kategori pertama. Ini kerana persatuan umat melibatkan isu pokok (ushul) agama manakala kepelbagaian kategori pertama melibatkan isu cabang (furu’) agama, maka tidak boleh isu cabang diunggulkan di atas isu pokok.
·         Perbincangan bagi menyelesaikan kepelbagaian kategori kedua diunggulkan berbanding persatuan umat Islam. Ini kerana kepelbagaian kategori kedua melibatkan isu pokok (ushul) agama yang jika tidak ditangani dengan bijak, akan merosakkan pokok yang lain, iaitu persatuan umat Islam.
Sebagai contoh, fahaman anti hadis, aliran Syi‘ah, pemikiran Islam Liberal dan amalan bid’ah tidak boleh didiamkan demi menjaga persatuan umat Islam. Jika didiamkan atau dibiarkan, ia akan menyelinap masuk bertahap-tahap sehingga apa yang batil akan dianggap benar oleh umat Islam. “Persatuan” mungkin terpelihara tetapi apakah erti persatuan jika ia bercampur aduk antara kebenaran dan kebatilan?
Oleh itu kajian, penulisan, penyebaran maklumat dan dialog perlu diusahakan dengan aktif apabila berinteraksi dengan kepelbagaian kategori kedua agar persatuan umat Islam sentiasa terpelihara di atas kebenaran.

Ketiga:
Terdapat segelintir pihak yang cuba menjustifikasikan kepelbagaian pendapat yang dilarang (Kategori Kedua) di atas slogan “Demi persatuan umat Islam”. Ini sekali lagi adalah sikap yang salah. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai. [1]
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa berpecah-belah, yakni bercerai-berai sesama umat Islam, adalah sesuatu yang dilarang. Oleh itu hendaklah kita semua umat Islam bersatu padu. Namun bersatu di atas apa?
Jawapannya terdapat dalam ayat tersebut, iaitu bersatu dengan berpegang teguh kepada “tali Allah”, iaitu agama Islam yang diasaskan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan kefahaman para sahabat dan kaedah-kaedah yang digariskan oleh para ilmuan. Kita tidak boleh bersatu di atas “tali masyarakat”, “tali pendapat tokoh sekian-sekian”, “tali kemodenan”, “tali pemikiran baru” atau apa jua “tali” selain daripada “tali Allah”.

Keempat:
Menyampaikan kebenaran demi membetulkan amalan masyarakat tidak boleh dihalangi atas alasan ia akan merosakkan persatuan umat Islam (baca: masyarakat). Ini adalah sesuatu yang lazim berlaku, dimana apabila seseorang itu ingin membetulkan amalan masyarakat dengan menyampaikan ayat al-Qur’an atau sabda Rasulullah, akan ada pihak yang berkata seumpama:
“Kami tahu apa yang kamu katakan adalah benar, akan tetapi menyampaikannya kepada masyarakat akan menyebabkan perpecahan. Maka ketepikanlah persoalan ini demi persatuan umat Islam”.
Seandainya benar menyampaikan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasul-Nya akan menyebabkan perpecahan masyarakat, maka faktor perpecahan tidak boleh ditujukan kepada usaha menyampaikan. Sebaliknya hendaklah ditujukan kepada “masyarakat” yang enggan menerimanya. Ini kerana jika faktor perpecahan ditujukan kepada usaha menyampaikan, kita secara tidak langsung menyalahkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamkerana usaha baginda menyampaikan risalah Islam telah juga menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat Arab saat itu.
Oleh itu hendaklah kita semua membetulkan arah pandang dalam persoalan ini. Para penyampai kebenaran tidak boleh dituduh sebagai pemecah belah persatuan masyarakat. Sebaliknya masyarakatlah yang patut dididik agar bersikap terbuka dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat. Jika sesuatu amalan mereka termasuk dalam kepelbagaian yang dilarang, masyarakat perlu bersikap terbuka untuk berbincang dan menerima teguran daripada pihak lain, tanpa mengira siapa atau apa kedudukan pihak tersebut. Masyarakat perlu dididik agar tidak membela atau berkeras dengan kepelbagaian yang dilarang kerana sikap tersebut adalah faktor sebenar yang menyebabkan perpecahan masyarakat dan sekali gus umat Islam keseluruhannya.

Currently have 0 comments:


Leave a Reply