[close]

Jamaah Anak Muda Se-Malaya

Utama

free counters

Ukhwah Jamaah

"BangkitLah Jemaah Anak Muda!"
U-jamV3.0. Powered by Blogger.

Tuesday, September 27, 2011

Definisi Kemenangan Pejuang Gerakan Islam

Posted by Usrah Jamaah Anak Muda | Tuesday, September 27, 2011 | Category: |



Semua orang yang berjuang mahukan kemenangan. Malah ramai para pejuang Islam yang mengimpikan kemenangan berlaku semasa hidupnya.   Namun apakah definasi kemenangan yang diinginkan oleh Islam?.
Ada pejuang meletakkan kemenangan dalam perjuangannya ialah ; apabila berjaya menjadi wakil rakyat dan menjadi pemerintah di sesebuah negeri sebagaimana kejayaan nabi s.a.w meguasai kuasa pemerintahan di Madinah semasa hayat baginda.
Kejayaan memerintah sebuah negeri adakah satu kemenangan hakiki atau ia adalah satu bebanan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat? Apakah mereka yang gagal mendapat kuasa semasa hidupnya di dunia adalah golongan yang gagal di akhirat?
Apakah kita diwajibkan berusaha mendapatkan kuasa dengan apa juga cara atau cara mendapatkan kuasa juga perlu mengikut landasan Syariat?. Apakah kuasa pemerintahan itu satu-satunya matlamat Islam maka apabila kita berkuasa kita telah dikira berjaya mencapai matlamat Islam?
Sebenarnya Islam mempunyai definasi tersendiri mengenai kejayaan dan kemenangan. Pejuang-pejuang Islam sebenar adalah mereka yang berjuang bagi merealisasikan kemenangan yang dikehendaki oleh Allah bukan kemenangan berdasarkan definasi mereka sendiri.
Allah Azza wa Jalla menyebut kejayaan dan kemenangan dengan beberapa istilah dalam al-Quran seperti; Aflaha, al-muflihun dan al-faizun. Allah juga mengistilahkan orang yang gagal sebagai Khusr dan al-khasirun.
Allah menyebut kemenangan sebagai al-Nasr dan menegaskan bahawa semua kemenangan adalah kurniaan Allah yang bersyarat. Allah menegaskan punca kekalahan umat Islam dalam pertembungan dengan Thaghut apabila mereka tidak memiliki pra syarat kemenangan.

وَمَا جَعَلَهُ اللّهُ إِلاَّ بُشْرَى لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللّهِ الْعَزِيزِ

الْحَكِيمِ  

“Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala-bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”(Al-Imran 3:126)
Ayat ini merupakan komentar Allah kepada umat Islam selepas peperangan Uhud dan merupakan penegasan semula kepada orang-orang beriman selepas Allah memberi komentar yang sama selepas peperangan Badar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Anfal..

وَمَا جَعَلَهُ اللّهُ إِلاَّ بُشْرَى وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللّهِ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. “(Al-Anfal 8:10)
Dua peristiwa besar dalam sejarah umat Islam ini; kemenangan dalam peperangan Badar dan kekalahan dalam peperangan Uhud, mengenengahkan faktor-faktor kemenangan dan prasyaratnya yang Allah kemukakan kepada seluruh umat Islam di sepanjang jalan perjuangan.  Tanpanya Allah tidak akan memberikan kemenangan untuk para pejuang Islam kerana bumi ini hanya akan diwariskan kepada hamba-hambanya yang bertakwa.
Dalam peristiwa peperangan Badar, umat Islam tidak memilih untuk berperang sebaliknya hanya keluar untuk menyekat kafilah perdagangan yang dibawa oleh Abu Sufyan tetapi Allah menghendaki sebaliknya. Ketika tidak ada pilihan, ketika tidak ada persediaan sebab fizikal yang cukup umat Islam tidak ada pilihan lain selain menyerah seluruh pengharapan kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Hati umat Islam seluruhnya pasrah dengan kehendak Allah lalu dengan hati yang bulat, ikhlas, penuh pengharapan kepada Allah mereka berjuang dengan mengharapkan untuk mendapat pahala sebagai syuhada.
Pengutusan para malaikat menyertai mereka hanyalah untuk menenangkan hati orang-orang yang beriman dan kemenangan yang mereka perolehi kerana Allah ingin mengurniakan kepada mereka kemenangan tersebut. Namun kemenangan itu bukan dengan mereka berpeluk tubuh tetapi setelah mereka memberi dan berusaha dengan apa yang mereka miliki beserta penyerahan menyeluruh kepada Allah SWT.
Peperangan Uhud pula sebaliknya, umat Islam telah mengetahuinya, sudah dilakukan mesyuarat, segala kelengkapan peperangan disiapkan, strategi peperangan disusun, jumlah tentera lebih ramai daripada dalam peperangan Badar dan umat Islam keluar ke medan jihad dengan penuh semangat tetapi Allah tidak inginkan mereka beroleh kemenangan sebagaimana kemenangan dalam peperangan Badar kerana tidak cukup syarat-syarat kemenangan.
Antara syarat-syarat kemenangan yang dipertegaskan oleh Allah dalam surah al-Anfal ialah:
1. Tetap hati, banyakkan mengingati Allah dan memohon ampun/bertaubat kepada-Nya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُواْ وَاذْكُرُواْ اللّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلَحُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.” (Al-Anfal 8:45)
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
“Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” (An-Nasr 110:3)
2. Mentaati Allah dan Rasulnya, tidak wujud sikap berbantah-bantah sesama orang yang beriman dan bersabar.

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. “(Al-Anfal 8:46)
3. Tidak memiliki sifat sombong, angkuh, riak dan menghalang manusia dari jalan Allah.

وَلاَ تَكُونُواْ كَالَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَارِهِم بَطَرًا وَرِئَاء النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللّهِ وَاللّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riak kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.” (Al-Anfal 8:47)
4. Ikhlas dan tidak mengharapkan dunia sedikitpun dalam perjuangan.

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِ حَتَّى إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّن بَعْدِ مَا أَرَاكُم مَّا تُحِبُّونَ مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ وَاللّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan menderhakai perintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai kurniaan (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman.” (Al-Imran 3:152)
5. Tiada perasaan ‘ujub.

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi congkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.” (At-Taubah 9:25)
Kita insan yang diamanahkan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi juga ditaklifkan untuk membuat perancangan dan berusaha mewujudkan sebab-sebab atau faktor-faktor kemenangan dalam diri para pejuang sebagaimana yang diajar oleh Allah kepada kita seterusnya kita perlu bertawakkal kepada Allah dan mengharapkan Allah mengurniakan kepada kita kemenangan di dunia atau kita mendapat ganjaran keampunannya di akhirat.
Tidak ada jalan pintas untuk melahirkan prasyarat kemenangan dalam anggota jamaah Islam yang berjuang melainkan melalui pentarbiyahan yang tersusun, berobjektif dan berterusan.
Wallahu a'lam ~ Ustaz Hashim Maranji

Currently have 0 comments:


Leave a Reply