Wednesday, July 28, 2010
Pengajaran dari Surah Al-Hujurat v1.0
Diturunkan selepas surah AlMujaadalah.Sesetengah mufassirin menamakannya "Suratul akhlak" kerana mengandungi didikan adab tertib dan budi pekerti yang patut diamalkan.Al-Hujurat didefinisikan sebagai kamar atau bilik beradu yang dikaitkan dengan bilik-bilik isteri-isteri Rasulullah s.aw.
Tafsir Al-Hujurat :1
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ {1}
1) Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertakwalah kepada Allah.Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Permulaan surah ini ditujukan khas buat orang-orang yang beriman.Di sini Allah menggunakan seruan yang membuatkan orang-orang yang dirinya tergolong dalam golongan ini terasa istimewa dan dihargai sebelum memberi arahan dan perintahNya. Betapa Allah amat memahami fitrah hamba-hambaNya.Ini jelas menunjukkan panggilan atau seruan sebenarnya banyak mempengaruhi emosi dan perasaan seseorang itu.Seruan pemujukan dengan bahasa yang cukup indah inilah yang mampu menjamin keterikatan mereka denganNya dan menjadikan mereka berperasaan bahawa merekalah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap arahan itu.
Ayat ini menekankan supaya orang-orang mukmin tidak terburu-buru di dalam tindakan mereka sama ada dengan ucapan mahupun perbuatan untuk mendahului perintah Allah dan RasulNya.Dan tidak boleh menetapkan sesuatu hukum sebelum ada ketetapan dari Allah dan rasulNya.Ini bermakna di dalam menentukan hukum-hakam,kita tidak seharusnya memandai-mandai membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kalam Allah dan hadis Nabi s.a.w. Inilah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah kepada umatnya di akhir zaman ini.Selagi mana mereka berpegang kepada keduanya maka mereka berada di jalan kebenaran.
Larangan ini kerana ditakuti mereka ini akan menghukum sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah dan rasulNya kerana Allah mendengar apa yang mereka ucapkan mahupun yang tersembunyi dalam hati.Perintah ini juga bermaksud supaya orang-orang yang beriman supaya jangan menyarankan sesuatu kepada Allah dan rasulNya sama ada hal yang berkaitan diri mereka,keluarga,dan masyarakat sekitar.Janganlah mereka membuat keputusan tanpa merujuk kepada ketetapan Allah dan RasulNya.
Muadz bin Jabal r.a. telah menjawab kepada Nabi s.a.w. apabila ditanya oleh baginda mengenai bagaimana caranya menghukum :"Saya menghukum dengan kitab Allah,iaitu Al-Quranul karim.Tanya baginda lagi : "Jika engkau tidak mendapatinya dari kitab?" maka jawabnya saya menghukum dengan sunnah rasulNya,iaitu hadis. "Kalau engkau tidak mendapatinya di dalam hadis?"tanya Rasullullah s.a.w. lagi.Jawabnya: "Saya berijtihad sendiri yakni menghukum mengikkut pendapat saya sendiri".Kemudian Rasullullah s.a.w. menepuk dada Muadz (agar memenuhkannya dengan ilmu) lalu bersabda yang bermaksud:Segala puji bagi Allah yang telah memeberi kemudahan (taufik) kepada utusan Rasulullah yang menyebabkan Rasulullah pula redha."
–Hadis Riwayat Ahmad,Abu Daud dan at-Tirmizi-
Daripada hadis yang dinyatakan Muadz adalah salah seorang yang memahami ayat pertama ini dengan meletakkan pendapatnya hanyalah selepas al-Quran dan As-sunnah,maka termasuklah ia dalam golongan orang-orang yang dikatakan mendahulukan Allah dan rasulNya.
Ini merupakan adab dan tatatusila peribadi terhadap Allah dan Rasulullah s.a.w.Selain itu,ia juga merupakan satu garis panduan bagaimana cara sesuatu perintah itu sewajarnya disambut dan dilaksanakan.Ini turut menjelaskan antara prinsip-prinsip fundamental bagi perundangan Islam dan sekaligus dari segi pelaksanaannya.Dan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa ketakwaan kepada Allah dari perasaan yang mendalam bahawa Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
Di dalam kitab Nahjul Balaghah,ada menyebut yang bermaksud :"Bertakwalah kepada Allah sekalipun sedikit,dan jadikanlah perlindungan di antara kamu dengan Allah sekalipun tipis.Dan sekurang-kurang takwa ialah memelihara perkataannya daripada berkata : "Sekiranya Allah Taala menghalalkan apa yang diharamkan ini atau mengharamkan perkara yang dihalalkan".
Oleh :Nurul Huda Bt Aziz @ Salim
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim
Credit to : U-jamv2.0
Currently have 0 comments: