Sunday, August 22, 2010
Pemuda PAS Mengetuai Konvensyen Sosial Kebangsaan
Gejala sosial: Dari meja bulat ke konvensyen nasional
Written by Hazayani Zakaria |
GOMBAK, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan konvensyen sosial kebangsaan akhir November ini sebagai lanjutan kepada sidang meja bulat mengenai gajala sosial yang berlangsung hari ini. Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri sidang meja bulat dekat sini, siang tadi. Katanya, isu berkenaan bukan satu isu yang mudah untuk diselesaikan kerana membabitkan banyak pihak khususnya kerajaan dan tidak hanya terhenti di persidangan meja bulat sahaja. "Setelah perbincangan diadakan dengan wakil-wakil NGO yang hadir hari ini, kami dapati gejala zina, buang bayi dan rogol ini berkait rapat dengan gejala lain seperti ketagihan dadah, sistem pendidikan dan sosial negara, dan satu isu yang sangat besar untuk dibincangkan. "Jadi kami dapati bahawa sidang meja bulat bukan satu medium yang menepati objektif yang ingin kita capai mengenai gejala negatif ini. "Oleh sebab itu kita telah bersetuju mengadakan konvenyen sosial kebangsaan supaya isu ni boleh dibincangkan dengan lebih serius lagi," katanya pada sidang media selepas berakhirnya sidang meja bulat di Anjung Rahmat, dekat sini. Mengulas mengenai hasil perbincangan meja bulat yang dihadiri sebelas NGO itu, Nasrudin berkata, kerajaan harus mengkaji dan menilai semula sistem pendidikan di negara ini yang telah digunakan hampir 50 tahun sejak kemerdekaan. Katanya, sistem pendidikan yang ada pada hari ini seharusnya boleh melahirkan masyarakat yang tinggi akhlak dan sahsianya, bukan semata-mata cemerlang dalam bidang akademik sahaja. Kerajaan katanya perlu memberi perhatian serius terhadap sistem pendidikan agama dan moral terhadap remaja termasuk memberikan penekanan terhadap sekolah agama rakyat yang tidak mendapat perhatian yang sewajarnya selama ini. "Kita bincang mengenai sistem pendidikan negara yang kita lihat perlu dikaji dan dinilai secara menyeluruh agar sistem pendidikan ini benar-benar berjaya membangunkan manusia, bukan semata-mata mengeluarkan sijil sahaja. "Sekolah agama rakyat dibiarkan lesu begitu sahaja, tiada satu galakan untuk mempopularkan sistem pengajian agama dan pendidikan agama kepada genarasi kita," katanya. Perbincangan itu juga mendapati bahawa gejala zina berkait rapat dengan pornografi di media cetak dan elektronik yang akhirnya membawa kepada gejala seks bebas. Sehubungan itu, mereka mendesak kerajaan melakukan kawalan ketat terhadap laman-laman web lucah dan filem-filem yang tidak sopan. Selain itu, kerajaan juga diminta memantau semua majlis sambutan keraian di negara ini seperti sambutan malam tahun baru, malam kemerdekaan dan hari kekasih yang sangat popular di kalangan remaja. Nasrudin juga berkata, kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri harus serius dalam melibatkan NGO-NGO yang berpengaruh untuk menangani gajala negatif yang berlaku. "NGO-NGO yang berpengalaman dalam menangani isu melibatkan remaja ini perlu diberikan peruntukan untuk melaksanakan peranan mereka menangani gejala negatif yang semakin kritikal," katanya. Selain itu, mereka turut mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya sosial negara dengan segera bagi menagani segala gejala negatif termasuk pengedaran dadah, keruntuhan moral, media massa yang tidak bertanggungjawab dan sebagainya. Pas sebagai parti yang mendokong perjuangan Islam juga katanya, meminta kerajaan mengkaji pendekatan dan sistem penyelesaian yang diajar dalam Islam. Antaranya katanya, melalui pelaksanaan syariah Islam yang boleh dijadikan alternatif untuk menyelesaikan masalah setelah 50 tahun negara ini menggunakan undang-undang yang sedia ada. Syariah Islam yang bermula dengan pendidikan, kawalan, pencegahan dan akhirnya hukuman ke atas pesalah. "Setelah 50 tahun kita menggunakan undang-undang dan peraturan yang sedia ada tetapi dilihat gagal meyelesaikan masalah sosial, apa salahnya kita kembali kepada syariah Islam sebagai alternatif," katanya. Antara NGO yang menghadiri persidangan itu ialah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan Pertubuhan Jama'iyah Wilayah Persekutuan. |
Currently have 0 comments: