Friday, July 23, 2010
Alhamdulillah....kini u-jam telah mencapai sehingga 13,000 members...bermula dari u-jam pertama yang tersekat kemaraannya disebabkan admin tidak boleh menghantar mesej setelah members melebihi 5,000 . dan kini u-jam yang pertama mencecah 8,362@24.07,2010 ..setelah diwujudkan u-jamv2.0 untuk mengatasi masalah ini ,,,dan u-jamv2.0 sudah mencecah 4,110 members!...kemungkinan besar selepas ini akan ada u-jamv3.0!
Alhamdulillah ...ini adalah artikel nostalgia dari u-jam yang pertama untuk tatapan sahabat....Sharing is Caring!
" Itulah, kamu doa letak syarat, mana tak frust macam ni."
Dua orang siswi aktivis dakwah terkebil-kebil di hadapan saya. Mereka datang mahu menghambur kekecewaan yang meraja gara-gara keputusan peperiksaan semester lalu yang tidak berapa menjadi.
" Ya Allah Ya Tuhanku, aku telah banyak beribadah kepadaMu, melakukan kerja dakwahMu, mengorbankan waktu dan tenaga untukMu. Oleh itu, aku sangat-sangat harapkan agar kau balaslah dengan memberikan kecemerlangan kepadaku dalam pelajaran."
Sudah! Kita pula yang memberi arahan supaya Allah membalasnya dalam KONTEKS pelajaran. Ini sekadar contoh ‘balasan’ yang kita minta Allah istijab dengan HANYA cara itu. Tidak salah meminta. Pintalah, pasti Allah kabulkan. Cumanya! Ya, cumanya sikap demand kita dalam berdoa menyebabkan kita menanggung kekecewaan yang keterlaluan dengan persangkaan buruk kepada Allah bahawa Dia tidak menunaikan janjiNya.
BERDOALAH TANPA SYARAT.
Biarlah Dia yang menentukan dengan cara apa Dia akan membalas kebaikan-kebaikan itu. Jangan meletakkan pensyaratan bahawa segala pengorbanan yang kita lakukan untukNya terutama buat para daei, adalah dengan pertimbangan kita mesti diluluskan dengan DEAN LIST sebagai bukti ayat Al-Qur’an :
“ Jika kamu menolong agama Allah, maka Allah akan menolong kamu.”
“ Allah kata, kalau kita tolong agama Dia, Dia akan tolong kita balik. Awat dalam exam, rasa blank saja. Result makin lama makin down. Kenapa Allah tak tolong pun?.”Rungutan seorang siswi aktivis dakwah. Beliau sedang kecundang dalam mengendalikan keyakinan bahawa Allah tidak akan menyalahi janjiNya.
Jelas sekali! masalah awalnya adalah dengan niat. Beramal bukan kerana cinta, tetapi menantikan balasan yang bersyarat. Semestinya tidak langsung menjadi kesalahan untuk membuat sesuatu amal dengan mengharapkan balasan baik daripada Allah. Tetapi ia lebih Allah hargai andai kita membuat sesuatu amal dengan segala bentuk pengorbanan yang susah-susah kita lakukan adalah kerana kita tahu, kita lakukan demi CINTA yang tak terungkapkan buat Dia. Ini tanda tingkat ikhlas yang paling tinggi.
Kalaulah boleh didengar suara rintih Rabiatul Adawiyah :
“ Aku melakukan semua ini bukan kerana mengharap syurgaMu, bukan kerana takut dengan nerakaMu. Tetapi semata-mata aku sangat mencintaiMu. Sungguh, tiada apa yang aku harapkan balasan dariMu. Hanyalah kerana jiwaku terlalu mencintaiMu.”
Sangat indah andai ini yang terungkap dari bibir kekasih kita bukan. Semuanya demi cinta yang membesar buat kita. Hanya kerana cinta tanpa perlu balasan. Indahnya!
JANGAN MENGAJAR TUHAN ITU DAN INI
“ inilah bahayanya. Sekarang bila kamu tak dapat score, kamu cepat hilang harapan. Sebab kamu fikir, kebaikan itu Allah akan balas ikut apa yang kamu minta. Jangan mengajar Tuhan hendak buat itu dan ini. Entah-entah Allah hendak bagi yang lebih baik. Dengan cara apa, bila dan apa benda tu, kita nantikan saja. Tapi ia PASTI!”
Letih juga mahu memujuk jiwa murung yang hanya kehilangan sedikit nikmat dunia. Kadang-kadang begitulah kita. Dalam Allah menghilangkan sedikit-demi sedikit nikmat dunia yang kita selesa dengannya dahulu, sebenarnya dalam diam Dia telah gantikan nikmat akhirat yang kita tidak sedari. Dia cuba mengubah selera kita dalam memandang nikmat apa yang membawa ke syurga.
Berapa ramai yang mahu menghargainya!
Di sini, sedikit pemfokusan kepada peserta tarbiyah. Berapa ramai yang ‘menghilang’ gara-gara teruji dengan ‘pointer’ yang terjejas. Dengan hukuman, semuanya berpunca daripada komitmen dalam tarbiyah. Sungguh malang pengadilan yang dilakukan. Rata-rata kes yang terkumpul dalam rekod ‘kehilangan’ para daei adalah berpunca daripada BERDOA DENGAN SYARAT.
“ Ya Allah, aku korbankan waktu datang Usrah hanya demiMu. Mudah-mudahan, Kau permudahkanlah aku menjawab peperiksaan esok, Ameen.”
Sekilas pandang doa sebegini nampak rona-rona ‘keikhlasannya’. Namun, rupanya punya syarat buat Allah. Dengar sini. Saya bercakap melalui pengalaman melalui perubahan nikmat yang Allah paksakan kepada saya. Doa yang sebegini kadang-kadang lekas mengecewakan kita apabila tiada pengabulan daripada Allah secara express. Apabila syarat yang diminta tidak dipenuhi, bagaikan terasa Allah tidak mahu menolong kita. Saat itu, dengan kedangkalan akal yang digayuti para syaitan, kita mulalah merasakan pengorbanan yang mulanya DEMIMU adalah sia-sia.
Tanyalah hati. Jika ia salah, maka ia hanya pengalaman saya dan beberapa individu. Secara pengalaman juga, Dia sungguh tidak memungkiri janji. Banyak sekali peristiwa ‘pertolongan’ yang saya tidak sangka-sangkakan akan berlaku. Bahkan lebih besar daripada syarat yang kita letakkan. Biarlah ia menjadi ‘simpanan’ cerita saya yang akan saya bongkarkan nanti-nanti. Apa yang penting, mulai sekarang lupakan syarat dalam berdoa, serta yakinlah Allah tidak akan sia-siakan pengorbanan kita. Tidak akan sia-siakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
saya like dgn tanpa segan silunya