
“  Untuk kali keberapa, ana masih nak tanyakan enti, enti tahu kan  hukumnya? Sebelum enti menghinakan mereka yang berpurdah? Rozita yang  ana kenal takkan mudah berputus asa dengan cacian orang, kan? Enti pun  tahu kan, ana sudah menjelaskan, bukan semuanya memakai kerana memahami  hukum. Enti pun tahu kan tujuan ana menulis novel Kain Kecil Di Wajahmu,  adalah untuk menerangkan pada adik-adik tentang hukum berpurdah ni,  sabarlah, lambat laun, mereka akan faham. Ana tahu ramai sangat yang tak  faham lagi hukumnya dalam Islam. Ana pun memerlukan kajian  bertahun-tahun. Ada juga yang memakainya kerana malu pada lelaki. Enti  pun faham kan perasaan tu. Ia fitrah dan ia baik, memudahkan lelaki  menjaga pandangan. Bukankah Islam menuntut lelaki dan perempuan agar  menjaga pandangannya seperti dalam Surah an-Nur ayat 30 dan 31?, ”
Rozita  terdiam. Dia teringat macam mana setiap kali meeting dia selalu  menundukkan kepala dan kadang-kadang berselindung di belakang Sumayyah  kerana malu yang begitu menebal pada kaum lelaki. Dia sedar bahawa  dirinya banyak terpengaruh dengan kata-kata muslimin. Tapi, Rozita masih  merasakan sakitnya panahan kata-kata Azrol dalam meeting tadi, macam  benar.
“Azrol kata, purdah ni cuma adat sahaja.” Rozita cuba mengingat kembali hujah Azrol.
“Azrol tu siapa? Azrol mana, Ita? Sumayyah cuba menguji.
“Azrol  la, mana ada Azrol lain, pelajar tahun tiga Engineering. Enti pun  kenal, kan ana selalu menyebut namanya. Katanya, Muslimat ni tak perlu  berpurdah dalam organisasi, purdah ni adat sahaja.”
Sumayyah  menggeleng perlahan. “ Subhanallah, Maha Suci Allah. Maaflah jika ana  katakan begini. Azrol tu kan ana kenal sangat. Mana pulak adat. Azrol tu  baru menyertai usrah kita semester ni. Semester ni ustaz baru kupas  buku Fiqh Sirah 1, buku Fiqh sirah 2 belum lagi ustaz kupaskan dalam  usrah. Yang ustaz kupaskan dalam usrah MT yelah Fiqh sirah 2 termasuk.  Tapi untuk exco kan baru Fiqh sirah 1. Mereka kan masih baru menyertai  usrah. Azrol tu kan memandai je…Astaghfirullahal’azim, bukan ana nak  mengumpat, Ita. Tapi, enti nak terima hujah seseorang perlu menilai juga  pandangannya dan pengamalannya selama ini terhadap hukum-hukum dalam  Islam. Azrol cukup tidak suka muslimat yang berpurdah. Dia sudah  terdidik dengan pemikiran Barat. Ibunya bertudung selempang, bapanya  mementingkan akademik anaknya dan tidak mementingkan agama mereka  adik-beradik. Ana kan sekampung dengannya. Azrol bukan dari sekolah  agama, dan Azrol bukan pelajar pengajian Islam. Oleh itu, Azrol tidak  tahu tentang hukum berpurdah. Dia hanya dengar-dengar je dan buat  kesimpulan, mengkaji jauh sekali. Azrol pernah buat tesis atau kajian  tentang purdah ke? Bila ye, ada kajiannya? Boleh tunjukkan pada ana.”
“Tapi, Azrol ada hujah yang kuat,”
“ Apa hujahnya?”
“ Pendakwah tidak boleh menutup muka, ia mengganggu dakwah,”
“ Itu bukan hujah, itu pendapat,”
“ Pendapat peribadi, tanpa sokongan dalil tidak boleh dijadikan hujah dalam Islam,” Sumayyah menjelaskan tegas.
” Ia membuatkan mad’u lari daripada kita,”
“Dan  tidak ada kewajipan bagi mana-mana perempuan untuk mentaati perintah  yang tidak ada asasnya dalam Islam, jelasnya ana sendiri yang menyusun  bahagian tarbiyah. Enti tahukan kebanyakan adik-adik yang pergi usrah  yang dibawa oleh naqibah yang berpurdah. Yang tidak berpurdah pula yang  kurang anak usrahnya. Ia bergantung kepada komitmen dan kekreativitian  naqibah sebenarnya, enti pun tahu sejarah Kelab Amar Ma’ruf, kan sudah  bertahun-tahun kita di sini semenjak diploma. Bukan kerana purdah orang  lari tapi kerana Islam itu sendiri yang ditakutinya. Mana ada orang suka  benda baik, Ita. Kenapa ye, yang lain-lain tidak berdakwah dengan lebih  bersemangat kalaulah muka mereka itu digunakan untuk berdakwah,  sepatutnya lebih ramai yang berjaya ditarik ke dalam usrah. Ana tengok  sama sahaja. Boleh ke kita salahkan hukum Islam jika orang lari dari  kita? Dulu bertudung labuh pun dapat spekulasi yang sama, bertudung  hitam pun sama, sekarang bila dah ramai berpurdah, yang berpurdah pula  dituduh orang lari. Tiba-tiba sahaja, yang bertudung labuh orang tak  lari pula? Pelik tu. Masyarakat yang belum mengubah cara berfikir, masih  kolot dan jumud tentang islam, itu tujuannya usrah. Bukanlah dengan  menanggalkan apa yang ada pada diri kita. Entahlah Ita, terpulang, ana  secara peribadinya lebih selesa berdakwah dengan berpurdah. Di asrama  kita bersama adik-adik perempuan dengan selesa. Di luar asrama kita  berurusan dengan muslimin dalam keadaan terjaga. Ana lebih suka purdah  ni dalam memelihara diri, jika tidak, nak bermesyuarat dengan muslimin  pun ana malas. Ana pelik dan rimas kenapa mereka boleh pula melihat  wajah kita semudahnya. Islam telah menyelamatkan ana, Allah mengurniakan  kain kecil ini bagi memudahkan urusan organisasi kita,”
“Jelasnya,  Azrol bukanlah ulama’ sehebat Ibnu Mas’ud, Ibnu Kathir, Ibnu Abbas,  Syeikh Muhammad bin Salih bin Uthaimin dan lain-lain ulama’ kebanyakan  ulama’ Syafi’iyyah. Adakah Azrol menyalahkan ulama’? Azrol bukan sahaja  tidak tahu hukum berpurdah bahkan banyak lagi hukum tidak diketahuinya.  Enti pernah test tanya dia hukum berwudhuk, hukum solat jamak dan qasar,  hukum membeli barangan Israel dan Amerika, enti pernah tanya pada Azrol  tentang pendapat ulama’ tentang solat bagi keempat-empat mazhab  berlainan?”
“Enti ni, Azrol tu makan Mc’ Donalds lagi, tapi  beria-ia mengatakan purdah tak perlu pakai kerana ulama’ kontemporari  Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi menghukumkan begitu. Tapi, ada tak dia nak  terima fatwa ulama’ yang sama yang mengatakan haram membeli produk  Amerika dan Israel? Azrol, untuk pengetahuan enti seorang yang tak  thiqah dan hanya mengambil hukum yang ia suka sahaja. Ya, yang selari  dengan nafsu dan gaya hidup kebaratan yang telah didoktrinkan oleh  yahudi dalam pemikirannya. Tak perlu jauh-jauh, Azrol tu bercouple lagi.  Apa bercouple tu tak haram baginya?” Sumayyah mempersoalkan satu  persatu hukum yang dia tahu merupakan bukan kepakaran Azrol.
“Tapi, Azrol bertanya pada pensyarahnya,”
“ Pensyarahnya yang dia rapat? Puan Zaitun ye?” Sumayyah menyoal dengan penuh kepastian.
Rozita mengangguk lemah.
“Puan  Zaitun belajar di sekolah mana, Ta? Puan Zaitun pengkhususan apa? Puan  Zaitun ambil degree dan master di mana dan apa bidang kajiannya? Puan  Zaitun pakai macam mana di luar kolej? Apa hukum menutup aurat bagi Puan  Zaitun? Pernah jumpa beliau di luar kolej tak? Boleh diringankan sampai  ke tahap tu sekali? Allahuakbar! Ana bukan macam tu, Ita. Boleh ke kita  tanya tentang akaun pada pelajar Qur’an Sunnah? Boleh ke dia jawab?  Boleh kalau dia pernah belajar dan kaji tentang akaun sama ada di  sekolah atau di peringkat universiti. Perlu ada bukti bahawa ia pernah  mengkaji perkara ini. Jika Azrol berpendapat setakat meminjam pendapat  Us Razali dalam blognya yang terkenal tanpa sebarang pengkajian lanjut  nak suruh kita membuka purdah? Siapa dia untuk mempertikaikan al-Qur’an?  Hmm…cuba kalau Azrol suka merujuk Us. Abu Zaki, Us. Saifullah , Us.  Amzan, tentu lain pula pendapatnya. Merujuk tentang Akaun bolelah pada  Puan Zaitun, ape pulak soal hukum merujuk Puan Zaitun? Hmm…ana kalau nak  tanya akaun ana tak tanya ustaz Amzan, Ita. Itu bukan kepakarannya,”  Sumayyah menggelengkan kepala. Dia faham benar betapa  bersungguh-sungguhnya pelajar bukan pengajian Islam ni meletakkan hukum  berpurdah mengikut nafsu dan kejahilan mereka.
“ Enti tak boleh la nak tunjuk hebat, sedangkan mereka muslimin kan tentu mereka lebih tahu,” Rozita cuba membela.
“  Ana tak tunjuk hebat, tapi kalau dah enti mempersoalkan hukum Allah,  ana perlu pertahankan Islam yang ana anuti. Sepatutnya enti berkata  begitu kepada Azrol kerana dia bercakap tentang sesuatu yang dia tidak  mempunyai ilmu mengenainya. Muslimin, jika suka bermain game, suka buat  perkara lagha, chatting dengan muslimat sana-sini, bercouple dan tidak  menjaga thiqah, maafkan ana tapi ana tak respect langsung. Jika ilmu  setakat di bibir bukan dicerminkan pada perlakuan, perlu ke kita hormat  padanya? Dalam Surah as-Saff ayat 4 pun Allah mencela orang yang  memperkatakan sesuatu yang ia tidak lakukan,” Sumayyah menjelaskan sikap  buruk sesetengah Muslimin yang tidak boleh dipakai kata-katanya.
“  Ya, kita muslimat. Namun ini bukan soal ilmu muslimin atau muslimat.  Sebelum Azrol mencadangkan pada Muslimat Kelab Amar Ma’ruf untuk  menanggalkan purdah, Azrol perlu buka al-Qur’an untuk lihat hukum  berpurdah yang telah ditetapkan oleh Allah. Azrol tidak boleh menghukum  dengan pendapat peribadi. Ia mesti didasari ilmu, Azrol perlu membuat  kajian sebelum ia memberi arahan yang bertentangan dengan kehendak  Islam. Ya, tidak ada kewajipan berpurdah bagi sesetengah ulama’ tapi  tidak boleh menghalang wanita berpurdah, itu kan sudah fitrahnya, dan  islam pula menggalakkan. Salah tu, memang salah menghalang orang memakai  purdah, sama salahnya memaksa-maksa orang memakai purdah,” Sumayyah  menjelaskan bagaimana dahulu ia mula mengkaji tentang purdah. “ Bukan  soalnya wajib berpurdah, tapi soalnya, sebagai seorang yang beriman  dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, beliau tidak perlu halang mana-mana  wanita untuk berpurdah kerana Islam menyukainya,”
“ Adakah dalil  dalam al-Qur’an membezakan pakaian orang yang berdakwah dan tidak  berdakwah?” “ Adakah kewajipan berdakwah menggunakan muka?” “Apakah  anggota lain tidak dapat membantu dakwah? Adakah kewajipan berdakwah  begitu sekali hingga aurat perlu dibuka? Ana pun belajar uslub dakwah  tapi tak ada pula menyentuh soal muka , tiada pula dalam ilmu  methodologi dakwah yang mengatakan keberkesanan dakwah itu meningkat  bagi wanita yang tidak memakai purdah berbanding yang berpurdah, yang  tersenyum dan tidak tersenyum. Jika ini ada, maka bagaimana pula  meningkatnya dosa seorang yang tidak berpurdah dan senyuman manisnya  memikat ribuan lelaki dan mendatangkan fitnah jika dibandingkan dengan  seorang wanita yang berpurdah? Berdakwah, berdakwah juga, tapi, hukum  menutup aurat mana boleh kita permainkan. Kita masih boleh teruskan  dakwah tanpa muka. Dakwah bukan menggunakan muka dan senyuman sahaja,”
“ Tapi, muka bukan aurat,”
“  Muka bukan aurat bagi sesetengah ulama’, tapi aurat bagi sesetengah  ulama’. Jadi, bila ada ulama’ yang mengira muka sebagai aurat, Azrol tak  bolehlah nak kata ulama’ tu tak betul..Muhammad bin Sirin dan Ubaidah  al-Salmani tak betul, begitu? Oleh kerana hujah mereka (ulama’ yang  mengatakan muka dan tangan aurat dan ulama’ yang mengatakan muka dan  tangan bukan aurat) sama kuat bahkan dalam mazhab as-Syafi’e hujah wajib  berpurdah lebih kuat, maka sekali lagi ana tekankan, tidak boleh bagi  mana-mana lelaki menyuruh mana-mana kaum wanita membuka penutup mukanya  sebagaimana Yahudi cuba hendak membuka purdah seorang wanita yang  mencetuskan kemarahan kaum Muslimin dan terjadinya pergaduhan pertama  antara kaum Muslimin dengan yahudi setelah dimeterai perjanjian di  antara mereka dan Rasulullah s.a.w. Pertengkaran ini berlaku sebagaimana  yang diceritakan oleh al-Tabari dan al-Waqidi ialah di pertengahan  bulan Syawal tahun kedua Hijrah,” Sumayyah menegaskan.
“ Bila ada  ulama’ yang menghukumkan wajib memakai purdah, maka, Azrol atau  mana-mana manusia di dunia ini tidak boleh sama sekali menyuruh atau  memerintahkan mana-mana perempuan untuk menanggalkan purdahnya, kerana  ia termaktub di dalam hukum- WAJIB dan SUNAT. Tiada yang mengHARAM kan.  Ulama’ mana pun tidak mengharamkan, jadi mana datang arahan membuka.  Tiada ulama’ menyuruh wanita membuka wajahnya, Azrol siapa untuk  menyuruh wanita membuka wajahnya, dan kitab mana yang menjadi  rujukannya, bukankah kitab rujukan umat Islam adalah al-Qur’an,”  Sumayyah menjelaskan panjang lebar.
“ Mana boleh Azrol menghukum  sesuka hati dia, hanya berpandukan artikel dua-tiga tulisan ulama’  kontemporari dan ulama’ itu pun tidak mengkaji tentang purdah, dia pun  sekadar mengambil hukum daripada tulisan ulama’ kontemporari juga. Mana  boleh, Ita. Nak berhukum mesti rujuk al-Qur’an,”
“ Tapi, mana ada hukum berpurdah dalam al-Qur’an,” kata Rozita.
“  Ita, kalau tak ada dalam al-Qur’an, jadi , boleh ke kita buat hukum  sendiri?” Sumayyah masih tidak letih mengingatkan sahabatnya. Dalam  sepuluh kali dah soalan yang sama Ita ajukan dalam tahun ni sahaja.  Semata-mata kerana beliau dihina, maka Ita mula rasa lemah dalam  mempertahankan.
“ Habis, kalau tiada, maka boleh la berijtihad,” kata Rozita acuh tak acuh.
Sumayyah  merenung gambar wanita berpurdah yang diletakkan di belakang failnya.  Dia agak terluka mengingatkan pelajar-pelajar yang tidak mengkaji hukum  termasuklah Rozita, dengan mudahnya meletakkan hukum berpurdah mengikut  faham orang tak berilmu. Sumayyah faham bahawa sahabatnya mengambil  jurusan kejururawatan.
“ Siapa kata tiada. Cuba enti tulis  dalilnya dari al-Qur’an supaya enti tak mati hujah dalam penerangan  kepada masyarakat. Terus sahaja berijtihad?” “ Enti ni Ita….” “ Enti,  kita kena belajar dari A sampai Z kaedah penetapan hukum dalam Islam.  Dari sumber-sumber hukum dalam Islam hinggalah kepada kaedah penetapan  hukum. Bahaya jika enti membawa kaedah hukum yang enti faham ni kepada  orang ramai. Enti pun jelas bahawa sistem pendidikan di Malaysia ni  tidak mampu memanusiakan manusia. Ia hanya berlingkar pada perkara yang  terlalu asas. Kemudian, bila pelajar-pelajar masuk universiti terus  didedahkan dengan ilmu fardhu kifayah, sedangkan ilmu fardhu ain pun  kita belum selesai lagi. Inilah kebobrokan sistem pendidikan di Negara  kita. Pendidikan sepatutnya mendekatkan kita kepada Allah dan menjadikan  kita takut pada-Nya dan mencintai-Nya, tapi, sistem di Negara kita  salah cara dan oleh itu tidak dapat mencapai matlamat pendidikan dalam  Islam. Jadilah, kita semua masyarakat yang jahil hingga ke tua. Ilmu  agama perlu dicari di surau1 dan kelas pengajian tambahan pula bila dah  tua. Sepatutnya penerapan ini berlaku ketika kecil.” Sumayyah menasihati  Rozita, tegas dan jelas.
“ Betul lah jika ana katakan dalam al-Qur’an tiada hukum berpurdah?”
“ Ada,” Sumayyah menjawab ringkas.
“ Ye ke? Surah apa?”
“ Surah al-Ahzab dan Surah an-Nur,”
“  Ayat berapa?” Rozita mencatit bersemangat. Dia mula rasa bersalah  kerana Sumayyah telah banyak kali menjelaskan padanya dan dia sering  lupa nama surah yang menyebut tentang aurat wanita.
“ Surah an-Nur ayat 31, ayat 60. Surah al-Ahzab ayat 53, 55, 59.”
“Dalam surah ni ia sebut purdah ke? Apa purdah dalam bahasa Arab?”
“Dalam  Surah al-Ahzab ayat ke-59. Dalam surah ni ia sebut “ jalabib” jalabib  ini kita nak faham maksudnya perlu merujuk pada tafsir. Maksudnya, apa  yang kit abaca dari al-Qur’an perlu kita fahami apa yang Allah nak  sampaikan melalui tafsir. Ada ramai ulama’ yang memberi tafsiran yang  berbeza untuk perkataan “ jalabib” ni. Ada yang kata kain yang menutup  kepala dan leher dan ada yang berpendapat bahawa perkataan jalabib ni  bermakna kain yang besar yang menutup kepala dan sekaligus  wajahnya.Kecuali mata. Ada ulama’ yang berpendapat mata kiri yang perlu  dibuka dan ada ulama’ yang berpendapat mata kanan yang perlu dibuka  untuk melihat jalan. Kedua-duanya betul. Jadi, ulama’ yang mengatakan  perkataan jalabib itu sebagai kain menutup muka, maka, mereka menetapkan  hukum berpurdah itu wajib iaitu mesti dipakai oleh wanita. Manakala  ulama’ yang menafsirkan perkataan jalabib dalam al-Qur’an itu hanya  tudung yang menutup leher dan kepala berpendapat bahawa wajib bagi  wanita menutup kepala dan leher serta tidak wajib menutup muka. Maka,  ulama’-ulama ini hanya menghukumkan purdah itu sebagai sunat sahaja atau  dalam erti kata lain digalakkan. Tapi, dalam keseluruhan al-Qur’an  tidak ada yang menghukum haram memakai purdah bagi wanita kecuali ketika  solat dan ihram. Ini dua termasuk dalam soal ta’abbudi. Hanya dalam dua  keadaan ini sahaja kaum wanita diharamkan dari berpurdah.”
Rozita  diam sebentar. Dikeluarkannya sebuah artikel tentang purdah lantas  diberikannya kepada Sumayyah. “ Enti kena tengok ni, entah-entah purdah  ni bukan ajaran Islam, ia cuma tradisi sahaja”
Sumayyah menyambut artikel itu dan mengangguk. Sumayyah lantas mengembalikan pada Rozita.
Sumayyah  bertanya lagi “ Ana dah baca artikel ni. Enti nak berhujah menggunakan  artikel ni? Silakan. Purdah mungkin tradisi, tapi hukum bahawa wajah dan  tangan adalah aurat wanita yang perlu ditutup bukan tradisi, ia hukum  yang jelas dalam tafsiran beberapa ulama’ tentang ayat dalam surah  al-Ahzab,”
Rozita mengeluh. Terasa perbuatannya bagai memalukan  diri sendiri memandangkan sahabatnya Sumayyah telah sekian lama mengkaji  tentang purdah.
“ Enti bagitau ana apa hujah penulis terhadap purdah”
“  Su, enti kena terima hakikat. Purdah ni cuma pakaian tradisional Arab  sahaja. Kita bukan orang Arab, Su. Kita bukan di zaman Nabi, dan kita,  kita bukan isteri Nabi yang mulia, bukan ummahatul mukminin,”
Hati  Sumayyah berdetak. Dia diam sebentar. Sumayyah menahan sebak. Dia  kecewa dengan kejahilan masyarakat tapi, tiada istilah putus asa dalam  menyampaikan ilmu baginya kerana itulah lumrah pendakwah. Sumayyah cuba  mengangkat muka.
Rozita diam. Baginya jelas apa yang diperkatakan.
 
Currently have 0 comments: