Monday, November 22, 2010
Kem Bina Sahsiah : Risau Jika Tinggal Solat!
Kes-kes jenayah juvana, pembuangan bayi, penagihan dadah dan alkohol, serta pukul guru semakin menjadi-jadi di kalangan anak muda pada hari ini.
Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, perkara yang berlaku itu menjadi kebimbangan ibu bapa dan juga masyarakat kerana ia boleh merosakkan kehidupan anak-anak remaja dan belia.
"Adalah tidak adil jika kita hanya mampu menuding jari kepada pihak lain mengenai punca permasalahan yang berlaku ini," jelasnya.
Menurutnya, ibu bapa dan masyarakat tercari-cari ke mana mereka hendak hantar anak-anak mereka terutama di musim cuti persekolahan untuk diberi 'ilmu tambahan' semata-mata untuk menghindarkan anak mereka dari terjebak dengan pelbagai anasir keruntuhan moral.
"Alhamdulillah, dari laporan yang saya terima, kebanyakan remaja yang sebelum ini mungkin sedikit nakal, bila keluar dari Kem Bina Sahsiah, mereka menunjukkan 100 peratus perubahan diri," katanya.
Ujarnya, ibu bapa turut menghantar surat mengucapkan tahniah, dahulunya anak mereka tidak solat, keluar dari Kem Bina Sahsiah, Alhamdulillah sudah tidak tinggal solat, bijak mengagihkan masa, hormat kepada orang tua dan berbagai lagi kesan positif hasil mereka lalui modul yang disediakan di Kem Bina Sahsiah.
Jelasnya, tentunya Kem Bina Sahsiah tidak mengharapkan pujian tersebut kerana matlamat utamanya adalah untuk melahirkan satu generasi remaja yang mempunyai jati diri dan kenal ajaran agamanya.
"Inilah konsep pembinaan insan yang akan kita tekankan sepanjang masa dalam usaha melihat satu generasi yang berdaya maju, pintar dan bertakwa," ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut mengucapkan syabas kepada semua peserta dan diharap mereka dapat mempergunakan segala apa yang dipelajari sepanjang kem berkenaan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Currently have 0 comments: