Wednesday, July 27, 2011
Kertas Kerja Perspektif Cinta Dalam Islam - Us Din Tantawi ~ Tinta Pra-Ramadhan
Posted by Usrah Jamaah Anak Muda | Wednesday, July 27, 2011 | Category:
|
PERSPEKTIF CINTA DALAM ISLAM
الحمد لله واحد الأحد الفرد الصمد الذى لم يلدو لم يولد ولم يكن له كفوا أحد . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له . له الملك و له الحمد وهو على كل شئ قدير . و أشهد أن محمدا عبده و رسوله أرسله الله بشيرا و نذيرا بين يدى الساعة فأد الأمانة و بلغ الرسالة و نصح الأمة و جاهد فى الله حق جهاده . الصلاة و السلام على حبيبنا و شفيعنا و زخرنا محمد بن عبد الله إمام المتقين و قائد الدعاة المجاهدين و على آله و صحبه و من سار على هديه إلى يوم الدين . أمـا بـعــد
قال الله تعالى : و اعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا و اذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعداء
فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا
( ال عمران 103 )
MUQADDIMAH
Kewujudan manusia merupakan keunikan alam anugerah Allah swt. Komunikasi antara mereka memperlengkapkan survival sebuah kehidupan , manakala hubungan raya manusia dan penciptanya pula menempah kejayaan hakiki . Manusia memiliki fitrah kejadian yang seni dan agung jua sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia . انسانية الإنسان
Cinta menepati satu angka dari perangkaan fitrah manusia . Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia .
Kesenian cinta yang didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian , keamanan dan ketenangan . Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan kebejadan iblis laknatullah . Demi kemakmuran manusia sejagat , kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah swt .
Rasulullah saw. telah bersabda :
من سره أن يجد حلاوة الإيمان فليحب المرء لا يحبه إلا لله عز و جل
( رواه أحمد و الحاكم )
“ Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah swt. ”
Permasaalahan cinta antara yang dihadapi secara serious oleh ummat Islam hari ini . Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan ummat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik . Krisis cinta palsu telah memapah ummat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spiritual malah membunuh solidariti dan menodai sosial .
Individu muslim sewajarnya peka terhadap kehadhiran cinta yang menguasai jiwa . Cinta yang berlojikan nafsu dan syahwat hanyalah cinta palsu yang penuh sandihina .
Firman Allah swt :
لا تتبع الهوى فيضلك عن سبيل الله إن الذين يضلون عن سبيل الله لهم عذاب شديد بما نسوا يوم الحساب
( ص 26 )
“ Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu , kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah . Sesungguhnya orang - orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan .”
Firman Allah swt.
و قال نسوة فى المدينة امرأت العزيز تراود فتاها عن نفسه قد شغفها حبا إنا لنراها فى ضلال مبين
( يوسف 30 )
“ Dan wanita - wanita di kota berkata : Isteri Al Aziz ( sebutan bagi raja di Mesir ) menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya . Sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam . Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata .”
Cinta yang dinaungi kesucian fitrah dan berpandukan aqidah Islamiyyah ialah cinta hakiki yang membina realiti kemakmuran dan mengundang keampunan Allah . Firman Allah swt :
قل إن كنتم تحبون الله فاتبعونى يحببكم الله ويغفرلكم ذنوبكم و الله غفور رحيم .
( ال عمران 31 )
“ Katakanlah : Jika kamu menyintai Allah maka ikutlah aku nescaya Allah menyintaimu dan mengampunkan dosa - dosamu . Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang .”
CINTA DI PENYATA WAHYU
Menelusuri cinta bahagia dan hakiki sayugianya melangkah melalui lebuhraya yang luas terbentang menuju penyata Ilahi . Sebarang lorong dan alur rentas yang tidak menuju Irsyadur Rabbani hanyalah mempertemukan cinta dan nafsu dalam serkap yang gelita . Melalui penyata yang juga merupakan surat kiriman dari Allah swt. telah tertera mengenai cinta .
1. Cinta kehadhrat Ilahi .
Ketinggian nilai taqarrub Al A’bid kepada Khaliq dapat dikesan melalui skil cinta murni kehadhrat Ilahi . Tanpa cinta kepada Allah , perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan ia menjadi tunjang kepada Islam . ( أول الدين معرفة الله )
Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap . Firman Allah swt :
و من الناس من يتخذ من دون الله أندادا يحبونهم كحب الله و الذين ءامنوا أشد حبا لله
ولو يرى الذين ظلموا إذ يرون العذاب أن القوة لله جميعا و أن الله شديد العذاب
( البقرة 165 )
“ Dan diantara manusia ada orang - orang yang menyembah tandingan - tandingan selain Allah . Mereka menyintainya sebagaimana mereka menyintai Allah . Adapun orang - orang yang beriman sangat cinta kepada Allah . Dan jika seandainya orang - orang yang berbuat dholim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa pada hari kiamat bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat siksaanNya ( nescaya mereka menyesal ) ”
Meletakkan diri dalam zumrah orang - orang yang menyintai Allah mestilah bertindak penuh dengan mematuhi perintah Allah dan Rasulnya . Firman Allah swt :
قل إنما أنا بشر مثلكم يوحى إلى أنما إلهكم إله واحد فمن كان يرجوا لقاء ربه فليعمل عملا صالحا و لا يشرك بعبادة ربه أحدا .
( الكهف 110 )
“ Katakanlah : Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu , yang diwahyukan kepada ku : Bahawa sesungguhnya tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa . Barangsiapa yang mengharap perjumpaan dengan tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada tuhannya .”
Pencinta Allah adalah pemilik iman yang komited merangkap pejuang yang dinamis . Mereka menanggapi kewujudan Allah sebagai Qadhi Rabbul Jalil yang tiada tandingan . Firman Allah swt :
أفحكم الجاهلية يبغون و من أحسن من الله حكما لقوم يوقنون
( المائدة 50 )
“ Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki , dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang - orang yang yakin ”
Firman Allah swt :
و من يعمل من الصالحات من ذكر و أنثى وهو مؤمن فأولئك يدخلون الجنة ولا يظلمون نقيرا
( النساء 124 )
“ Barangsiapa yang mengerjakan amal - amal soleh , baik lelaki mahupun wanita sedang ia beriman maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun ”
Merekalah tentera Allah yang terpilih untuk bertugas gigih bagi memastikan agama Allah tertegak dimuka bumi ini , pula layak menyandang pingat kejayaan sejati . Firman Allah swt :
ياأيها الذين ءامنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتى الله بقوم يحبهم و يحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكافرين يجاهدون فى سبيل الله ولا يخافون لومة لآئم ذلك فضل الله يؤتيه من يشآء و الله واسع عليم .
( المائدة 54 )
“ Hai orang - orang yang beriman , barangsiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya , maka kelak Allah akan mendatangkan suatu qaum yang Allah menyintai mereka dan mereka pun menyintai Allah , Yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mu’min , yang bersikap keras terhadap orang kafir , yang berjihad di jalan Allah dan yang tidak takut celaan orang yang suka mencela . Itulah kurniaan Allah , diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui .”
Individu mu’min dalam memburu kesempurnaan ibadat dan kejayaan perjuangan sepastinya merangkul erat nilai cinta kepada Allah swt .
1. Taqarrub kepada Allah swt.
2. Senantiasa mengawasi perintah Allah swt . ( agar tidak lalai )
3. Berjihad di jalan Allah swt .
Kecintaan kepada Allah swt. antara semboyan untuk mengundang nusrah dan cinta Ilahi sedangkan nusrah ( pertolongan ) dan cinta Allah pula menjadi sarana terpenting yang digunakan untuk menjamin keistiqamahan dan kekuatan dalam menghadapi konspirasi musuh - musuh Allah swt.
Memiliki cinta Allah swt. seharusnya menjadi kebanggaan individu muslim lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsanNya . Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepadaNya . Menjelaskan tentang nilai cinta Allah , telah berkata Al Allamah Abu Yazid Al Busthomi :[1]
ليس العجب من حبى لك و أنا عبد فقير إنما العجب من حبك لى و أنت ملك قدير
“ Bukan suatu yang menghairankan aku menyintaiMu kerana aku hamba yang faqir tetapi apa yang menghairankan ialah cintaMu kepadaku sedang engkau adalah yang Maha berkuasa ”
Gejala Munafiq .
Kecintaan kehadhrat Ilahi adalah manifestasi dari sebuah keimanan yang kental, keyakinan padu yang tidak berbelah bahagi dan ketundukan tulus penuh khusyu’ di hadapan Allah swt . Sikap bermain kayu tiga dengan Allah swt. pula adalah penjelmaan dari sebuah kemunafiqan yang bejad .
Sebahagian besar ummat Islam hari ini , terdedah kepada bahaya munafiq apabila sedar atau tidak mereka sering bermain kayu tiga dengan Allah swt. Mereka menyatakan ikrar untuk hidup dan mati kerana Allah swt setiap kali mereka mendirikan solat , namun malang 100 kali malang , sejurus mereka selesai sembahyang , berhamburanlah kata - kata yang tidak selayaknya diucapkan.
Zaman modern , macam mana nak laksanakan Islam ?
Nak laksanakan Islam , tak semestinya kena bentuk negara Islam !
Hukum hudud hanya membuatkan orang lari dari Islam !
Demikianlah antara bilah - bilah perkataan yang nyata menggambarkan kejahilan , pendustaan dan lemah jiwa . Sekaligus menafikan ikrar mereka untuk hidup dan mati kerana Allah swt .
Sifat -sifat munafiq . [2]
1 . Dusta :
Firman Allah swt :
و من الناس من يقول ءامنا بالله و اليوم الأخر و ما هم بمؤمنين يخادعون الله و الذين ءامنوا و ما يخدعون إلا أنفسهم و ما يشعرون . فى قلوبهم مرض فزاد هم الله مرضا و لهم عذاب أليم بما كانوا يكذبون
( البقرة 8 - 10 )
“ Di antara manusia ada yang mengatakan : Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang - orang yang beriman . Mereka hendak menipu Allah dan orang - orang yang beriman padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar . Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah akan penyakitnya dan bagi mereka siksa yang pedih disebabkan mereka berdusta .”
2. Bodoh sombong .
Firman Allah swt :
و إذا قيل لهم لا تفسدوا فى الأرض قالوا إنما نحن مصلحون . ألآ إنهم هم المفسدون و لكن لا يشعرون . و إذا قيل لهم ءامنوا كمآ ءامن الناس قالوا أنؤمن كمآ ءامن السفهآء ألآ إنهم هم الســفهآء و لكن لا يعلمون
( الــبقرة 11 - 13 )
“ Dan bila dikatakan kepada mereka : Janganlah kamu membuat kerosakkan di muka bumi , mereka menjawab Sesungguhnya kami orang - orang yang melakukan kebajikan . Ingatlah , sesungguhnya mereka itulah orang - orang yang membuat kerusakkan tetapi mereka tidak sedar . Apabila dikatakan kepada mereka : Berimanlah kamu sebagaimana orang - orang lain telah beriman , mereka menjawab Adakah kami akan beriman sebagaimana orang - orang bodoh itu beriman ? Ingatlah sesungguhnya merekalah orang - orang yang bodoh , tetapi mereka tidak mengetahui .”
3. Menukar petunjuk dengan kesesatan .
Firman Allah swt :
و إذا لقوا الذين ءامنوا قالوا ءامنا وإذا خلوا إلى شياطينهم قالوا إنا معكم إنما نحن مسـتهزءون . ألله يستهزئ بهم و يمدهم فى طغيانهم يعمهون . أولئك الذين اشتروا الضلالة بالهدى فما ربحت تجارتهم وما كانوا مهتدين
( الـبـقرة 14- 16)
“ Dan bila mereka berjumpa dengan orang - orang yang beriman , mereka mengatakan kami telah beriman . Dan bila mereka kembali kepada syaithan - syaithan mereka , mereka mengatakan : Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu , kami hanyalah berolok - olok . Allah akan membalas olok - olokkan mereka dan membiarkan mereka terumbang ambing dalam kesesatan mereka . Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk , maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk .”
Kecintaan kepada Rasul saw.
Perutusan duta besar المصطفى صلى الله عليه وسلم adalah pemegang mohor agung untuk mengurus dan mengendalikan titah perintah Allah sehingga terlaksana pengabdian diri kepada Allah dan pembenterasan thoghut . Firman Allah swt :
و لقد بعثنا فى كل أمة رسولا أن اعبدوا الله و اجتنبوا الطاغوت فمنهم من هدى الله و منهم من حقت عليه الضلالة فسيروا فى الأرض فانظروا كيف كان عاقبة المكذبين .
( النحل 36 )
“ Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan rasul pada tiap - tiap ummat untuk menyeru manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan thoghut , maka sebahagian mereka mendapat petunjuk Allah dan sebahagiannya orang - orang yang telah pasti kesesatannya , maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang - orang yang dusta .”
Justeru itu menjadi hak mutlak bagi Baginda rasul saw. bahawa ia semestinya dicintai lantaran Baginda telah berselut lumpur menghidupkan obor buat ummah sekaligus menyungkurkan juak Jahili . Menyintai Baginda rasul saw. bererti memberi syahadah dan ikatan bai’ah demi perlaksanaan syariat Allah swt . Firman Allah swt :
وما ءاتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا واتقوا الله إن الله شديد العقاب .
( الحشر 7 )
“ Apa yang dibawa datang oleh Rasul kepada kamu maka hendaklah kamu terima dan apa yang dilarangnya bagimu maka hendaklah kamu tinggal dan bertaqwalah kepada Allah swt . Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya .”
Realiti cinta kepada Saiyidil Mursalin saw. mampu menghadhirkan cinta Allah sebagai satu gandingan cinta sejagat . Cinta inilah yang berenergy tinggi mampu ke lokasi tenang dan bahagia serta berfungsi sebagai penyelamat dari sambaran azab Allah swt. Firman Allah swt :
قل إن كان ءابآؤكم و أبنآؤكم و إخوانكم و أزواجكم و عشيرتكم و أموال اقترفتموها و تجارة تخشون كسادها و مساكن ترضونها أحب إليكم من الله و رسوله و جهاد فى سبيله فتربصوا حتى يأتى الله بأمره والله لا يهدى القوم الفسقين
.
( التوبة 24 )
“ Katakanlah : Jika bapa - bapa , anak - anak , saudara mara , isteri - isteri , kaum keluarga , harta kekayaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah - rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah terlebih kamu cinta dan kasih daripada Allah dan Rasul serta Jihad dijalanNya maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang - orang fasiq .”
Mempertahankan kesucian hadis ( sunnah ) di akhir zaman .
Mempertahankan kesucian nilai hadis atau sunnah bukti kecintaan kita terhadap Baginda saw setelah sekian lama mendahului kita . Mutaakhir ini , suara - suara mempertikai keshohihan hadis dan kemuliaan sunnah kian berleluasa .
Di negara kita , kejutan yang dibuat oleh penulis kontraversi Kassim Ahmad mengenai hadis dalam bukunya Hadis satu penilaian semula ( buku ini telah diharamkan ) masih dirasakan debarannya . Termasuklah penubuhan JAM (Jamaah Al quran Malaysia ) yang ditubuhkan pada Ahad 11 Jun 1995 di rumah universiti , Universiti Malaya .[3]
Kekeliruan yang dilontarkan ke tengah - tengah masyarakat mencetuskan pergolakkan ummah . Apapun alasan , merekalah golongan ingkar sunnah . Al Imam Asy - Syafie ra. mendedahkan tiga jenis golongan ingkar sunnah .[4]
1. Menolak keseluruhan hadis .
2. Menolak hadis kecuali yang menyamai maksud dengan ayat Al quran .
3. Menolak hadis ahad dan hanya menerima hadis mutawatir .
Golongan ini wajib diperangi habis - habisan demi cinta sejati kepada Baginda Rasul saw. Insan yang maksum. Tambahan pula tiada syak lagi bagi mereka yang mengingkari Sunnah , mereka juga mengingkari Al quran . Mengingkari Al quran adalah kufur yang nyata . Firman Allah swt :
قل أطيعوا الله و الرسول فإن تولوا فإن الله لا يحب الكافرين .
( ال عمران 32 )
“ Katakanlah : Taatilah Allah dan RasulNya . Jika kamu berpaling , maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang - orang kafir.”
Firman Allah swt :
و من يعص الله ورسوله ويتعد حدوده يدخله نارا خالدا فيها وله عذاب مهين .
( النساء 14 )
“ Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya dan juga melanggar ketentuan - ketentuanNya nescaya Allah memasukkannya kedalam api neraka sedang ia kekal didalamnya baginya siksa yang amat hina .”
Cinta mukmin .
Interaksi cinta sesama mukmin adalah pembuluh yang menyalurkan izzah dan himmah ummah Muhammadiah . Keperihatinan Islam mengorientasi ummah berkombinasi dan bersepadu adalah melalui perlaksanaan program ukhuwwah ad - diniah yang bercagarkan percintaan sesama insan . Abu A’la Al Maududi telah merakamkan :[5]
لست مبالغا فيما أقول إنه لا توجد نظرية لا فى القديم و لا فى الحديث توحد الإنسانية و تصلح أساسا للدولة العالمية إلا نظرية الإسلام و الإسلام ققط هذه هى منهجية الوحيد التى باستطاعتها أن تجمع بين الناس جميعا و تجعل منهم عائلة واحدة يتكون منها مجتمع عالمى و تنشاء عليها دولة عالمية .
" Tidak keterlaluan jika aku mengatakan bahawa tiada satu teori pun samaada kuno atau modern yang mampu menyatukan manusia dan memulihkan asas daulah antarabangsa melainkan Islam . Inilah satu - satunya manhaj yang mampu menghimpunkan manusia keseluruhan dan menjadikan mereka keluarga yang satu,(melaluinya ) terbentuk masyarakat dan daulah antarabangsa .”
Jalinan erat hati dan tenaga sesama mukmin , menyuburkan semangat bahu membahu ( تناصر ) dalam pembinaan aqidah yang mantap , sosial yang sihat dan kekuatan tenaga yang ampuh . Aqidah yang mantap , sosial yang sihat dan kekuatan yang ampuh merupakan senjata serampang tiga yang efektif untuk menggempur elemen Jahiliyyah dan menangani manipulasi Al Ahzab modern .
Berlansungnya pembelengguan dan penjajahan ummah terkini lantaran ketandusan cinta dan kegersangan kasih sayang . Dunia kini merintih kehausan Mahabbah , Saadah dan A’dalah angkara retaknya solidariti ummah . Lantas itu Allah swt. berfirman :
و اعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا و اذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعدآء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذالك يبين الله لكم ءايته لعلكم تهتدون
( ال عمران 103 )
“ Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali agama Allah dan janganlah berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh - musuhan , maka Allah mempersatukan hati - hati kamu lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara dan kamu telah berada di tepi jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya . Demikian Allah menerangkan ayat - ayatnya kepadaMu agar kamu mendapat petunjuk .”
Nilai cinta mukmin .
1. Ikatan Aqidah . ( رابطة العقيدة )
فإن تابوا و أقاموا الصلوة و ءاتوا الزكوة فإخوانكم فى الدين و نفصل الأيات لقوم يعلمون .
( التوبة 11 )
“ Jika mereka bertaubat , mendirikan solat dan menunaikan zakat maka mereka adalah saudara kamu seagama dan kami menjelaskan ayat - ayat itu bagi kaum yang mengetahui .”
2. Kebahagiaan Insaniah ( سعادة البشرية )
إن المتقين فى جنات و عيون . ادخلوها بسلام ءامنين . و نزعنا ما فى صدورهم من غل إخوانا على سرر متقابلين
( الحجر 45 - 48)
“ Sesungguhnya orang bertaqwa itu berada dalam syurga ( taman ) dan berhampiran mata air yang mengalir . Di katakan kepada mereka : Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman . Dan kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada di dalam hati mereka , sedang mereka merasa bersaudara, duduk berhadap - hadapan .”
3. Masyarakat soleh . ( اصلاح المجتمع )
إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم و اتقوالله لعلكم ترحمون .
( الحجرات 10 )
“ Sesungguhnya orang -orang yang beriman adalah bersaudara maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat .”
4. Persaudaraan yang erat . ( أخوة الرفيقة )
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : والذى نفسى بيده لا يؤمن عبد حتى يحب لجاره - أو قال - لأخيه ما يحب لنفسه
( أخرجه البخارى - فتح البارى 13 )
“ Demi Tuhan yang diriku berada di dalam genggamanNya , tidak beriman seseorang hamba sehingga ia kasih kepada jirannya ( atau ) saudaranya sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri .”
5. Selamat dari azab . ( رفع العذاب )
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : سبعة يظلهم الله يوم لا ظل إلا ظله ( و منهم )
رجلان تحابان فى الله اجتمعا عليه و تفرقا عليه
( متفق عليه )
“ Tujuh golongan akan dinaungi oleh Allah di bawah naunganNya pada hari tiada naungan kecuali naunganNya ( sebahagian daripada mereka ) ialah dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah dan mereka bertemu serta berpisah berasaskan kasih sayang kerana Allah swt.”
Integrasi cinta mukmin .
Cinta mukmin antara priority pelengkap gerakan Islam yang berwibawa . Duat yang berkasih sayang sebagai tenaga dinamis membina keutuhan tanzim sementara budaya berpesan - pesan dengan kebenaran dan kesabaran beroperasi lancar di atas nama cinta sedangkan ia adalah sumber kekuatan dalaman .
Seringkali tercetusnya pertelingkahan yang menggugat kekuatan dalaman dikalangan ahli gerakan Islam dalam persoalan kecil yang melibatkan perasaan dan peribadi . Pertelingkahan ini pula jika tidak dibendung akan terus menyalakan api permusuhan dan semangat berdendam .
Fenomena ini berlaku dek kerana terlalu rapuh nilai kecintaan sesama mereka . Ukhuwwah Islamiyyah hanya menjadi teori haraki dan idea pidato sedang ia tidak di terjemahkan dalam kehidupan perjuangan mereka .
Tidak dinafikan untuk membina kasih sayang dan membentuk persaudaraan adalah terlalu sukar . Ianya memerlukan hati yang bersih , niat yang suci dan pengalaman bergaul serta mengenal hati budi saudara kita .
Saksikanlah betapa ramai mereka yang mendakwa sebagai anggota gerakan Islam tetapi lebih ringan lidah untuk menikam dan membicara perihal saudara semuslim dari belakang daripada menutur bahasa lunak untuk menasihati dan menegur secara berdepan ( terus terang ) .
Tidak kurang juga mereka yang lebih ringan tangan untuk menuding saudara semuslim berlaku salah dan sebagainya daripada berpegang tangan penuh mesra untuk membimbing dan memandunya .
Lebih parah apabila ada dikalangan mereka dengan hanya sedikit pertelingkahan yang berlaku , mereka mula menarik muka masam mencuka dan tidak memberi salam . Sedang Rasulullah saw. bersabda :
لا تدخلون الجنة حتى تؤمنوا و لا تؤمنوا حتى تحابوا أ و لا أدلكم على شئ إذا فعلتموه تحاببتم افشوا السلام بينكم
(رواه مسلم فى كتاب الإيمان باب لا يدخل الجنة إلا المؤمنون )
“ Kamu tidak dapat memasuki syurga sehingga kamu benar - benar beriman dan tidak kamu beriman sehingga kamu berkasih sayang . Mahukah kamu Aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya kamu akan berkasih sayang : Mengucap salamlah dikalangan kamu .”
Persefahaman , perseimbangan , pengorbanan dan persaudaraan pula merupakan intisari cinta mukmin . Sabda Rasulullah saw .
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : مثل المؤمنين فى توادهم و تراحمهم و تعاطفهم كمثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر و الحمى .
( متفق عليه ) “ Perumpamaan orang - orang yang beriman , pada kasih sayang , silaturrahim dan sikap lemah lembut mereka seperti tubuh badan yang satu , apabila satu anggota terasa sakit maka seluruh tubuh turut merasa sakit dan demam .”
Al Imam Hassan Al Banna ketika menafsirkan Islam , menyentuh perihal ukhuwwah Islamiyyah : [6]
إن الإسلام عقيدة و جنسية ليست جنسية الدم و الأرض و لكنها الأخوة و الروح وهى أقوى و أفضل .
“ Sesungguhnya Islam adalah Aqidah dan kebangsaan , bukan kebangsaan yang berdasarkan darah dan sempadan geografi tetapi kebangsaan yang berasaskan persaudaraan dan roh justeru ia lebih kuat dan afdhal .”
Baginda Rasul saw. di ambang pembentukan Daulah Islamiyyah Al Fadhilah terlebih dahulu mempersaudarakan Al muhajirin dan Al Ansar agar mereka saling cinta menyintai di antara satu sama lain sebagai asas kombinasi padu ke arah pembinaan daulah .Sabda Rasulullah saw :[7]
ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان أن يكون الله و رسوله أحب إليه مما سواهما و أن يحب المرء لا يحبه إلا لله و أن يكره أن يعود فى الكفر كما يكره أن يقذف فى النار .
( رواه البخارى )
“ Sesiapa yang ada padanya tiga perkara , nescaya ia mendapat kemanisan iman iaitu : Allah dan Rasul terlebih ia kasih dari keduanya , Ia tidak menyintai seseorang melainkan kerana Allah dan ia benci kembali menjadi kufur sebagaimana ia benci dicampakkan kedalam neraka .”
Mendhohirkan rasa cinta sesama mukmin .
Sebahagian daripada adab Islami , apabila kita kasih kepada sahabat seperjuangan kita ( kerana Allah ) sewajarnya kita memberitahu bahawa kita menyintainya .
Sabda Rasulullah saw :
إذا أحب الرجل أخاه فليخبره أنه يحبه .
( رواه أبو داود فى كتاب الأدب )
“ Apabila seseorang mengasihi saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahawa ia mengasihinya ”
Ikatan cinta yang disedari bersama ini akan menambahkan semangat bekerjasama dan saling teguh meneguh diantara satu sama lain dalam menghadapi tribulasi perjuangan menegakkan ugama Allah swt . sekali gus dapat menghalang hasutan syaithan jin dan syaithan manusia yang berusaha memutuskan tali persaudaraan sesama mukmin .
Cinta dunia .
Terpesona dan ghairah terhadap sandiwara dunia mencacatkan kredebeliti ummah malah menyemarakkan barah Al Wahnu . Ketika ditanya mengenai Al Wahnu ( الوهن ) , Baginda Rasul menjawab :
حب الدنيا و كراهية الموت .
“ Cintakan dunia dan takut mati “
Firman Allah swt :
اعلموا أنما الحيوة الدنيا لعب و لهو و زينة و تفاخر بينكم و تكاثر فى الأموال و الأولاد كمثل غيث أعجب الكفار نباته ثم يهيج فتراه مصفرا ثم يكون حطاما و فى اللأخرة عذاب شديد و مغفرة من الله و رضوان و ما الحيوة الدنيا إلا متاع الغرور
( الحديد 20 )
“ Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan , perhiasan dan bermegah - megah antara kamu serta berbanga - bangaan tentang banyaknya harta dan anak , seperti hujan yang tanam - tanamannya mengkagumkan para petani , kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian hancur . Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhoanNya Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu .”
Sabda Rasulullah saw.
حب الدنيا رأس كل خطيئة .
( أخرجه ابن أبى الدنيا و البيهقى فى شعب الإيمان)
“ Cinta dunia adalah kepala segala kejahatan .”
Firman Allah swt :
إن الذين لا يرجون لقاءنا و رضوا بالحيوة الدنيا و اطمأنوا بها و الذين هم عن ءاياتنا غافلون . أولئك مأواهم النار بما كانوا يكسبون
( يونس 7 - 8 )
“ Sesungguhnya orang - orang yang tidak mengharap pertemuan dengan kami dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang - orang yang lalai dari ayat - ayat kami , mereka itu tempatnya ialah neraka di sebabkan tindakan mereka .”
Kehancuran dunia hari ini berpunca dari kerakusan dan sikap tamak haloba segolongan manusia yang berusaha membolot kemewahan dunia . Masaalah penghakisan tanah , kepupusan hidupan liar , ketipisan lapisan ozon adalah antara permasaalahan yang mengancam kestabilan dunia angkara tindakan mereka . Firman Allah swt :
ظهر الفساد فى البر و البحر بما كسبت أيدى الناس ليذيقهم بعض الذي عملوا لعلهم يرجعون .
“ Telah dhohirlah kerosakkan di daratan dan di lautan angkara tangan manusia , supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka . Semoga mereka kembali ( ke jalan yang benar ) . ”
Cinta dunia menjadi satu vacum yang membekukan daya juang dan kepekaan ummah terhadap rentak tari musuh . Faktor ini mengekalkan ummah di bawah paras ‘ lemah ’ seterusnya menggagalkan strategi pembinaan khilafah Islamiyyah . Sementara pelupusan iman , taqwa , tawakkal dan tawadhu’ yang mengakibatkan keonaran sosial juga bertunas cambah dari sentimen cinta dunia yang tidak berkesudahan .
قال أبو سليمان الدرانى : إن كانت الآخرة فى القلب جاءت الدنيا تزاحمها فإذا كانت الدنيا فى القلب لم تزاحمها الآخرة
لأن الآخرة كريمة و الدنيا لئيمة .
“ Jika akhirat berada didalam hati , akan datang dunia mendampinginya , jika dunia berada didalam hati , akhirat tidak akan mendampinginya kerana akhirat adalah kemuliaan sedang dunia adalah kecelaan .” [8]
Keindahan dunia sebagai satu saringan , yang sengaja dibentangkan oleh Allah untuk menguji siapakah mereka yang layak menduduki Jannatul Firdaus .
إنا جعلنا ما على الأرض زينة لها لنبلوهم أيهم أحسن عملا .
( الكهف 7 )
“ Sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya , agar kami menguji mereka siapakah diantara mereka yang terbaik perbuatannya.”
Anasir cinta dunia .
1. Cinta harta .
Harta sering membuat manusia menjadi lupa diri dan tanggungjawab . Harta jugalah sering menewaskan kekuatan pejuang . Justeru itu Baginda Rasul saw. bersabda :
فو الله ما الفقر أخشى عليكم ولكنى أخشى عليكم أن تبسط عليكم الدنيا كما بسطت على من كان قبلكم
فتنافسوها كما تنافسوها فتهلككم كما أهلكتهم
( متفق عليه )
“ Demi Allah , bukan kefaqiran yang aku takut menimpa kamu , tetapi aku takut kamu di bentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada ummat dizaman dahulu , lalu kamu bergelumang dengan dunia dan merebutnya sebagaimana mereka sebelum kamu lalu kamu binasa sebagaimana mereka binasa .”
( Memiliki harta tidak dihalang oleh syara’ sebaliknya cinta harta itulah yang di pandang keji . Harta bermanafaat apabila ia menjadi alat bantu perjuangan menegakkan agama Allah swt .)
انفروا خفافا و ثقالا و جاهدوا بأموالكم و أنفسكم فى سبيل الله ذلكم خيرلكم إن كنتم تعلمون
( التوبة 41 )
“ Berangkatlah samaada ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah , sedemikian itu terlebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui .”
2. Cinta pangkat dan kedudukan .
Cinta pangkat dan kedudukan , jika turut melanda individu dalam gerakan Islam akan menyuburkan lagi persengketaan dingin yang melambatkan proses mencapai kemenangan . Jika disedari , satu soalan akan menerjah : untuk apa mengejar pangkat , kedudukan dan publisiti sedang di akhirat kelak kita akan menjadi manusia yang hina dina ?
Al Fudhail telah mengingatkan kita :[9]
لو كانت الدنيا من ذهب يفنى و الأخرة من خزف يبقى لكان ينبغى لنا أن نختار خزفا يبقى على ذهب يفنى
“ Kalaulah dunia ini terdiri dari emas yang akan binasa dan akhirat dari tanah bakar ( tembikar ) yang kekal , sayugianya kita memilih tanah bakar yang kekal berbanding emas yang binasa.”
3. Cinta keturunan ( Asobiyyah )
Sabda Rasulullah saw. :
ليس منا من دعا إلى عصبية و ليس منا من قاتل على عصبية و ليس منا من مات على عصبية .
( رواه أبو داود )
4. Cinta nafsu .
Firman Allah swt :
ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموات و الأرض .
( المؤمنون 17 )
“ Jika sekiranya kebenaran itu mengikut hawa nafsu mereka nescaya hancur berkecai langit dan bumi ”
Firman Allah swt :
و أما من خاف مقام ربه و نهى النفس عن الهوى فإن الجنة هى المأوى .
( النازعات 40 - 41 )
“ Dan adapun orang - orang yang takut kepada kebesaran tuhannya dan menahan keinginan hawa nafsu maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya .”
CINTA MUDA MUDI ( REMAJA ) :
PERMASAALAHAN DAN PENYELESAIAN .
Mengharungi pasca modern , mencetus komunikasi berani antara manusia . Sopan susila , adat budaya dan adab bangsa kian diketepikan . Susila barat , budaya hippies dan adat rimba dibangga - banggakan sebagai trend dunia terkini.
Muda mudi adalah egensi yang terlalu ketara membantu penguatkuasaan gejala keruntuhan moral . Pergaulan bebas menjadi slogan perjuangan mereka . Hidup mereka hanyut ke tengah gelombang ganas yang membunuh aqidah . Realiti ini suatu tragedi yang mencuit perasaan .
Cinta dikalangan muda mudi turut tercemar oleh wabak jijik yang bermaharajalela . seringkali percintaan antara mereka berakhir dengan kekecewaan dan maksiat yang keji .
Filem - filem cinta yang kini laris di pawagam - pawagam seluruh negara antara saham pihak berwajib dalam membentuk masyarakat muda mudi yang mabuk cinta tanpa peduli halal dan haram . Harus diingati bahawa kita selaku mukmin tidak sebebasnya bertindak sesuka hati . Sabda Rasulullah saw :
الدنيا سجن المؤمن و جنة الكافر .
( أخرجه مسلم )
“ Dunia ialah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”
Realiti sebuah tragedi .
Asy - Syaqi bersyair :
نظرة فابتسامة فسلام فكلام فموعد فلقاء و قال الشاعر : و ما الحب إلا نظرة اثر نظرة تزيد نموا إن تزده لجاجا .
Maksudnya :
1. Main mata dan senyum lirik sebagai agenda pertama dalam aksi mengorat . Sekiranya ada response , pasangan semakin bertindak .
2. Bersahut suara dan saling hubung - menghubungi melalui surat , telefon dan sebagainya . Kesempatan ini akan digunakan oleh kedua - dua pihak untuk berbuat sesuatu agar hubungan semakin erat termasuk penggunaan mentera .
3. Merancang pertemuan ( dating ) di tempat - tempat umum untuk meluahkan perasaan masing - masing . Bungaan ayat diluahkan demi memaut hati pasangan .
Contoh :
a . Lautan api sanggupku harungi .
b . Kalau tak percaya belahlah dada .
c . Berkorban apa saja , sanggup sehidup semati .
d . Sanggupku serahkan tubuh demi cinta .
4. Tatkala kemesraan kian bersemi , pasangan bercinta teramat sukar untuk tidak ‘ menyentuh ’ antara satu sama lain . Tindakan minima , mereka akan bersentuhan bahu dan berpegangan tangan ketika berjalan .Tindakan mereka lebih berani apabila mereka beraksi di tempat sunyi seperti kelab istirehat , kelab malam , di tepi pantai dan seumpamanya .
5. Sentuhan demi sentuhan disiri pertemuan berikutnya akan mematikan rasa malu yang ada pada pasangan tersebut . Nokhtah inilah bermula sebuah cinta bernoda . Palitan kotor dan lumuran jijik melingkari cinta mereka . Namun pasangan sebegini sering beralasan sekadar ‘ ringan - ringan ’
6. Sentuhan mula dilakukan dilakukan di bahagian yang paling biasa seperti mengurai rambut dan mengusap tangan . Fenomena yang dianggap biasa ini jarang dibantah oleh pihak gadis .
7. Akhirnya rentetan sebuah realiti membawa satu tragedi hina dek rangsangan nafsu rambang .
Begitulah gelumang cinta penuh noda lakonan muda mudi yang tidak berpedoman . Nafsu dan syahwat menjadi kriteria utama hidup mereka . Sedangkan Allah telah memperingatkan dalam firmanNya :
إن النفس لأمارة بالسوء
( يوسف 53 )
“ Sesungguhnya nafsu menganjur kejahatan ”
Gejala bohsia dan bohjan yang melanda negara kita hari ini , satu realiti yang mencemaskan . Nafsu mengatasi malu . Inilah bahana cinta nafsu yang tidak dibendung , malah ada pihak yang sengaja mencurah minyak di atas api yang sedang marak . Pencerobohan konsert Salem cool , Scorpion , Micheal Jackson , Inul Daratista dan lainnya ke negara kita tanpa restu dari orang yang beriman telah cukup membuktikan jenis minyak yang mereka curah ke atas api nafsu remaja yang sedang marak .
( Kajian terhadap pekerja kilang di Lembah Kelang membongkarkan : 21 % daripada mereka pernah berlaku sumbang . 14% sering melakukan hubungan seks dan 21 % lagi pernah melakukannya . “ Keruntuhan moral remaja ini banyak dipengaruhi oleh media massa , kemudahan mendapatkan video lucah , percampuran bebas lelaki dan perempuan serta sikap tidak ambil peduli jiran sekeliling .” ) [10]
Penyelesaian .
الإسلام هو الحال demikianlah slogan kebenaran . Pemendapan syariat Islam dalam mengemukakan teori penyelesaian terhadap krisis moral muda muda hari ini merupakan satu jenayah yang terlalu kejam . Lantaran tindakan itu mencetuskan pergeseran jiwa dan fitrah muda mudi tanpa panduan .
1. Mendalami urusan ugama . ( تفقه فى الدين )
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من يرد الله به خيرا يفقه فى الدين .
( رواه البخارى و مسلم)
“ Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah nescaya diberi faham tentang ugama”
Pendidikan Islam selayaknya dijadikan asas pendidikan dalam sebuah negara yang mengaku Islam sebagai ugama rasmi sementara ugama - ugama lain tetap dirai’ sistem pendidikan mereka . Sikap double standard yang meletakkan institusi pengajian Islam awam di kelas bawah punca kemelesetan ilmu dan aqidah .
Alasan masyarakat majmuk yang memaksa sistem pendidikan Islam tidak dijadikan asas pendidikan negara adalah alasan yang karut . Mengapa ugama rasmi negara yang majmuk ini di sebut sebagai Islam .? Kenapa tidak disebut ‘ ugama majmuk ’ ? dan kenapa pula pendidikan negara tidak disebut pendidikan Islam ? Soalnya , keseriousan dalam menangani ehwal ugama Islam masih bersifat pinggiran .
فمن يرد الله أن يهديه يشرح صدره للإسلام و من يرد أن يضله يجعل صدره ضيقا حرجا كأنما يصعد فى السماء كذالك يجعل الله الرجس على الذين لا يؤمنون .
( الأنعام 125 )
“ Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberi petunjuk padanya , nescaya Ia melapangkan dadanya untuk Islam . Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatan , nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit , seolah - olah ia sedang mendaki ke langit . Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang - orang yang tidak beriman .”
2. Tidak bergaul bebas . ( عدم الإختلاط المذموم )
Suasana percampuran lelaki dan perempuan tanpa kawalan syariat wajib dibasmi . Bermula dari sekolah hingga ke pusat hiburan . Pergaulan tanpa batas inilah punca menularnya gejala free sex atau zina terkutuk .
Firman Allah swt :
ولا تقربوا الزنا إنه كان فاحشة و ساء سبيلا .
( الإسراء 32 )
“ Dan jangan kamu hampiri zina maka sesungguhnya zina adalah perbuatan yang amat keji dan suatu jalan yang buruk.”
3. Membentuk keperibadian . ( تشكيل الشخصية )
قد أفلح من ذكاها و قد خاب من دساها .
( الشمس 9 )
“ Sesungguhnya beroleh kejayaanlah siapa yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah siapa yang mengotorinya .”
Empat unsur pembentukan syakhsiyyah Islamiyyah .
a . Aqidah Rabbaniah ( العقيدة الربانية )
b . Komited dengan syariat Allah swt. ( الإلتزام بشريعة الله )
c . Melawan nafsu . ( المجاهدة بالحق )
d . Sabar menghadapi tentangan dalaman atau luaran. ( الصبر و المصابرة )
4. Berkomitmen dengan Jamaah Islam . ( الإلتزام بجماعة المسلمين )
Penglibatan dengan gerakan Islam dan aktivitinya sebagai benteng kukuh dari ancaman gelombang sosial yang tidak menentu . Dasar dan prinsip gerakan Islam mampu memandu jiwa ke jalan yang lurus sekaligus menanam rasa benci meluat kepada maksiat dan kebathilan .
Firman Allah swt :
ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بامعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون .
( ال عمران 104 )
“ Dan hendaklah ada dari kalangan kamu segolongan ummat ( Jamaah ) yang menyeru kepada kebajikan , menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran . Mereka orang - orang yang beruntung .”
5. Membentuk suasana yang baik . ( تكوين البئة الصالحة )
Mencipta lokasi solehah yang jauh dari agenda - agenda Iblis yang memukau ummah . Reka cipta ini mestilah di pandu oleh alim ulama’ dengan penuh sedar dan insaf .
Pembangunan Insan terlebih utama dari pembangunan metarial justeru yang akan mengendali metarial kelak ialah insan . Apakah ertinya pembangunan metarial yang serba terkini dengan bangunan puluhan tingkat dan sistem komunikasi canggih tetapi dihuni oleh mat - mat rock yang bermatlamatkan hiburan “dunia rock ” dan mereka yang korupsi aqidah .
Merealisasikan amal soleh dalam pelan pembangunan Insan dan metarial sayugianya ditangani oleh semua pihak bermula dari Dewan Rakyat sehinggalah ke Warung Rakyat .Firman Allah swt :
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر و تؤمنون بالله
( ال عمران 110 )
“ Kamu adalah sebaik - baik ummat yang dilahirkan untuk manusia , menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah ”
6. Memuliakan sunnah perkahwinan . ( اشراف الزواج )
Perkahwinan sebagai institusi pembentukan dan pengurusan ummah yang bermoral . Sewajarnya ia menjadi program yang menggalakkan . Fenomena hari ini mendedahkan kepada umum bahawa perkahwinan amat sukar dilaksanakan dengan pelbagai peraturan ketat yang tidak munasabah dan adat yang keterlaluan seperti mensyaratkan khatam Al quran , hafal surah , mas kahwin terlalu tinggi dan sebagainya [11]. Memadailah syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam .
a. Muslim
b. Wali
c. Saksi
d. Ijab dan qabul
e. Mas kahwin .
Kesempurnaan rumahtangga muslim yang memerlukan kepada pengawalan dan penghayatan amal Islami merupakan suatu didikan yang berterusan , tidaklah ia menjadi semata - mata syarat untuk berkahwin . (Maksudnya : Kahwin atau tidak , amal Islami mesti dilaksanakan . )
Harus diinsafi , jangan sampai penzinaan itu menjadi lebih mudah dari perkahwinan sedang penzinaan mengundang murka Allah yang tidak dapat dibendung lagi melainkan taubat dan menjalani hukuman hudud . Sementara perkahwinan , walau asasnya serba lemah dan kurang , namun ia halal dan boleh diselamatkan dengan bimbingan dan pedoman amal Islami .
Kesukaran berkahwin menyebabkan muda mudi hari ini mengadakan “Majlis perkahwinan ” sendiri berwalikan janji - janji manis dan bersaksikan gelora nafsu bejad serta penyerahan ‘mahkota’ sebagai mas kahwinnya . Berlakulah penzinaan sebagai ijab dan qabul yang amat keji dan terkutuk . Soalnya siapa yang bertanggungjawab ??
Sabda Rasulullah saw :
يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر و أحصن للفرج و من لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء
( رواه البخارى و مسلم )
“ Wahai pemuda , barangsiapa yang mampu dikalangan kamu maka hendaklah berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana sesungguhnya puasa itu ada tutupan ( menutup nafsu ) ”
( Antara agenda yang membantu perkahwinan ialah menggunakan institusi “ orang tengah ” yang bersih dari pakatan noda dan dosa untuk menjayakan proses perkahwinan .)
CINTA SELEPAS BERKAHWIN
Cinta bersemarak dengan nilai yang suci murni dari dosa dan noda akan menumbuhkan kebahagiaan dan kepuasan yang hakiki . Cinta sebelum perkahwinan adalah dengusan perasaan yang sering membawa imej yang pura - pura dan keterlaluan .
Luahan perasaan dan rengekan suara antara pasangan yang belum halal hanyalah membentuk cinta bernoda dan dikuasai oleh helah syaithan . Sungguh pun batas syariat cuba di pelihara namun menjadi suatu hal yang perlu dibimbangi apabila berlansung hubungan cinta antara dua pasangan yang bukan muhram .
Sikap merahsiakan perhubungan antara pasangan bukan muhram ini antara api syubhat yang bakal membakar hangus benteng syariat antara mereka . Cinta di peringkat ini juga memberi kesan negatif kepada psikologi individu yang terlibat lantaran angan - angan dan khayalan yang sering menghantui .
Perkahwinan sebagai satu penyelesaian kepada konflik “ cinta lutong ” ini. Ianya akan mengajar erti realiti sebuah cinta . Cinta sejati adalah kemuncak rasa yang sukar dicapai . Pengorbanan dan ketabahan sebagai modal pokok kearah pencapaiannya .
Merentasi cabaran dan menyelami perasaan masing - masing ( antara kedua - dua pasangan ) akan menjelaskan nilai cinta murni yang suci dari penipuan dan khayalan bahkan penuh keinsafan dan tanggungjawab .
Tips cinta untuk kebahagiaan Bait Muslim .
Marhalah Amal Islami .[12]
1. Pembentukan peribadi muslim
2. Pembinaan rumahtangga muslim
3. Membimbing masyarakat menuju Ilahi
4. Membebaskan tanahair dari belenggu penjajahan kuffar
5. Memulihkan kerajaan dari sampukan thoghut .
6. Penguasaan alam .
( Seringkali isu kegagalan rumahtangga di perkatakan sehingga ia memberi kesan buruk kepada pasangan yang akan berkahwin . Dapat disaksikan di negara - negara barat apabila muda mudi mulai bosan dengan perkahwinan lantas mengamalkan free sex .)
Rumahtangga yang berjaya ialah yang memiliki suasana asas sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam firmanNya :
و من ءاياته أن خلق لكم من أنـفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة و رحمة إن فى ذلك لأيات لقوم يتفكرون
( الروم 21 )
“ Dan diantara tanda - tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri - isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang . Sesungguhnya pada yang demikian itu tanda - tanda bagi kaum yang berfikir .”
Pendakian ke puncak amal Islami iaitu Ustaziatul Alam ( Penguasaan Alam ) mestilah melalui beberapa marhalah dan aqabah . Bait muslim sebagai marhalah kedua merupakan aqabah yang sukar didaki dengan penuh jaya dan gemilang . Ketabahan , kesabaran dan kebijaksanaan antara prinsip untuk berjaya .
Rumahtangga pejuang Islam .
Aktivis gerakan Islam ( samaada pihak suami atau isteri ) sewajarnya memandang serious urusan mengenderai rumahtangga muslim agar ia tidak menjadi sebab gugurnya seorang aktivis . Penegasan ini dibuat memandangkan keaktifan pejuang memungkinkan rumahtangga terabai , sedang rumahtangga muslim adalah markaz terbaik untuk pengkaderan generasi akan datang yang bernaung di bawah lembayung Al quran dan jihad .
Kedua dua pihak ( pasangan suami isteri ) mesti memahami penglibatan aktifnya dalam gerakan Islam tanpa ia sendiri turut memahami bahawa rumahtangga muslim adalah salah satu agenda gerakan Islam , mencetuskan ketegangan atau kehambaran dalam hidup berumahtangga .
Kebijaksanaan menyusun program menurut prioriti mampu menyelamatkan keadaan . Suatu nokhtah penting yang memerlukan sebuah keinsafan bersama , bahawa rumahtangga yang gagal dan hambar adalah antara jalan rentas menuju ke garis penamat bagi episod perjuangan seorang aktivis .
Tips cinta untuk suami .
Bersikap baik dan lembut dengan isteri
Menjaga kehormatan rumahtangga dan tidak terburu menerima fitnah
Jangan sekali - kali memukul isteri dan penuhi keinginannya dengan baik
Bersabar terhadap karenah isteri
Mengendali nafkah dengan ( tidak bakhil dan boros )
Bergurau senda dengan anak dan isteri ( berkasih sayang dan mesra )
Membantu tugas - tugas isteri dirumah
Jujur dan menepati janji dengan anak dan isteri
Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga
Tidak bermesra dengan wanita lain
Menjaga rahsia isteri
Tidak merendah - rendahkan isteri di hadapan orang lain
Tidak makan hasil kerja isteri .
Tips cinta untuk isteri .
Berterima kasih diatas pemberian suami dan senantiasa mengenang jasanya
walaupun kecil .
Segera memenuhi permintaan suami
Bertindak diatas keizinan suami , jangan sekali kali mengangkat suara .
Pastikan suami tidak menemui sesuatu yang buruk pada isteri
Pastikan suami tidak mencium melainkan bau yang wangi
Jaga hartanya dengan sebaik - baik tadbir
Jaga maruahnya dengan sebaik - baik taqdir
Jangan mengingkari suami dan merahsiakan sesuatu daripadanya
Membantu urusan perjuangannya
Berkhidmat ikhlas dan aktif untuk ketenangan suami
Berlembut apabila dimarahi dan senyum apabila digembirakan
Mengekalkan sifat malu terhadap suami dan bijak menutur kata dihadapannya .
Menghormati keluarga suami
Menjaga rahsia suami
Tips cinta untuk kedua suami isteri .
Persefahaman
Ta'awun ( bekerjasama )
Wujudkan suasana romantis
Atasi bebanan kerja
Kepuasan seks
Elakkan sikap suka mengkritik pasangan
Saling percaya mempercayai diantara satu sama lai
Menghayati amal Islami
Kebijaksanaan mentadbir dan menyelesaikan masaalah rumahtangga .
Penutup.
Hidup manusia menjadi pasif tanpa cinta bahkan bertaraf durjana tatkala tiada nilai cinta rabbani yang menjadi asas pergerakkan manusia membebaskan diri daripada kepungan api neraka Allah . Justeru itu cinta harus dipertemukan dengan fitrah demi kesejagatan Al hayah ( kehidupan ) anugerah Ilahi .
Manusia wajib menyintai Allah swt. , Rasul saw. dan sesama mukmin sebagai teras pembinaan Daulah Islamiyyah Al Fadhilah . Tanpa cinta berperspektif Islam , dunia akan binasa dan musnah dek kemarau nusrah ( pertolongan ) dan hidayah Ilahi serta permusuhan manusia akan berpanjangan.
Nilai cintalah , ummat menjadi satu Izzah ( keunggulan ) menjadi milik mereka. Firman Allah swt :
و اعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا و اذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعدآء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذلك يبين الله لكم ءاياته لعلكم تهتدون .
( ال عمران 103 )
“ Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulu bermusuh - musuhan , maka Allah menyatukan hati - hati kamu , lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah bersaudara dan kamu telah berada di jurang api neraka , lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya . Demikianlah Allah menerangkan ayat - ayatnya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk .”
CINTA ILAHI
DALAM SANUBARI API MERAH MENYALA
MEMBAKAR RASA MEMBAKAR JIWA
MERCU KEAGUNGAN MU
KU CARI DALAM SINAR RAHMAT MU
BERIBU HARAPAN KU PASRAHKAN
KE HADHRAT MU ILAHI
ILAHI
KURNIAAN CINTA SUCI
PENAWAR DOSA KU
YANG BERNANAH MEMBARAH DIHATI
QALBU MERONTA
RERANTAI MEMBELENGGU JIWA
TERSIKSA MENONGKAH DERITA
DI DALAM USAHA MENCARIMU
ILAHI
DALAM KEMBARAKU
TERSESAT FIRASAT
TANPA SULUHANMU TERBUANG
SENDIRIAN
INGINKU CAPAIKAN
MAHLIGAI CINTAMU
TAKKAN KU DERITA LAGI
SELEPAS NIKMAT CINTA INI
OH ILAHI
TERIMALAH CINTA KU
[1] Lihat ترجمة فى الطبقات الكبرى ( 1 : 65 )
[2] Lihat Tafsir Al Munir Juz. 1 m/s 79 oleh Prof. Dr. Wahbah Az Zuhaili .
[3] Meruju’ kepada ‘ Pengumuman penting ’ dalam Siaran Jamaah Al quran Malaysia ( IQRA’ ) Jil. 3 Bil. 3 ( Jun 1995 )
[4] Al - umm bagi Imam Syafie .
[5] Risalah كيف السبيل إلى وحدة الأمة الإسلامية oleh Abu A’la Maududi .
[6] أحادث الجمعة oleh Imam Hasan Al Banna
[7] Shohih Bukhari . Kitabul Iman , bab حلاوة الإيمان
[8] Lihat المسـتخلص من تزكية الأنفس oleh : Us. Said Hawa m/s 253
[9] Lihat المسـتخلص فى تزكية الأنفس oleh Us. Said Hawa m/s 253
[10] Berita minggu 25 Jun 1995 . Kenyataan Anggota EXCO Kerajaan Negeri Selangor Dr. Zainal Abidin Ahmad .
[11] Lihat عقبات الزواج oleh Abdullah Nasih Ulwan .
[12] Lihat Nazarat fi Risalatul Taalim oleh Muhammad Abdullah Khatib m/s 229
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Currently have 0 comments: