Friday, November 5, 2010
CABARAN WANITA MUSLIM MASA KINI
Dahulu, wanita dianggap sinonim dengan dapur dan anak, tetapi kini peranan mereka sudah banyak berubah. Wanita islam kini telah banyak menceburi pelbagai kerjaya dan profesion seperti peguam, doktor, jurutera dan sebagainya. Wanita juga kini dilihat sebagai simbol kelemahan, tidak berdaya dan kurang yakin dalam membuat sesuatu keputusan penting. Golongan ini juga yang sering ditindas kerana merasakan mereka tidak mampu melawan dengan kudrat mereka.
Kini, wanita yang bersifat lemah lembut dan mengalah kepada lelaki sering menghadapi masalah penderaan oleh golongan lelaki. Kejadian rogol, bunuh, dera dan sebagainya adalah contoh yang teramat jelas menunjukkan wanita kini teraniaya. Peruntukan undang-undang di Negara yang sedia ada seolah-olah tidak bersimpati dengan nasib yang menimpa golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan.
Pertambahan bilangan ibu tunggal di Negara kita semakin meningkat. Kebanyakan mereka adalah mangsa perceraian, gantung tidak bertali atau suami menghilangkan diri. Dengan status sedemikian, mereka menghadapi cabaran-cabaran dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Tanpa sokongan dan bimbingan suami dalam keluarga menjadikan kebanyakan anak-anak kini menjadi semakin liar dan rosak kerana kekurangan kasih saying dalam keluarga. Mereka kerap menjadi sasaran bilamana anak-anak tidak terdidik dengan sempurna. Masyarakat juga memandang sinis terhadap golongan ibu tunggal.
Wanita islam juga kini terlibat dalam aktiviti-aktiviti kurang sihat seperti pelacuran, penagihan dadah, pembuangan dan penderaan bayi dan lain-lain lagi. Ini adalah cabaran yang terpaksa mereka hadapi apabila mereka tewas dengan kemewahan dan kesenangan. Atas kesempitan hidup, mereka sanggup menggadai maruah hanya kerana inginkan kehidupan yang lebih mewah. Inilah antara cabaran-cabaran wanita islam masa kini yang terpaksa mereka hadapi.
Kesimpulannya, wanita muslim seharusnya dibekali dengan ilmu agama dan perlu mengetahui adab perhubungan dengan kaum lelaki, hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga seperti hal perkahwinan, tanggungjawab suami dan isteri, perhubungan ibu bapa dan anak-anak dan perhubungan dengan saudara-mara yang lain serta peraturan hidup seharian dari segi pemakanan, berpakaian, pembelajaran, pekerjaan dan sebagainya. Paling utama sekali, wanita muslim perlu mempersiapkan diri mereka dari segi spiritual, mental dan fizikal ke tahap yang terbaik mungkin supaya mereka dapat menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.(As-Saff: Ayat 4)
Currently have 0 comments: