Thursday, August 5, 2010
Tahaaluf Siasi 2 : Sebelum Zaman Kenabian
2. TAHAALUF SEBELUM ZAMAN KENABIAN
Sekiranya kita kembali kepada kitab-kitab sirah nabawiyyah kita akan menemui dua bentuk tahaaluf yang masyhur iaitu Hilf al-Mutayyibin dan Hilf al-Fudhul.
Pertama: Hilf al-Mutayyibin
Al-Mutayyibin adalah terdiri daripada lima Qabilah Arab iaitu Qabilah Abd Manaf, Qabilah Zuhrah, Qabilah Asab Bin Abdul Uzza, Qabilah Taim dan Qabilah Al-Harith Bin Fahr.
Mereka telah melakukan satu perjanjian yang mana telah disifatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu perjanjian yang baik sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad (No. 1567):
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ شَهِدْتُ حِلْفَ الْمُطَيَّبِينَ مَعَ عُمُومَتِي وَأَنَا غُلَامٌ فَمَا أُحِبُّ أَنَّ لِي حُمْرَ النَّعَمِ وَأَنِّي أَنْكُثُهُ
"Aku telah menyaksikan perjanjian (tahaaluf) al-Mutayyibin bersama bapa-bapa saudaraku ketika aku masih kecil dan tidaklah aku mahu memungkirinyai walaupun aku diberikan unta berwarna merah (yang paling bagus)".
Perjanjian ini dinamakan dengan hilf al-Mutayyibin kerana apabila Qabilah Abd Manaf setelah mana ingin mengambil hak penjagaan Kaabah daripada Qabilah Ibnu Abd Daar sedangkan mereka tidak mahu melakukannya, setiap qabilah melakukan perjanjian untuk tidak melakukan persengketaan. Kemudiannya Bani Abd Manaf mengambil bekas berisi wangian lalu mereka memasukkan tangan mereka kedalamnya lalu meyapunya ke Kaabah sebagai tanda perjanjian. Sebab itulah dinamakan al-Mutayyibin bersempena dengan perbuatan memakai minyak wangi tersebut.
Kedua : Hilful Fudhul
Perjanjian ini dilakukan adalah bertujuan untuk menghentikan sebarang bentuk kezaliman yang berlaku di bumi Mekah sama ada kepada mereka yang merupakan penduduk asal Mekah atau dari luar bumi Mekah.
Perjanjian ini dilakukan oleh Bani Hasyim, Bani Mutallib, Qabilah Asad, Qabilah Zuhrah dan Qabilah Taim dan di meterai di rumah Abdullah Bin Jud'an kerana kemuliannya serta merupakan orang yang paling tua. Rasulullah s.a.w menyifatkan hilful Fudhul dengan sabda beliau yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq secara mursal daripada Tolhah bin Abdullah bin Auf :
لقد شهدت في دار ابن جدعان حلفا ما أحب أن لي حمر النعم, ولو أدعى في الإسلام لأجبت
”Aku telah menyaksikan satu perjanjian di rumah Abdullah Ibnu Jud'an satu perjanjian yang mana ianya lebih disukai diriku daripada aku memiliki unta berwarna merah, sekiranya aku dijemput untuk mengadakannya di dalam Islam nescaya aku akan menerimanya".
3. TAHAALUF SELEPAS KENABIAN
Pertama : Perjanjian Rasulullah s.a.w Dengan Abi Tholib
Peringkat pertama:
Setelah mana turunnya ayat al-Quran (surah al-Syu'araa, ayat 214) yang berbunyi:
وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ
214. dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu Yang dekat.
Rasulullah s.a.w mula menyeru Bani Hasyim kepada Islam akan tetapi dihalang oleh Abu Lahab. Dia mengancam untuk menangkap Rasulullah s.a.w tetapi Abu Tholib bertegas akan melindungi Rasulullah daripada sebarang kekerasan yang akan dilakukan terhadap baginda.
Peringkat kedua:
Ketika kafir Quraisy menemui Abi Tolib dan meminta supaya dia berhenti daripada melindungi anak saudaranya itu dan mereka mula mengancam untuk memerangi Abi Tholib sendiri sekiranya berterusan dalam memberikan perlindungan kepada Rasulullah s.a.w.
Abu Tholib mula merasa tidak senang dengan ancaman tersebut lalu bertemu dengan Rasulullah dan menyatakan hasratnya supaya Rasulullah tidak lagi menyampaikan dakwah baginda kepada manusia. Walau bagaimanpun Rasulullah menjawab dengan sabda baginda :
يا عم! والله؛ لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري، على أن أترك هذا الأمر، حتى يظهره الله، أو أهلك فيه؛ ما تركته
Maksudnya: "Wahai bapa saudaraku, Demi Allah sekalipun mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku boleh meninggalkan urusan ini sehingga Allah menzahirkannya atau aku sendiri binasa kerananya, nescaya aku tidak akan meninggalkannya" (Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Dalail nubuwwah dan Ibnu Ishaq)
Kemudian Rasulullah bangun dan berpaling daripadanya. Apabila Abu Tholib mendengar ucapan tersebut beliau berkata: "Wahai anak saudaraku, berpalinglah ke arahku (lalu Rasulullah berpaling ke arahnya) Pergilah dan beritahulah apa yang kamu sukai. Demi Allah! Aku tidak akan menyerahkan kamu kepada sesiapapun selama-lamanya."
Peringkat ketiga:
Ketika mana Bani Hasyim dan Bani Muttholib berganding bahu dalam mempertahankan Rasulullah s.a.w dan melindungi beliau ketika mana pihak kafir Quraisy mendisytiharkan bahawa mereka akan membunuh Rasulullah s.a.w. Pihak kafir quraisy juga menawarkan kepada Abu Tholib pemuda dikalangan mereka untuk dijaga oleh beliau sebagai ganti kerana menyerahkan Rasulullah kepada mereka tetapi Abu Tholib membalas tawaran itu dengan sindiran keras, " Adakan kamu mahu aku memberi makan anakmu dan aku memberikan anakku kepadamu supaya dibuhnuh?!"
Peringkat Keempat:
Ketika mana kafir Quraisy melihat Bani Hasyim dan Bani Muttholib sama ada yang Islam atau yang belum memeluk Islam bertahaaluf untuk melindungi baginda, mereka telah berhimpun dan berpakat untuk menulis satu memorandum atau dokumen bahawa mereka tidak akan bernikahkan dengan sesiapapun dikalangan mereka atau melakukan jual beli dengan mereka dan tidak akan menerima perdamaian sama sekali dengan mereka atau dengan kata lain, akan membikot mereka sehabis-habisnya. Dokumen tersebut diletakkan di dalam Kaabah.
Dengan kuasa Allah, rancangan untuk membikot ini tidak berhasil. Bani Hasyim dan Bani Muttholib kecuali Abu Lahab mencari tempat perlindungi di kawasan celah-celah bukit untuk berlindung bersama-sama Rasulullah s.a.w selama dua hingga tiga tahun dan mereka mengalami kesusahan yang berat sehingga mereka menjadikan daun-daun kayu sebagi makanan sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab sirah.
Walau bagaimanapun, lama-kelamaan beberapa individu dari pembesar Quraisy bangkit membantah perkara tersebut dan meminta supaya mereka menhentikan perbuatan tersebut. Antaranya ialah Hisyam bin Amr, Zuhair Bin Umayyah, Muth'im Bin 'Adiyy dan lain-lain. Lalu Muth'im mengoyak dokumen tersebut dan kelihatan bahwa dokumen itu telah pun dimakan anai-anai kecuali nama Allah. Perkara tersebut sebenarnya telah pun dikhabarkan oleh baginda kepada Abi Tholib.
Currently have 0 comments: