Monday, July 26, 2010
Peranan Pemuda Islam!
Apakah yang ummah harapkan daripada kita semua para pemuda?
Pemuda Islam mempunyai tugas besar lagi berat untuk membangunkan ummah. Teringat saya akan tulisan Profesor Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya “ Membangun Ummah; Satu Kenyataan Bukan Khayalan” menegaskan “Sesungguhnya, seorang muslim yang bertanggungjawab adalah juga seorang nasionalis sejati; mencintai tanah air dan bangsanya sepenuh hati dan sentiasa berkorban untuk membela dan menjaga maruahnya; juga seorang yang bersifat antarabangsa yang tulen.”
Rentetan daripada ini, seorang pemuda muslim mestilah menjadi warganegara yang baik, di samping menjadi hamba Allah yang taat dan anak yang soleh. Pemuda muslim mestilah mempunyai jati diri muslim yang kental sebagaimana yang diungkapkan dalam al-Quran:
Maksudnya “ Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” Surah al-Kahfi: 13
Sebagai generasi Islam yang punya tanggungjawab terhadap agama dan ummah, maka nilai Islami mestilah benar-benar menjiwai kehidupan para pemuda. Para pemuda perlu membina keunggulan keperibadian dan kepimpinan ummah. Para pemuda mestilah menjadi dirinya, ruh jihad dalam jasad ummah kini bagi mencetuskan kesedaran baru tentang ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan; politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan peradaban.
Marilah kita mengkaji pemimpin belia mutakhir yang mampu menelurkan idea yang bernas, merangka program dengan rapi dan menjalankan tugas membina kesedaran baru, membangunkan Islam dan membina kekuatan ummah. Pemuda itu tidak lain dan tidak bukan iaitu Hassan al-Banna dan gerakan Ikhwanul Muslimin.
Saya menyeru sahabat-sahabat pemuda, peranan kita ialah memperlengkapkan diri dengan ciri-ciri budaya cemerlang secara kombinasi dan bersepadu ; kecemerlangan iman, kecemerlangan ilmu, kecemerlangan akal, kecemerlangan fizikal, politik, ekonomi, professional. Natijahnya, jika kita memmiliki keunggulan ini, ummah akan perkasa dan wibawa.
Jadilah usrah sebagai medan untuk kita semua dalam menjalankan tanggungjawan dan peranan agama yang ditaklifkan ke atas pundak kita sebagai pemuda Islam
Ikhlas Khas untuk u-jam : nukilan Ustaz NazeliSunday, July 25, 2010
Kain Kecil Di Wajahmu (KKDW)/purdah/Niqob

“Su, ana minta maaflah jika menyakiti hati enti,” Rozita menyiku Sumayyah tiba-tiba.
“Enti marahkan ana tak jika ana tanya satu soalan?” Rozita menyambung sambil matanya meliar melihat dua orang pelajar siswi yang berpurdah sedang menyeberang jalan di Bulatan Antarabangsa. Seorang memakai tudung kelabu dan purdah kelabu serta berjubah hitam. Dan seorang lagi tudung hitam dan purdah hitam berbaju kurung merah gelap.
“ Tak. Tanyalah, ada apa?” Sumayyah menjawab tenang. Hatinya tenang kerana seharian kuliah, akhirnya baru dapat makan berdua dengan sahabat yang dirinduinya.
“ Ana tengok, hari demi hari makin ramai yang pakai purdah di kolej. Enti tak rasa ke diorang ni pakai sesedap rasa je, main suka2 je. Perangai belum tentu baik tapi dah pakai purdah.” Rozita menjelaskan berterus-terang.
“Ita, betul ke apa yang ana dengar ni?” “ Lain macam je bunyinye…” Sumayyah memerhatikan arah tumpuan Rozita. Sambil membayar nasi goreng ayam radix kegemarannya, Sumayyah melihat air muka sahabatnya seperti sedang menahan marah. Sumayyah tahu Rozita lah sahabat yang paling akrab dan pendokong paling kuat kepada perjuangan sahabat-sahabatnya mempertahankan pakaian wanita Islam di kolej.
“ Ada apa-apa ke ni?” Sumayyah menambah.
Rozita menggeleng. Sumayyah sedar perubahan pada diri sahabatnya. Sememangnya Rozita agak tidak suka bermesyuarat dengan muslimin. Balik dari mesyuarat sahaja, dia beremosi.
“ Hmm..Ana cakap betul lah…mana ada main-main. Enti patut bertanggungjawab. Diorang ni banyak terpengaruh dengan tulisan enti tentang purdah” kata Rozita sambil meletakkan beg di meja makan bahagian siswi. Meja itu sudah menjadi kegemaran mereka kerana ia menghadap tasik.
Sumayyah diam agak lama, sambil menyusun gelas, pinggan, beg dan fail-failnya agar teratur. Sumayyah cuba mengaitkan apa yang biasanya menjadi kemarahan sahabatnya.
“ Macam mana meeting tadi?” Sumayyah cuba meneka permasalahan sebenar.
“ Enti,” Rozita meletakkan sudu dan garfunya.
“ok, ok, ana tanya enti…” Sumayyah memberhentikan kata-katanya, menunggu mata mereka bertentang untuk mendapat tumpuan sahabat yang dikasihinya. “ Salahkah berpurdah? Islam tidak pernah mengajarkankah pada kita? Apa yang mereka lakukan bertentangan dengan agama kita ke?”
“ Ana tak kata begitu, cuma bercouple la, berdating la, bukan-bukan je diorang ni. Pakai purdah, tapi perangai tak ubah macam budak tak pakai tudung” Rozita menghamburkan apa yang tersimpan di hati.
Sumayyah terkedu. Namun bertenang sahaja. Baginya adik-adik mujahidah purdah yang dikenalinya ramai yang sedang berusaha bermujahadah mengejar cinta Allah. Kalau ada yang perangai buruk pun itu kisah lama. Dan kalau ada yang masih bermasalah mungkin hanya dua, tiga orang sahaja. tak adil rasanya meletakkan kesalahan itu di bahu semua. Biasalah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Tapi, jelas padanya Rozita tentu mahu suburkan kembali kekuatannya dengan hujah. Selalunya begitulah, jika pemakai purdah dihina, mulalah dia menambah hujah dengan cara mendapatkan maklumat dari Sumayyah.
“Tak perlulah berpurdah, perangai tu kena baik dulu. Main hentam sahaja” Rozita menambah lagi. Rozita baru balik dari meeting persatuan. Dalam meeting tadi, Muslimin hebat menghentam pemakai purdah, terutama Ketua Unit Kebersihan Masjid, Azrol Hazim. Biasanya, Rozita yang hebat mempertahankan sahabat-sahabat yang berpurdah. Tapi, dia mula mati hujah bila Azrol membangkitkan nama pensyarah yang mereka kasihi dan hormati, Puan Zaitun.
“ Pertama, enti ada bukti ke mereka ni berdating dan bercouple? Siapa yang enti maksudkan? Enti tak boleh hanya mendengar khabar angin, terus meletakkan salah itu pada pemakai purdah tanpa menyelidiki sebaiknya. Kedua, jika salah seorang yang berdating, adakah semua kain kecil di muka mereka yang dipersalahkan? Dan adakah semua pemakai purdah bersalah? Ketiga, yang pakai tudung biasa, yang pakai tudung labuh takda ke yang berdating dan bercouple? Semuanya baik?” Sumayyah bertanya kembali kepada Rozita.
Rozita terdiam, tunduk.
“ Adakah mereka perlu jadi baik dulu sebelum menutup aurat dengan memakai tudung? Apakah terdapat syarat mempunyai akhlak yang baik baru memakai pakaian seperti yang digariskan syarak?”
Rozita menggeleng.
“ Adakah jika pemakai tudung itu bercoule, berdating malah berzina, maka tudung itu yang salah? Adakah tudung yang salah dan purdah yang salah? Ataukah perbuatan berdating atau berzina itu yang salah? Adakah dalam Islam ni, bila kita nak mengamalkan sesuatu perintah Allah, mesti sudah sempurna perintah yang lain baru boleh lakukan perintah seterusnya?
Rozita terdiam. Mukanya merona merah.
“ Berhakkah ana menapis mereka semua sebelum diluluskan untuk memakai purdah? Siapa ana? Perlukah ana interview mereka seorang demi seorang? Hanya kerana ana kalangan orang pertama yang memakai purdah di kolej ni? Pada ana, Ita, memakai purdah ni adalah cara mendekatkan diri kepada Allah, maka sedikit demi sedikit pemakai purdah akan menjadi muslimah yang solehah. Ia bergerak selari dengan perubahan diri ke arah menjadi muslimah sejati. Pada ana, mereka mampu dan kuat untuk menutup wajah mereka sudah menjadi satu usaha yang baik untuk memelihara diri mereka,” Sumayyah cuba menjelaskan keadaan sebenar yang menjadi kekeliruan sahabatnya.
“ Tak mungkin menunggu perangai sempurna baru memakai purdah, hidayah sudah sampai, pastilah adik-adik menyambutnya,” sumayyah menambah lagi. Sumayyah mengangkat tangan, sambil menganggukkan kepala kepada siswi yang lalu-lalang berhampiran tasik yang mengenali mereka.
“Tapi, enti terangkanlah pada mereka tentang hukum berpurdah ni. Bukannya wajib pun,” Rozita menambah lagi. Dia menjelaskan dalam keadaan tenang.
“ Ita, sahabatku yang kukasihi, yang bakal menjadi temanku di mahligai syurgawi, adakah ia haram?” “ Ada tak ulama’ yang menghukumkannya haram?” Sumayyah membalas lembut, hatinya sayu. “ Tak ada, yang ada hanya hukum wajib, sunat mustahab (Yang disukai) sahaja, al-fadhil Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti pun menghukumkan wajib berpurdah di zaman penuh kefasadan sekarang ni dalam buku fiqh sirah yang ustaz kupaskan tu, enti dah baca bahagian tu? Islam menyukainya, sahabatku. Jadi, usah kita menjadi penghalang mereka berpurdah,”
Rozita terdiam.
Nantikan sambungan cerita ini....
Saturday, July 24, 2010
Cinta Mat Rempit Sejati (Yang Selalu datang Usrah) ^___^










Tahniah U-jamv2.0 Ganu!!!..Tahniah Jemaah Anak Muda Ganu...!!!..Tahniah ARC Ganu!!!
Jambori Kelab Motosikal Alternatif (Alternative Riding Club (ARC) Terengganu/ Malaysia 2010 adalah peristiwa penting merealisasikan harapan pemuda PAS untuk mengumpulkan jentera ke arah memperkasakan gerakannya.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan meletakkan sasaran penganjuran Jambori ARC akan datang dapat menarik 3,000 peserta.
“Untuk Jambori ARC akan datang, kita mahu penyertaan 3,000 orang peserta untuk kita cetuskan gelombang anak-anak muda bersama dengan PAS,” ujarnya ketika merasmikan Jambori ARC Terengganu/ Malaysia 2010 di Pantai Merang, di sini, 23 Julai.
Menurutnya, ARC yang menghimpunkan para peminat motosikal dalam PAS, menjawab tomahan yang dilemparkan, PAS adalah sebuah parti kampungan yang jumud.
“Program ini yang menghimpunkan peminat-peminat motosikal dalam PAS. Sekaligus, kita (PAS) menjawab tomahan yang dilemparkan kepada PAS kononnya selama ini, PAS sebuah parti ‘kampungan’, parti ‘pondok’, parti ‘tok lebai’ dan parti yang jumud,” jelasnya.
Ustaz Nasruddin menegaskan, PAS adalah sebuah parti Islam yang mempunyai dasar perjuangan Islam.
Namun, Islam tidak pernah menghalang keinginan serta kemahuan naluri manusia yang mempunyai kecenderungan dan minat untuk melakukan aktiviti di atas muka bumi ini.
“Betul PAS sebuah parti Islam, dasar PAS memperjuangkan Islam. Suka saya tegaskan di sini, Islam tidak pernah menghalang keinginan dan kemahuan naluri manusia dalam apa jua kecenderungan dan minat manusia itu untuk melakukan aktiviti di atas muka bumi ini,” tegasnya.
Menurutnya, kedatangan Islam untuk membetulkan minat, kemahuan serta kecenderungan naluri manusia dengan cara yang betul.
Tambahnya, kecenderungan minat serta kemahuan tersebut perlu selari dengan kehendak Allah SWT agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan mungkar.
Jambori ARC Terengganu/ Malaysia 2010 tersebut julung kalinya diadakan dan berjaya menghimpunan lebih 500 penyertaan di kalangan anak-anak muda serta menggemar motosikal
Friday, July 23, 2010
Padah Cinta Bersyarat!
Alhamdulillah....kini u-jam telah mencapai sehingga 13,000 members...bermula dari u-jam pertama yang tersekat kemaraannya disebabkan admin tidak boleh menghantar mesej setelah members melebihi 5,000 . dan kini u-jam yang pertama mencecah 8,362@24.07,2010 ..setelah diwujudkan u-jamv2.0 untuk mengatasi masalah ini ,,,dan u-jamv2.0 sudah mencecah 4,110 members!...kemungkinan besar selepas ini akan ada u-jamv3.0!
Alhamdulillah ...ini adalah artikel nostalgia dari u-jam yang pertama untuk tatapan sahabat....Sharing is Caring!
" Itulah, kamu doa letak syarat, mana tak frust macam ni."
Dua orang siswi aktivis dakwah terkebil-kebil di hadapan saya. Mereka datang mahu menghambur kekecewaan yang meraja gara-gara keputusan peperiksaan semester lalu yang tidak berapa menjadi.
" Ya Allah Ya Tuhanku, aku telah banyak beribadah kepadaMu, melakukan kerja dakwahMu, mengorbankan waktu dan tenaga untukMu. Oleh itu, aku sangat-sangat harapkan agar kau balaslah dengan memberikan kecemerlangan kepadaku dalam pelajaran."
Sudah! Kita pula yang memberi arahan supaya Allah membalasnya dalam KONTEKS pelajaran. Ini sekadar contoh ‘balasan’ yang kita minta Allah istijab dengan HANYA cara itu. Tidak salah meminta. Pintalah, pasti Allah kabulkan. Cumanya! Ya, cumanya sikap demand kita dalam berdoa menyebabkan kita menanggung kekecewaan yang keterlaluan dengan persangkaan buruk kepada Allah bahawa Dia tidak menunaikan janjiNya.
BERDOALAH TANPA SYARAT.
Biarlah Dia yang menentukan dengan cara apa Dia akan membalas kebaikan-kebaikan itu. Jangan meletakkan pensyaratan bahawa segala pengorbanan yang kita lakukan untukNya terutama buat para daei, adalah dengan pertimbangan kita mesti diluluskan dengan DEAN LIST sebagai bukti ayat Al-Qur’an :
“ Jika kamu menolong agama Allah, maka Allah akan menolong kamu.”
“ Allah kata, kalau kita tolong agama Dia, Dia akan tolong kita balik. Awat dalam exam, rasa blank saja. Result makin lama makin down. Kenapa Allah tak tolong pun?.”Rungutan seorang siswi aktivis dakwah. Beliau sedang kecundang dalam mengendalikan keyakinan bahawa Allah tidak akan menyalahi janjiNya.
Jelas sekali! masalah awalnya adalah dengan niat. Beramal bukan kerana cinta, tetapi menantikan balasan yang bersyarat. Semestinya tidak langsung menjadi kesalahan untuk membuat sesuatu amal dengan mengharapkan balasan baik daripada Allah. Tetapi ia lebih Allah hargai andai kita membuat sesuatu amal dengan segala bentuk pengorbanan yang susah-susah kita lakukan adalah kerana kita tahu, kita lakukan demi CINTA yang tak terungkapkan buat Dia. Ini tanda tingkat ikhlas yang paling tinggi.
Kalaulah boleh didengar suara rintih Rabiatul Adawiyah :
“ Aku melakukan semua ini bukan kerana mengharap syurgaMu, bukan kerana takut dengan nerakaMu. Tetapi semata-mata aku sangat mencintaiMu. Sungguh, tiada apa yang aku harapkan balasan dariMu. Hanyalah kerana jiwaku terlalu mencintaiMu.”
Sangat indah andai ini yang terungkap dari bibir kekasih kita bukan. Semuanya demi cinta yang membesar buat kita. Hanya kerana cinta tanpa perlu balasan. Indahnya!
JANGAN MENGAJAR TUHAN ITU DAN INI
“ inilah bahayanya. Sekarang bila kamu tak dapat score, kamu cepat hilang harapan. Sebab kamu fikir, kebaikan itu Allah akan balas ikut apa yang kamu minta. Jangan mengajar Tuhan hendak buat itu dan ini. Entah-entah Allah hendak bagi yang lebih baik. Dengan cara apa, bila dan apa benda tu, kita nantikan saja. Tapi ia PASTI!”
Letih juga mahu memujuk jiwa murung yang hanya kehilangan sedikit nikmat dunia. Kadang-kadang begitulah kita. Dalam Allah menghilangkan sedikit-demi sedikit nikmat dunia yang kita selesa dengannya dahulu, sebenarnya dalam diam Dia telah gantikan nikmat akhirat yang kita tidak sedari. Dia cuba mengubah selera kita dalam memandang nikmat apa yang membawa ke syurga.
Berapa ramai yang mahu menghargainya!
Di sini, sedikit pemfokusan kepada peserta tarbiyah. Berapa ramai yang ‘menghilang’ gara-gara teruji dengan ‘pointer’ yang terjejas. Dengan hukuman, semuanya berpunca daripada komitmen dalam tarbiyah. Sungguh malang pengadilan yang dilakukan. Rata-rata kes yang terkumpul dalam rekod ‘kehilangan’ para daei adalah berpunca daripada BERDOA DENGAN SYARAT.
“ Ya Allah, aku korbankan waktu datang Usrah hanya demiMu. Mudah-mudahan, Kau permudahkanlah aku menjawab peperiksaan esok, Ameen.”
Sekilas pandang doa sebegini nampak rona-rona ‘keikhlasannya’. Namun, rupanya punya syarat buat Allah. Dengar sini. Saya bercakap melalui pengalaman melalui perubahan nikmat yang Allah paksakan kepada saya. Doa yang sebegini kadang-kadang lekas mengecewakan kita apabila tiada pengabulan daripada Allah secara express. Apabila syarat yang diminta tidak dipenuhi, bagaikan terasa Allah tidak mahu menolong kita. Saat itu, dengan kedangkalan akal yang digayuti para syaitan, kita mulalah merasakan pengorbanan yang mulanya DEMIMU adalah sia-sia.
Tanyalah hati. Jika ia salah, maka ia hanya pengalaman saya dan beberapa individu. Secara pengalaman juga, Dia sungguh tidak memungkiri janji. Banyak sekali peristiwa ‘pertolongan’ yang saya tidak sangka-sangkakan akan berlaku. Bahkan lebih besar daripada syarat yang kita letakkan. Biarlah ia menjadi ‘simpanan’ cerita saya yang akan saya bongkarkan nanti-nanti. Apa yang penting, mulai sekarang lupakan syarat dalam berdoa, serta yakinlah Allah tidak akan sia-siakan pengorbanan kita. Tidak akan sia-siakan.
Thursday, July 22, 2010
Cinta Abi,,,,




“ Selamat Hari bapa abi, semoga abi panjang umur, love abi, ampunkan kesalahan kami” begitulah bunyi frasa yang tertera pada kad hari bapa yang saya terima sempena hari bapa dan ulangtahun harijadi. Tulisan tangan anak-anak dengan kad kreatif ciptaan sendiri sangat menyentuh perasaan, meruntun jiwa seorang bapa yang kadang-kala terlupa akan anak-anak comel yang mendambakan kasih sayang . Bungkusan hadiah beserta kad kreatif ini, Nusaibah letakkan di penjuru cermin kereta sebelum saya berangkat ke Muktamar di PUTIK. Catatan pada kad itu adalah cerminan tulus hati mereka , seputih salji dilembaran daun pokok oak, pergunungan Himalaya.
Nusaibah anak ke empat saya yang mempunyai sebuah ‘kegilaan’ yang sama dengan saya , membaca dan menulis. Bocah kecil ini dengan mirip kecinaan semasa usia kecilnya adalah bukti tentang keturunan saya , yang belayar jauh dari Yunnan. Abah lagi jelas kecinaannya, dengan mata yang sepet. Nusaibah tidak sesepet datuknya, tetapi hidungnya mengecil seperti anak cina.
Nusaibah lahir di Hospital Besar Kuala Lumpur lapan tahun dahulu, mencelah dari pintu rahim umminya, Norleeza saat saya sedang berkuliah zuhor di Surau Kementerian Pertanian.” Tolong doakan keselamatan ister dan anak saya di Hospital ya” saya merayu jemaah ketika berkuliah, memohon segunung simpati.
“ jika lahir bayi perempuan, saya akan namakan anak itu dengan nama Ummu Nusaibah, seorang sahabiah yang kita sebut namanya dalam pengajian hari ini” ujar saya, dengan merujuk kepada pengajian Sirah yang saya ajarkan pada hari itu kepada jemaah kuliah Zuhor. Hanya Tuhan mengetahui betapa getirnya saat itu dan cemasnya perasaan saya.
Saya memandu melulu dari jalan parlimen ke HKL, meredah aspal kotaraya yang kedekut dengan sifat toleransi penghuninya.Mulut saya berkumat kamit dengan doa semoga isteri dan anak selamat, tidak sedikit kemalangan yang berlaku ketika acara bersalin yang sangat dramatic namun menguja perasaan. Debaran itu berakhir apabila seorang bayi putih bersih menghirup udara segar, Ummu Nusaibah versi moden akhirnya memberikan saya senyuman bahagia.
“ Welcome Nusaibah, welcome to our club” , perjuangan zaman kontemporari ini bukan menghunus pedang tetapi dengan segudang ilmu untuk berdada dengan musuh, fikrah didebat dengan fikrah, hujjah diterjah dengan hujjah.
Kini, Nusaibah semakin membesar, potongan badannya kecil mulus. Sangat sensitif, hygenid tahap akut serta mempunyai tahap ingatan yang baik namun dalam keadaan tertentu cepat merajuk. Saya mengharapkan sikap dan nilai ini akan berkekalan sehingga Nusaibah dewasa.
“ Nusaibah, mahu jadi apa, bila besar? “Tanya saya suatu ketika. Cuba untuk memancing jawapan yang terbaik daripada puteri tercinta ini. “ nak jadi ustazah” jawab Nusaibah jujur dan jawapan ini sangat konsisten semenjak dahulu.
“ tak apalah, jadi ustazah tapi dengan tahap akademik terbaik” jawab saya, walaupun Nusaibah tidak mampu untuk memahami maksud saya. Belajar di Timur Tengah dan melanjutkan pelajaran ke England yang mesra dengan euphoria ilmu yang sangat meranum.
“ nanti Nusaibah jadi pendakwah, tenang abi dalam kubur dengan anak yang solehah “ tegas saya menyokong Nusaibah. Saya membina jalan untuk anak kecil ini menjadi pendakwah muslimat, bermula di Pra Tahfiz Darul Furqan, kini di Madrasah at Taqwa Terengganu, mungkin akan melanjutkan peringkat menengah di Darul Quran Rusila seterusnya ke Timur Tengah dan berakhir di Lampiter atau Markfield. Impian saya, anak ini akan menggenggam ijazah PHD Pengajian Islam. Dengan pengiktirafan akademik tertinggi bukan untuk meraih wang ringgit tetapi untuk bekerja sepenuh masa untuk Islam.
Selamat Hari Jadi Nusaibah , semoga kamu akan menjejaki langkah Ummu Nusaibah Binti kaab, pejuang yang berbai’ah dengan Nabi dan membenarkan janjinya , membentengi jasad Nabi SAW dalam medan perlawanan di Uhud (7 syawal).” Hidup Nusaibah, abi tetap menyokong Nusaibah” pekik hati saya
Perkongsian U-jamv2.0
Dari TintaJundi (Al-Fadhil Ustaz Ridhuan Bin Mat Noor) http://tintajundi.com/
Khas Untuk Mujahid &Mujahidah U-jamv2.0 http://u-jam.blogspot.com/
Monday, July 19, 2010
Mehnah Orang bercinta - Ibtila' di Jalan Dakwah
1. Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' [ ujian\onak duri ] yang bakal merintang disepanjang jalannya. Perit , jerit dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah.
2. Cumanya , sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah . Hanya aqidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri .
3. Lebih menarik , tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah , tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami .
4. Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri . Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan . Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz seketika dulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya .
5. Tuan Guru menceritakan pengalaman sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS . " Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadhiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini . Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta , balik jauh jauh malam . Menangis saya sambil memandu seorang diri , peritnya nak bawa Islam pada masyarakat melayu ketika itu . Sampai di rumah pula , buka saji , makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur .."
6. Kala terasa penat seharian dilapangan , saya segera mengingati cerita Tok Guru , terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sessi motivasi . Inilah juga yang diajar oleh Nabi saw : [ dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh As Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah ]
إذا أصاب أحدكم مصيبة فليذكر مصابه بي فإنها من أعظم المصائب
Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar - besar musibah .
7. Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah saw sebagai Rasul ulul A'zmi . Namun jelas , tatkala membaca sirah Rasulullah saw , bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita nak mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi .
8. Jamaludin Al Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancung , penjara seperti istirehat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah swt sebagai kekasih yang dirindui . Sungguh dahsyat ibarat ini . Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirehat dan buang daerah sebagai pakej pelancungan jika ia bukan terdiri dari pejuang - pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah swt .
9. Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya . Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari . Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu . Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah . Biar penat dan lelah segala anggota namun dikala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi , terasa diri cukup bertuah .
10. Selamat berjuang buat semua biarpun payah .
Ikhlas
Khas untuk u-jamv2.0
dari Al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Salam ziarah dari blog ana < http://episodeperjuangan.blogspot.com/>
Kredit kepada blog u-jamv2.0 <http://u-jam.blogspot.com/>
Mujahadah ya ukhti
Istiqamah ya Akhi




Fadhilat Diam.
Banyak Kelebihannya berdiam diri. Orang yang pendiam itu lebih baik daripada orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan pendiam, kedua-duanya adalah sifat yang baik dan tidak susah mengerjakannya, asalkan hati menyuruh empunya diri berbuat demikian.
Nabi SAW bersabda: "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh, ialah diam dan baik perangai." (Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).
Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang.
Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik, baginda menjawab: "Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan, tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikian juga kepada orang bawahan samada kerana usia atau pangkat. Anas r.a, pembantu rumah tangga Nabi SAW berkata: "Aku membantu rumah tangga Nabi SAW selama sepuluh tahun dan belum pernah baginda mengeluh " Ah!" terhadapku dan belum pernah beliau menegur, kenapa kamu lakukan ini atau kenapa tidak kau lakukan ini?" (Riwayat Ahmad)
Ingatlah kepada sabda Nabi SAW: "Seorang Mukmin bukanlah pengumpat, yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor" (Riwayat Bukhari)
"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Naim)
Jelaslah bahawa, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik 'Diam', usah gusar dilabel sebagai 'Manusia Yang PenDiam'.
Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh seluruh umat manusia dan jin serta SeKalian Makhluk ALLAH SWT di Bumi & di Langit, manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka ALLAH SWT (Naudzubillaahimindzalik).
Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh ALLAH SWT itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.
Diam Orang Mukmin Itu Ibadah.
Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa, Ibadah ini tidak meletihkan,
Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya didalam kelalaian,
Macamana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?
Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,
Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu, kalau dia bercakap,
Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap,
takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu,
menghormati percakapan orang,
Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,
Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,Yang telah dibuat,
supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula dalam ingatan.
Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.
*HIKMAH DIAM.
1. Sebagai Ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.
Hadis2 Rasullulah SAW mengenai kelebihan diam yang bermaksud:
"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Naim).
"Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". (Riwayat Bukhari & Muslim).
"Barangsiapa diam maka dia terlepas dari bahaya". (Riwayat At-Tirmidzi).
Madah Dari Hukama:
Banyak Diam tidak semestinya jahil, banyak bicara tidak semestinya cerdik, kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam itu lebih baik dari orang jahil yang banyak bicara.
Menasihati orang yang melakukan kesilapan, tidak salah. Yang salah memikirkan kesilapan orang.
Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina, yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.
*Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan DIAM. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat berkata-kata ke arah perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih lagi mulia serta terpuji yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri seseorang manusia itu.
*Air yang penuh di dalam tempayan itu tidak akan berkocak.
[Orang yang 'Alim (Berilmu tinggi@banyak ilmu) biasanya PENDIAM.]
Alhamdulillah....Wallahu'alam
Jazakallaahu Khoiron Katsiiro, Wabaarokallaahu Fiikum, Wabillaahi Taufiq Wa Hidayah



















